Isnin, April 05, 2010

Kelayakan Imam dalam solat

Perkara 239 - 243, KItab Bahrul Mazi Juzuk 3, karangan Idris al-Marbawi. Pada bab “Siapa yang lebih berhak menjadi Imam?” [Maa Jaa-a Man Ahaqqu Bi Imaamati]

Hadis yang dipilih oleh Imam Tirmizi ini panjang. Satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud. Pada permulaan hadis itu dinyatakan bahawa hendaklah diutamakan (dikehadapankan) orang yang pandai al-Quran (qaari). Dan inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad Bin Hanbal dan sebahagian ashaab dalam mazhab Syafie. Adapun Imam Syafie dan Imam Malik Bin Anas berpendapat bahawa orang yang lebih faham sunnah (alim dalam fiqh) lebih utama.


Hal ini tidak bermakna pendapat Imam Syafie bertentangan dengan maksud hadis nabi itu. Hujah Imam Syafie ialah sepanjang hayat nabi, Abu Bakr ash-Shidiq dilantik menjadi imam sedangkan ramai lagi sahabat yang lain lebih alim al-Quran (qaari). Dalam solat, orang yang lebih faham fiqah sahaja mampu menyelesaikan kekeliruan berbanding dengan qaari.

Imam Nawawi tidak sependapat dengan Imam Syafie. Dia berpendapat bahawa syarat pandai al-Quran perlu diutamakan sama ada seseorang itu faqih atau tidak. Ulama-ulama mujtahid mazhab Syafie berkata qaari yang disebut dalam hadis itu adalah qaari pada zaman nabi iaitu mereka juga arif dalam fiqh. Imam Khatib Syabini mentakwil hujah Imam Nawawi dengan menyatakan bahawa qaari pada zaman nabi berbeza dengan zaman selepasnya. Sahabat-sahabat memang kebanyakannya qaari tetapi dalam waktu yang sama mereka juga menguasai fiqh.

Pengarang kitab seterusnya membincangkan kelayakan seseorang jika sama-sama faham sunnah, siapakah yang lebih layak menjadi imam? Jika sama-sama faham sunnah, orang yang lebih dahulu berhijrah diutamakan. Pada zaman nabi, orang Muhajirin lebih diutamakan menjadi imam berbanding dengan orang Anshar. Dalam konteks semasa, hijrah tidak lagi berlaku menepati hadis “Tiada hijrah selepas pembukaan Makkah.” – Hijrah itu bolehlah diandalkan dengan penghijrahan dari negeri kafir ke negeri muslim atau masa seseorang bertukar daripada seorang kafir menjadi muslim.

Pengarang kitab seterusnya membincangkan, “Jika sama-sama faham sunnah, sama-sama berhijrah, siapakah yang lebih layak?” Jawabnya ialah pilihlah yang lebih tua. Berikutnya jika sama juga? Pilihlah orang yang lebih wara’. Kerana orang wara’ meninggalkan perkara syubhah. Antara orang wara’ dengan orang zuhud, siapakah yang lebih layak? Jawabnya orang zuhud lebih layak menjadi imam berbanding orang wara’ kerana orang zuhud mengambil dunia seadanya. Zuhud bukanlah bermakna membuang dunia, tetapi mereka memanfaatkan dunia dengan agama.


Nota kuliah Maghrib, Ust. Raihan Bin Abdul Aziz, Masjid al-Hidayah, Sentul. Jalan Sentul Pasar, KL. 2 April 2010.

1 ulasan:

UglyPooh berkata...

ermm....bagus info. sy belajar. tq