Apa itu modal insan? Inilah frasa yang lebih Islami sebagai maksud menyedia sumber manusia yang mempunyai kualiti diri dari segi sahsiah, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap organisasi. Sepanjang beberapa dekad pascakemerdekaan, indeks rasuah negara belum memuaskan dan menggambarkan bahawa sebahagian daripada urusan baik dalam sektor awam mahupun swasta membabitkan pelakuan salah laku rasuah. Selain isu rasuah, penyelewengan wang syarikat seperti tuntutan palsu atau melesapkan wang kutipan di kaunter bayaran, plaza tol atau stesen minyak juga banyak dilaporkan. Masalah tipu dalam urus niaga perniagaan juga berlaku apabila sebahagian daripada pengumpul wang pelaburan menggunakan wang untuk kegunaan peribadi. Mereka berselindung di sebalik pakej pelaburan yang menjana keuntungan segera yang tidak munasabah.
Beberapa senario yang digambarkan di atas membuktikan betapa sumber manusia yang dihasilkan tidak mempunyai kualiti yang ideal sehingga mewujudkan satu persekitaran kerja yang sihat. Manusia yang dihasilkan sekadar tinggi daya intelek tetapi rendah nilai moral dan agama. Pengenalan terma modal insan diharap menjadi satu penjenamaan semula kepada pembentukan manusia yang memahami dan menghayati nilai universal seperti keadilan, kejujuran (amanah), tanggungjawab dan bertimbang rasa. Sebagai muslim modal insan yang berkualiti bergantung kepada tahap ketakwaan dalam diri. Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13 bermaksud, “…dan yang paling mulia di kalangan kamu ialah mereka yang lebih bertakwa.” Natijah daripada ini membentuk personaliti modal insan yang berada pada aras tertinggi. Hal ini dijelaskan pula dalam ayat lain yang bermaksud, “Iaitu orang-orang yang tidak dilalaikan oleh (urusan) dagangan dan jual beli daripada mengingati Allah. Dan mereka mendirikan solat, menunaikan zakat dan bimbang untuk menghadapi hari dibalikkan penglihatan dan hati (kiamat).” (Surah An-Nuur: 26)
Al-Quran menggariskan ciri tertinggi manusia dalam semua urusan selain takwa ialah amanah (terpercaya). Demikianlah pemilihan yang dicadangkan oleh puteri Shuib alayhissalam. Firman Allah yang bermaksud, “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (al-Qashash: 26). Sifat amanah atau jujur adalah universal. Semua manusia mendambakan sifat mulia ini.
Kesibukan mengejar status negara maju seharusnya tidak mengesampingkan aspek pembangunan modal insan yang selaras dengan tuntutan al-Quran. Sistem pendidikan perlu dimurnikan dengan penerapan nilai agama dengan lebih serius. Pendidikan berorientasikan peperiksaan semata-mata perlu direkayasa agar penerapan amalan agama tidak terabai. Subjek pendidikan Islam terutama dalam kerangka Kefahaman Asas Fardu Ain (KAFA) perlu diperkemas. Pelajar bukan sekadar dinilai dengan hafalan teori semata-mata tetapi ditekankan juga aspek praktikal atau amali yang lebih serius. Inilah dilema yang dihadapi pengajar subjek Pendidikan Agama Islam di sekolah-sekolah kebangsaan. Masa mengajar yang singkat di samping tambahan subjek sampingan seperti Jawi, Quran dan Bahasa Arab benar-benar membuatkan ustaz dan ustazah tidak dapat memberi fokus yang lebih baik terhadap komponen KAFA. Memang tidak dinafi sekolah mewajibkan pelajar bersolat jemaah Zohor di sekolah, tetapi tidak semua pelajar yang bersolat. Pelajar perempuan dengan alasan uzur manakala pelajar lelaki pula kadang-kadang berkejaran dengan guru disiplin kerana melencong ke tandas. Hal ini baharu melibatkan soal solat. Bagaimana halnya dengan haid, mandi wajib, puasa dan tuntutan fadu ain yang lain?
Sistem pendidikan Islam adalah sama seperti peribahasa yang sama-sama kita maklum, ‘melentur buluh biarlah dari rebung.’ Pakar pendidikan kanak-kanak Dr. Nasih ‘Ulwan menukilkan bahawa Imam Syafie pernah berkata, “Mendidik anak-anak sebelum baligh umpama mengukir di atas batu. Setelah melewati usia itu, mendidik mereka umpama mengukir air.” Bermakna kesan pendidikan lebih kejap dan mantap jika dimulakan dari usia kecil seawal tujuh tahun. Hal ini amat bertepatan dengan anjuran nabi dalam hadis baginda supaya anak-anak diperintahkan solat ketika berumur tujuh tahun. Jika anak-anak masih lengah menunaikan solat ketika berusia sepuluh tahun, ibu bapa hendaklah memukul (merotan) mereka. Negara kita bertuah kerana sistem pendidikan dimulakan seawal usia tiga tahun. Tetapi wajarkah kurikulum yang digubal dalam pendidikan awal ini hanya tertumpu kepada aspek nyanyian, tarian dan permainan semata-mata? Pihak-pihak yang mempunyai sensitiviti Islam perlu memikirkan cara untuk mewujudkan sistem pendidikan awal yang memasukkan unsur pendidikan Islam seperti yang dilakukan di sekolah seri Islam, Pasti dan seumpamanya untuk peringkat yang lebih tua (lima – enam tahun).
Modal insan yang diidam-idamkan dalam kerangka pembangunan sebuah negara bangsa maju melibatkan penguasaan maklumat, kemahiran profesional, ilmu, ketinggian sahsiah dan kepimpinan. Pekerja berpengetahuan (knowledge worker/k-worker) menjadi masalah besar negara apabila tenaga profesional dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi, kejuruteraan, seni bina dan perubatan masih belum cukup. Pakar-pakar siber dan teknologi maklumat di bandar siber atau syarikat berstatus Koridor Raya Malaysia (MSC) kebanyakannya diimport dari India. Hal ini belum mengambil kira tenaga profesional yang tidak mahu kembali mencurah bakti kepada negara semata-mata pertimbangan gaji. Mereka lebih rela berkhidmat di luar negara dan tidak mahu menjadi ‘miskin’ bekerja di negara sendiri. Lupakah mereka wang biasiswa untuk menaja pendidikan mereka di luar negara adalah sebahagian daripada wang bayaran cukai orang awam? Sesetengah sektor kompeten seperti bioteknologi yang sedang rancak membangun juga menghadapi dilema. Kebanyakan pakar bidang ini beralih ke Singapura juga atas sebab upah. Menyalahkan mereka seratus peratus juga tidak betul kerana faktor tarikan yang kurang untuk mengatasi daya tarikan dari luar.
Kegawatan ekonomi yang berlaku menjadi cabaran kepada semua. Syarikat swasta menerima kesan yang sangat ketara. Sebahagian besar menawarkan skim persaraan sukarela (VSS) malah ada yang terpaksa membuang pekerja. Lebih menyayat hati perniagaan terpaksa ditutup. Bajet 2010 mencadangkan agar petani, nelayan dan orang yang bekerja sendiri diberi opsyen ‘mencarum’ seperti pekerja bergaji yang dicarumkan wangnya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Walhal pekerja sektor swasta juga ada yang tidak mendapat hak yang sepatutnya. Majikan tidak membuat caruman, dan yang lebih tidak adil apabila potongan gaji dibuat kononnya dicarumkan ke dalam KWSP. Meski ada kesedaran untuk mendapat hak dan keadilan, sebahagian pekerja bimbang jika dibuat laporan mereka akan kehilangan kerja. Hilang kerja lebih teruk daripada dipotong sedikit wang gaji walaupun keadaan itu salah di sisi Akta Buruh 1976. Apakah ada jaminan sekiranya laporan dibuat kepada pihak KWSP atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pekerja tersebut akan dilindungi daripada tindakan buang kerja? Maka tidak hairanlah jika seseorang pekerja sektor swasta membuat kerja sampingan yang lain. Kakitangan kerajaan juga terlibat terutama yang tinggal di bandar-bandar besar. Akibatnya produktiviti kerja merosot.
Nota: Tulisan asli, tidak dibenarkan diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan