Apabila berlaku peristiwa hijrah, maka nabi memikirkan cara untuk mengumpulkan orang solat. Ada yang mencadangkan agar diketuk gong atau loceng, meniup terompet dan lain-lain. Abdullah bin Zaid datang kepada nabi dan memberitahu bahwa dia bermimpi. Dalam mimpinya satu malaikat menyerupai lelaki membawa gong, loceng dan terompet. Lalu Abdullah bin Zaid berkata kepada lelaki itu, “Aku mahu membeli gong itu untuk memanggil orang solat.” Malaikat itu bertanya, “Adakah kamu mahu aku ajarkan cara yang lebih baik?” Lalu malaikat itu menyebut lafaz azan seperti yang ita dengar hari ini. Setelah itu ia berdiri agak jauh dan mengkhabarkan lafaz iqamat pula. Apabila nabi mendengar cerita mimpi Abdullah bin Zaid itu, dia mengatakan bahawa mimpi itu benar. Datang pula Umar al-Khattab mengatakan dia juga mendapat mimpi yang sama. Baginda mengarahkan Abdullah bin Zaid berdiri bersama-sama Bilal bin Rabah. Abdullah mengajar kepada Bilal lafaznya.
Pensyariatan azan seperti yang dinukilkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) radhiallaahu ‘anhuma mengajar kita beberapa perkara. Ulama-ulama membincangkan hukum azan dan menggariskan seperti berikut:
- Azan hendaklah dialunkan oleh orang yang mempunyai suara yang lantang dan kuat. Muazzin hendaklah lelaki. Orang perempuan diharamkan azan kecuali dalam perkumpulan mereka sahaja. Jika azan dalam perkumpulan wanita itu dilakukan dengan kuat sehingga didengar oleh orang lelaki, hukumya tetap haram.
- Azan hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri. Qadhi ‘Iyadh menjelaskan ulama-ulama sepakat mengatakan muazzin wajib berdiri kecuali mazhab Abu Tsur. Walau bagaimanapun, Asy-Syafie berpendapat berdiri untuk mengalunkan azan sebagai sunat.
- Lafaz azan juga berbeza antara Mazhab Syafie dan Abu Hanifah. Imam Syafie menggariskan lafaz Allahu akbar dilafazkan secara bersambung iaitu Allaahuakbarullaahu Akbar (dua kali). Manakala Imam Abu Hanifah menetapkan lafaz Allahu akbar disebut satu satu – Allaahu Akbar! Allaahu Akbar! Allaahu Akbar! Allaahu Akbar!
- Idris al-Marbawi berpendapat seseorang yang mengalunkan azan sebagai sumber pendapatan adalah diharuskan. Dalam konteks semasa, menjadikan tugas bilal sebagai satu jawatan yang diupah dibolehkan.
Empat hikmat Azan
- Menzahirkan syiar agama.
- Memberitahu orang ramai masuk waktu solat.
- Memberitahu orang ramai tempat solat.
- Memanggil orang ramai untuk solat berjemaah.
-----*------
Nota Kuliah Maghrib, Ust. Raihan Abdul Aziz, Kitab Bahrul Mazi, 06 Nov 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul.
1 ulasan:
azan....panggilan umtuk muslim berkumpul. sayu je dengar azan kan.
Catat Ulasan