Sabtu, November 21, 2009

Catatan ringkas PPN Tiga, 2009.


Kenangan bersama Tuan Mokhtar Shah Malik, Menara KL.

Pagi itu aku ripuh sekali. Semalamnya tidur tidak teratur dengan buku Dari Salina ke Langit Petang, Edisi Santai cetakan kedua 2008 SN Dato' A Samad Said 'membaca' wajahku. Jam dua pagi lantaran kesejukan aku sedar dan membalas satu pesanan ringkas dari seorang rakan penulis. Aku mengesahkan kehadiran ke Pertemuan Penyair Nusantara Tiga (PPN3). Sebetulnya PPN3 sudah bermula pagi Jumaat, tetapi aku tidak mahu meninggalkan pejabat yang sedia memenuhkan ruangku dengan kerja asasi. Dek terjaga itu, aku sambung semula bacaan buku untuk mendapat sedikit gambaran orang-orang hebat menulis. Ya, aku ketemui mutiara ilmu di dalamnya.

Subuh dalam kantuk bekas kecelaruan jam biologi yang diganggu aku gagahkan juga melangkah keluar sebelum matahari terbit. Ya, jika tidak silap syuruk belum tiba tatkala aku menapak ke pejabat. Tentulah pertama sekali aku ingin mengemaskinikan laman maya Tulisan Siber ini. Dan kedua aku ingin menukar selipar dengan kasut yang biasa ditinggalkan di pejabat. Aku tiba di Menara DBP jam 8.40 pagi selepas mencicip sarapan pagi bersama sahabatku Roslan Jomel di Restoran Kancil. Aku fikir mencatat nama besar seperti Roslan (untuk disebariskan dengan namaku) tidak adil kerana aku belum mekar mewangi seperti namanya. Tetapi aku cukup gembira ditemukan dengan manusia sepertinya. Bolehlah aku katakan dia menjadi sebahagian daripada orang yang sentiasa bertanya khabar lewat karyaku. Begitu juga sebaliknya dia akan khabarkan lewat karyanya di mana-mana agar aku mengetahui kewujudannya. Dan biasanya aku akan mencari media yang diberitahu untuk membaca karya tersebut.

Setelah mendaftar diri, aku mendapat sekeping CD Kempen Bulan Bahasa dan klip kolar 1Malaysia. Sesi pertama dimulakan dengan ucap tama SN Mohammad Hj. Salleh. Kemudian sesi kedua sehingga makan tengah hari diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh tokoh kepenyairan dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura. Saya hadir bukanlah kerana saya seorang penyair. Tetapi seminar seperti ini bermanfaat sebagai alat bantu kepengarangan saya pada masa hadapan. Bahkan seawal sampai ke Dewan Seminar, saya sudah pun membeli sebuah buku Esei Kepuisian Leo A.W.S. Sebetulnya itu buku beliau yang ke-19. Buku dan kertas kerja serta sesi pembentangan kertas kerja sedikit sebanyak membantu mengayakan diri dengan beberapa perkara yang baharu. Ya, saya terjun ke dalam dunia yang penuh asing ini seperti orang asing juga. Semacam rusa masuk kampung. Banyak keanehan yang melanda diri saya sehingga orang di sekeliling juga menjadi hairan. Apakah saya masih waras dengan menjadikan pena sebagai sebahagian daripada sisi hidup saya yang lain? Mereka yang hairan lantaran saya memang bukan orang yang betul dalam dunia ini. Bagi mereka, saya harus menjadi seperti yang saya pelajari, duduk menghadap peralatan makmal, bahan kimia dan formula sains yang kompleks. Tetapi lama kelamaan saya pun mangli dengan komentar mereka. Biarlah mereka mencemuh kerana saya tahu hal yang saya lalui tidak sedikit pun merugikan saya atau mereka. Saya tidak melakukan sebarang jenayah.

Ketika rehat makan tengah hari, saya ke tingkat lima. Kebetulan saya bertembung dengan seorang ustaz. Lama ditenungnya wajah saya. Barangkali menggali-gali memorinya. “Ya, Ustaz Rijaluddin. Apa khabar?” Begitulah biasanya, seorang guru walaupun tidak mengingat nama orang yang pernah berguru dengannya, dia sekali-kali tidak lupa imbasan wajah yang pernah melintas dalam retinanya. Setelah bertanya khabar, baharu saya dimaklumkan yang beliau hadir taklimat buku teks sekolah. Dia juga masih menetap di tempat lamanya, tetapi sudah berpindah tempat kerja. Beliau mengajar di Maktab Perguruan Pulau Pinang. Juga dikhabarkan kematian suami Ustazah Hasyimah (al-Fatihah. Semoga Allah merahmati rohnya). Tahniah kepada ustaz kerana melangkah ke satu daerah yang baru dalam kerjaya. Semoga berjaya juga dengan hasrat baharu untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada pelajar-pelajar melalui penulisan buku teks. Jam 2.30 petang, peserta-peserta PPN3 bertolak ke Menara Kuala Lumpur mengikuti acara Baca Puisi. Pihak Menara KL menaja untuk meninjau KL. Inilah kali pertama aku menjejak kaki ke menara ini setelah setahun lebih menjadi warga KL. Bukan mudah mendapat peluang percuma seperti ini. -:)

3 ulasan:

Mimiamilia berkata...

aku dan saya watak yang sama rupanya.. :)

Naim berkata...

mimiamilia ::: Baru perasan ada dua penggunaan ganti nama untuk satu watak itu. -:)

terima kasih kerana membuatkan saya perasan hal itu.

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

hai saudara hanafi, ape perkembangan saudara sekarang nie? ade tulis novel baru ka? =)