Inilah perbahasan rukun solat yang paling panjang dalam kitab Fathul Muin ini, bermula muka surat 66 sehingga 81. Dua hadis yang dirujuk sebagai menunjukkan bahawa surah al-Fatihah menjadi rukun qauli dan meninggalkannya menyebabkan solat tidak sempurna.
Hadis pertama mafhumnya, “Tiada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.” Hadis kedua yang disandarkan oleh Imam Syafie berbunyi, “Sesiapa yang solat dan tidak membaca Ummu al-Kitab, maka solatnya cacat (khidadun).”
Membaca surah Fatihah dengan sempurna adalah wajib bagi makmum yang muafiq. Perlu diketahui bahawa muafiq bermaksud seseorang makmum sempat membaca surah Al-Fatihah semasa qiam Imam sebelum rukuk. Bermakna di kalangan kita, ramai yang salah faham tentang konsep muafiq ini dengan menganggap hanya mereka yang sempat bertakbiratul ihram bersama-sama imam dikira sebagai makmum muafiq. Walhal muafiq itu bermaksud sekiranya sepanjang qiam imam itu, makmum sempat menghabiskan bacaan Fatihah, itu dikira sebagai muafiq. Sebagai contoh, seorang makmum masuk bersolat ketika imam membaca surah yang panjang seperti surah al-Bayyinah atau Al-Zalzalah atau al-A'laa. Surah-surah ini apabila dibaca, maka secara umumnya sempat bagi seorang makmum menghabiskan bacaan Fatihah sebelum imam menghabiskan bacaan surah-surah tersebut. Bermakna jika seorang makmum masuk solat, dalam keadaan imam membaca surah pendek seperti al-kauthar atau Al-Ikhlas atau Al-'Ashr, maka pada ketika itu tidak mungkin makmum itu menghabiskan bacaan Fatihah dan dikira sebagai masbuq.
Keadaan masbuq juga boleh berlaku dalam rakaat kedua, ketiga dan seterusnya jika berlaku kesesakan. Sebagai contoh, berlaku hujan dan makmum di saf belakang terpaksa bersesak-sesak sehingga tidak dapat sujud bersama imam, melainkan makmun di saf hadapan berdiri terlebih dahulu, kemudian terpaksa sujud di celah-celah kaki makmun yang berdiri. Mereka dikira masbuq kerana apabila mereka sudah bangun untuk rakaat kedua, imam sudah tentu akan rukuk. Dalam keadaan begini, mereka dikira sebagai makmum masbuq untuk rakaat kedua itu dan tidak wajib menyempurnakan bacaan Fatihahnya.
Bagaimana keadaan seorang makmum muafiq yang menyibukkan diri membaca doa iftitah sehingga terlambat menghabiskan bacaan Fatihahnya? Dalam kes ini, makmum itu diberi keuzuran tiga rukun panjang iaitu rukuk, sujud pertama dan sujud kedua imam untuk disempurnakan bacaan Fatihahnya. Iktidal dan duduk di antara dua sujud dikira sebagai rukun yang pendek.
Bagaimana keadaan makmum yang masbuq yang menyibukkan diri membaca doa iftitah sehingga terlambat menghabiskan bacaan Fatihahnya? Dia wajib menghabiskan bacaan Fatihahnya dan diuzurkan sekadar dua rukun, iaitu rukuk dan iktidal. Tetapi bagaimana jika ketika imam sudah mendapat tama'ninah ketika iktidal tetapi makmum masih belum menghabiskan bacaan Fatihahnya? Dalam hal ini, makmum tersebut mempunyai dua pilihan, iaitu (i) terus sujud bersama imam atau (ii) mufaraqah (berpisah dari imam) dan rukuk. Sekiranya makmum sempat rukuk ketika imam belum mendapat tama'ninah ketika iktidal, solatnya sah tetapi tidak mendapat rakaat. Hal ini bermaksud, sekiranya dalam kedaan imam sudah sujud, tetapi makmum ini masih rukuk, solatnya tidak sah. Dalam kes (i) bermakna untuk memastikan solatnya terus sah, makmum sujud bersama-sama imam dan perlu menambah rakaat setelah imam memberi salam.
(Nota kuliah Maghrib, Ustaz Abdul Aziz Arof, 26 Julai 2009, Masjid al-Hidayah, Sentul)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan