Khamis, Julai 23, 2009

Pertembungan pengetahuan sains dengan politik

Perkembangan berterusan sains dan teknologi dalam masyarakat moden menimbulkan banyak idea saintifik dan orang awam yang menjurus kepada kontroversi berbanding dengan isu teknikal dan saintifik. Keadaan ini memberi kesan yang mendalam terhadap sistem sosial, memberi implikasi ekonomi dan politik serta ketidakpuasan hati di kalangan pakar sains, teknikal atau perubatan. Hal-hal seperti dasar membasmi dadah, AIDS, pengguguran janin dan pengawalan kesan rumah hijau (sekadar menyebut beberapa contoh) sering menjadi polemik sehingga kadang-kadang dilihat tidak wajar malah dianggap sebagai keputusan yang memberi kelebihan kepada satu-satu pihak yang berkepentingan.


Analisis ini mengkaji konflik di sebalik sains dalam proses menetapkan polisi; peranan yang pelbagai dalam membuat ketetapan sama ada ahli sains atau bukan ahli sains, juga meninjau sejauh mana orang awam boleh mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, memahami bagaimana kontroversi berkembang – adakah di kalangan komuniti saintifik atau di kalangan masyarakat umum, apakah ada penamatnya, atau mengapa kontroversi timbul. Selain itu analisa ini memfokus kepada tolak ansur orang awam terhadap kewibawaan saintis. Untuk memahami hal ini, perlu diingat bahawa sesuatu polisi melibatkan kepentingan banyak pihak. Maka tidak boleh tidak kebaikan atau keburukan, penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu polisi bergantung kepada sudut pandang mereka. Mereka mungkin sahaja golongan sasar, ahli politik, saintis atau orang awam yang tidak langsung terjejas dengan dasar yang dibuat.

Golongan sasar tentulah mereka yang terlibat secara terus. Dasar yang ditetapkan akan member kesan kepada mereka sama ada suka atau tidak. Ahli politik pula mereka yang mahukan sesuatu dasar sesuai dengan kehendak politik yang mereka anuti. Tentu sahaja keputusan dibuat dengan mempertimbangkan untung rugi sokongan penyokong yang melantik mereka. Maka berlakulah pertembungan pendapat di antara kumpulan politik apabila membahaskan sesuatu dasar sebelum diluluskan. Bagi golongan saintis pula, kebanyakan kajian dibuat atas sifat amanah terhadap ilmu sains. Namun begitu, tidak dinafikan sesetengah mereka sudah ‘dibayar’ untuk menyembunyikan sebahagian daripada kebenaran ilmu untuk mengabui pihak lain. Biasanya hal ini bersangkut-paut dengan untung rugi perniagaan atau persekongkolan dengan pihak tertentu dalam politik. Manakala golongan terakhir melibatkan orang awam secara am. Mereka walau pun tidak terlibat secara langsung tetapi kadang-kadang mampu mempengaruhi pandangan alam (world-view) berdasarkan kepada pemahaman mereka terhadap isu yang dibangkitkan.


Soalan yang diajukan kepada saya ialah bagaimana ahli politik boleh mempengaruhi pengetahuan saintifik? Bagi menjawab soalan ini, marilah kita lihat hubungan antara ahli politik dengan pihak yang membuat kajian. Apakah yang membuat kajian betul-betul memiliki nilai integriti yang tinggi terhadap ilmu mereka? Maka dalam hal ini pun, kita melihat kajian yang dibuat pun bergatung kepada pendirian pengkaji. Jika si pengkaji tersebut menyokong, maka dikumpulkan segala fakta yang menyokong. Begitulah sebaliknya. Apakah ahli politik mengambil kira pandangan dan rumusan kajian sains walau pun bertentangan dengan kehendak politik mereka? Mari kita lihat secara dekat dasar-dasar yang dibuat di Malaysia sendiri. Isu pengajian Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris sebagai contoh. Semasa dasar ini mula dilaksanakan, dan pelaksanaannya dalam keadaan tergesa-gesa, adakah ia dibuat setelah dibuat kajian secara ilmiah atau sekadar prasangka ahli politik? Seawal pelaksanaannya, banyak pihak yang berautoriti menyatakan bantahan tetapi tidak dihiraukan. Kemudian setelah melihat kesan penolakan rakyat yang diterjemah dalam pilihanraya umum ke-12, kemudian dikeluarkan statistik dan angka yang tidak membanggakan, ahli politik masih bersikeras dengan sikap dolak dalih mereka mempertahankan isu itu. Kemudian setelah difikirkan kesan sebenar dalam keadaan yang tidak adil kepada orang Melayu (rujuk sisipan artikel Dato' Baha Zain), baharulah dasar itu dimansuhkan. Pemansuhan itu pun tidak selaju pelaksanaannya, sehingga memerlukan waktu ‘iddah sehingga 2012.


Saya tinggalkan kepada anda menilai perkara dalam para di atas. Sekarang mari kita lihat kepada perdebatan isu flourida. Bahan kimia ini diguna dalam proses rawatan air yang dibekalkan ke rumah-rumah. Persoalan yang timbul ialah adakah flourida perlu ditambah dalam bekalan air domestik untuk mencegah pereputan gigi? Kontroversi ini melibatkan isu saintifik seperti keberkesanan flourida dalam pencegahan gigi reput, risiko perkembangan penyakit seperti skeletal fluorosis, alahan, dan tindak balas penolakan, dan kesan genetik termasuk kanser. Debat flourida juga melibatkan isu etika dan politik seperti perlukah bahan kimia dicampur dalam bekalan air dan siapakah sebenarnya yang patut membuat keputusan dalam isu flourida ini? (Martin, 1991).
bersambung....

Naimisa, 22072009, 2330, Sentul, KL.

2 ulasan:

elzanfresh bake berkata...

salam...terima kasih saudara naim... hebat betul saudara melemparkan idea dan pendapat. sungguh kagum saya. Tahniah....

saya nak tanya la....
1. perbezaan masa wujud antara penemuan saintifik dan pengaplikasian teknologi tersebut serta contoh.
2. Apa pendapat saudara tentang banyak negara melabur modal dalam kajian sel dasar 'stem cells'. i) apa itu sel dasar?
ii) mengapakah banyak negara melabur dalam bidang ini?

Naim berkata...

alpha4u

untuk soalan 1, saya fikir sudah saya coret sikit-sikit dalam entri 26 Jun 2009.

---------
anda tidak perlu kagum dengan idea yang ditulis, saya hanya diberi pinjam sedikit ilmu....

tetapi kenapa ya?