Membaca. Islam sendiri menitikberatkan soal membaca. Lihatlah sahaja kepada wahyu pertama. Iqra' – bacalah! Hal ini jelas, membaca sebagai asas penting kepada pencapaian ilmu. Apabila seseorang mahu berkongsi ilmu, maka akan dikarang dalam buku; tidak boleh tidak ilmu itu hanya akan dapat dikongsi apabila ada orang membacanya. Setelah dibaca, ilmu akan bercambah dan berkembang, kemudian pembaca tersebut juga akan melakukan hal serupa, iaitu menulis, kemudian dibaca pula oleh orang lain. Demikianlah rantaian ilmu berpanjangan dari suatu generasi ke generasi berikutnya, dari satu peradaban kepada peradaban yang lain, atau merentas sempadan bangsa dan demografi melalui proses penterjemahan.
Keasyikan membaca hanya akan diperoleh mereka yang faham hakikatnya. Kita mungkin hairan melihat orang membimbit buku, kemudian membacanya sambil menunggu di perhentian bas atau kawasan awam. Malahan sesetengah orang di Malaysia tidak gemar membaca di tempat awam kerana tidak mahu dipandang 'semacam' seolah-olah amalan murni itu salah. Soalnya, apakah kita perlu rasa canggung dan malu jika membaca di kawasan orang lalu lalang? Dan apakah bukti bahawa hanya membaca dalam keadaan berdisiplin di meja atau di dalam perpustakaan atau bilik yang jauh dari kebisingan dapat menambah mutu bacaan? Apakah dengan membaca di luar, tiada apa-apa yang dapat diserap daripada bacaan? Semuanya bergantung kepada persepsi masing-masing.
Kajian di UK.
Dr Jenny Hartley, seorang pensyarah sastera Inggerus di Roehampton University, UK pada tahun 2002 membuat penyelidikan ke atas 200 respondan. Hasil kajian menunjukkan bahawa 40% daripada mereka tidak gemar membaca, wanita lebih membaca novel berbanding dengan lelaki, 23% pasangan minat membaca fiksyen berbanding 26% pasangan (masing-masing) yang memiliki kereta, kebanyakan orang membaca paling banyak enam jam seminggu berbanding dengan menonton tivi tiga jam sehari. Hasil kajian ini disiarkan akhbar BBC bertarikh 27 Mei 2002 [1] Pada tahun 2007, Teletext membuat tinjauan ke atas 4000 respondan dan mendapati faktor-faktor yang menyebabkan orang London tidak membaca adalah seperti berikut; terlalu letih (48%), menonton TV (46%), bermain permainan komputer (26%), sibuk bekerja (21%) [2].
Kajian di Jepun.
Satu hasil kajian melibatkan 9556 respondan bertarikh 28 Februari 2009 mendapati 6.9% rakyat Jepun membaca sekurang-kurangnya 10 buah buku, 8.1% - dua buah buku dan 4.6% hanya membaca sebuah buku setahun. Manakala 9.3% tidak membaca [3].
Budaya membaca di Malaysia
Pada tahun 1957, kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah 52 peratus. Pada tahun 1994, seperti yang dilaporkan dalam New Straits Times bertarikh 21 Jun 1994, kadar ini meningkat kepada 80 peratus. Pun begitu, membaca belum menjadi budaya rakyat Malaysia. Berapa ramai di kalangan kita yang membaca ketika menunggu bas atau menunggu ahli keluarga atau rakan di luar kompleks beli belah?
Tabiat membaca seperti yang didefinisikan oleh Dr. Ambigapathy Pandian [4], pensyarah Sekolah Sains Kemanusiaan, USM ialah keupayaan membaca dan keinginan untuk membaca dan mendapat maklumat daripada akhbar, majalah, buku selain buku teks, dan bahan bermaklumat daripada media yang pelbagai. Masalah orang dewasa Malaysia kini ialah pengabaian bacaan iaitu mereka tidak buta huruf, tetapi memilih untuk tidak ambil tahu. Dan tentulah lebih membimbangkan kerana pola pembacaan di Malaysia menunjukkan pelajar-pelajar membaca semata-mata untuk lulus peperiksaan (News Straits Times, 29 Ogos 1996). Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan (sekarang ditukar menjadi Kementerian Pelajaran) membuat tinjauan pendapat ke atas 22 400 individu dan 6050 isi rumah. Kajian mendapati hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang gemar membaca.
Pada 13 September 2008[5], Timbalan Perdana Menteri sebagai berkata, "Buku hanya berada pada kedudukan yang ketiga dalam konteks menjadi bahan bacaan atau rujukan oleh masyarakat di negara kita." Tambah beliau lagi, "berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun lalu, secara purata rakyat negara ini hanya membaca dua buku setahun." Nilai ini tidak berubah daripada data yang dikutip semenjak kaji selidik pada tahun 1996. Menurut tinjauan pada tahun 2005, 98% kanak-kanak berumur sepuluh tahun membaca hanya dua buah buku setahun, 60.4% daripada mereka memberi alasan mempunyai minat lain, manakala 28.7% mengatakan tiada masa. Mungkin masa mereka telah berubah ke arah perkara yang lebih menyeronokkan seperti bermain, menonton tivi, bermain permainan komputer, di samping tiada galakan membaca daripada ibu bapa. Walhal dalam usia semuda itu, anak-anak jika dipaksa membaca, suatu hari perkara itu akan menjadi tabiat. Ambil sahaja kaedah pendidikan solat untuk anak-anak. Tidakkah dalam hadis, dinyatakan seorang bapa wajib merotan anak-anak jika setelah berumur sepuluh tahun masih liat menunaikan solat.
Sebagai kesimpulan, marilah kita buat perbandingan di antara negara kita dengan negara yang lebih maju seperti Jepun dalam budaya membaca. Lihat sahaja angka-angka yang terdapat dalam perenggan dua di atas. Dan mungkin ada yang berkata, kebanyakan remaja hari ini kurang gemar membaca kerana sudah beralih ke medium elektronik. Benarkah begitu? Sejauh mana internet memberi manfaat untuk meningkat minat remaja dan belia Malaysia ke arah membudayakan pembacaan? Kajian sebuah majalah ADOI [6] menunjukkan 48 peratus orang muda mempunyai blog. Tiga puluh lapan peratus suka membaca profil orang lain dalam rangkaian sosial, 44% suka membaca profil sosial orang lain di samping mengemaskinikan profil mereka. Hanya 43% respondand berpendapat mereka memperoleh maklumat yang dikehendaki (untuk tujuan kajian, pendidikan).
Rujukan
- Tabiat Membaca di UK
- Teletext
- Book Reading in Japan
- A Study on Readership Behaviour among Multi-Ethnic, Multi-Lingual Malaysian Students
- SAIFULIZAM MOHAMAD, TPM kecewa rakyat kurang membaca, Utusan Malaysia, 13 Sept. 2008.
- Top Online Habit in Malaysia
4 ulasan:
Minat membaca di kalangan penduduk Malaysia masih diperingkat yang kurang memberangsangkan. Kalau pun minat membaca, tengok pula jenis bahan bacaannya..ada yang suka baca majalah hiburan saja. Tak ramai yang minat membaca buku-buku ilmiah kerana bagi mereka membaca buku-buku ilmiah hanya untuk peperiksaan. Dalam jiwa mereka tidak ada kesedaran bahawa membaca itu adalah jambatan ilmu
Ya, hedonisme sudah mewabak sejak sekian lama....
Cubalah anda baca "Advancer si Peniup Ney" (Faisal Tehrani) atau Bab Akademi Fun+usia dalam novel "Cinta Berbalas di Meja 17" (Irwan Abu Bakar) - www.esastera.com
Saya sangat bersetuju. Sikap membaca memang patut diamalkan. Terutamanya untuk mengisi masa lapang. Tetapi, kadang-kadang kita juga perlu meluangkan masa untuk orang-orang disekeliling kita.
Contohnya, kalau kita berada di rumah xeloklah kalau ibu bapa sedang sibuk menyediakan makan malam sedang kita masih membaca buku. Hilang nilai murni sebagai seorang anak.
Begitu juga jika kita bersama kawan-kawan. Andainya kawan-kawan sedang bercakap berkenaan sesuatu topik, sepatutnya kita menyertai topik perbualan yang sedang berlangsung. Itu adalah salah satu cara untuk merapatkan hubungan ukhuwah sesama rakan dan saudara sesama Islam. Betul.Kadang- kadang topik yang dipercakapkan itu lebih kepada "lagha". Oleh itu, sebagai org yang kaya dengan nilai-nilai murni tidak salah untuk kita meminta izin terlebih dahulu dengan mereka andai kita ingin mengundurkan diri..
Maksud saya disini, kita mesti berpada-pada dalam membuat sesuatu. Bagus digelar "Ulat buku". Tetapi jangan kerana "Ulat buku" kita menjadi "kera sumbang". Perlulah kita semua mengutamakan mana yang perlu diutamakan. Wasatiah dalam setiap perkara. Itu sangat baik.
Dan kalaulah semua sahabat boleh menjadi seperti ini, itu sangat bagus.Ulat buku yang peramah, pandai jaga hati, banyak idea yang ingin dilontarkan, pandai bergaul. Di samping mengutamakan Agama. Nah, 1pakej yang lengkap!
sdra/i Tanpa Nama ::: anda seorang anak yang baik.
Catat Ulasan