Sabtu, Julai 25, 2009

Pertembungan pengetahuan sains dengan politik (ii)

Ahli politik bertindak selaku pihak yang membahaskan dasar untuk kepentingan awam. Apa sahaja yang diputuskan terletak kepada keupayaan mereka merancang, membuktikan data-data saintifik, keperluan semasa, keupayaan melaksanakan dasar meliputi frasarana dan pihak-pihak yang terlibat untuk memastikan rantaian perbekalannya. Bermakna tidak ada gunanya jika hanya memiliki bukti sains semata-mata tanpa memiliki keupayaan membekalkan input ke arah pelaksanaan seperti pasukan penyelidik, makmal atau pihak yang dapat mengilangkannya. Perlu diingat, bahawa ahli politik memiliki autoriti untuk memutuskan sesuatu dasar dan tentulah bukan suatu hal yang mudah untuk merealisasikannya kecuali dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Namun begitu, mengapa masih terdapat percanggahan terbuka dalam kes mengguna flourida dalam bekalan air domestik di Amerika? Kontroversi ini hanya timbul disebabkan rasa tidak puas hati segolongan doktor gigi kerana langkah itu memberi kesan terhadap keuntungan perniagaan mereka. Maka mereka membentuk kumpulan dan berpakat dengan ahli politik tertentu terutama di kem oposisi untuk menentang dasar yang telah diputuskan.


Malaysia sebagai contoh. Sebelum Dasar Bioteknologi Negara (DBN) dilancarkan, perkembangan bidang itu tidak memberangsangkan. Syarikat bioteknologi hampir tidak wujud. Tetapi setelah dasar dibuat, wujudlah keberanian pihak-pihak tertentu untuk memanfaatkan kelebihan yang ditawarkan seperti insentif cukai, promosi dan penyediaan frasarana. Tentu sahaja dasar ini dibuat dengan campur tangan dan komitmen ahli politik sebagai sebahagian daripada pencetus pembuat dasar. Untuk contoh lain, kebelakangan ini dunia perubatan heboh dengan penemuan terbaharu dalam kajian sel stem (juga diterjemahkan sebagai sel dasar). Apabila sampai ke peringkat pelaksanaannya di Malaysia, terdapat beberapa etika kemanusiaan yang perlu dipatuhi. Ahli politiklah yang menjadi sebahagian daripada kumpulan penentu untuk membahaskan sudut etika ini. Sehingga akhirnya, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dibuat satu syarat iaitu penghasilan sel dasar ini tidak boleh dibuat menggunakan sel embrionik (janin) tetapi menggunakan tali pusat bayi yang sudah lahir. Malaysia juga tidak menggalakkan penggunaan air tulang belakang untuk menghasilkan sel stem ini. Tetapi jika tidak mengikut etika kemanusiaan dan budaya setempat, boleh sahaja bidang kajian ini dikembangkan menggunakan sel darah daripada janin yang digugurkan atau sel darah babi, seperti yang berlaku di Eropah. Dua contoh yang diberi dalam perenggan ini menunjukkan bahawa ahli politik mempunyai autoriti dalam mempengaruhi pengetahuan sains melalui penetapan dasar dan penyediaan bajetnya. Mereka mempunyai upaya untuk mewujudkan dana pembangunan untuk mengembangkan bidang-bidang sains yang dikehendaki atau melupakannya sama sekali.

Tiada ulasan: