Sabtu, Disember 04, 2010

Kiblat pertama Masjid al-Haram

Pengarang kitab ini mengambil hadis susunan Imam Tirmizi yang diriwayatkan oleh Barraa Bin Azib. Hadis ini menceritakan bahawa kiblat pertama ialah Baitullah al-Haram (Kaabah). Kemudian apabila hijrah ke Madinah baginda menjadikan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat. Hari ini dalam sukatan pendidikan agama anak-anak kita dinyatakan masjid Al-Aqsha sebagai kiblat pertama. Dejaay radio ketika menyentuh isu umat Islam Palestin juga menyebut perkara yang sama.

Hal ini bermakna pendapat yang mengatakan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat pertama tidak tepat. Ibadah solat disyariatkan tiga tahun sebelum hijrah. Ketika di Makkah, Kaabah dijadikan kiblat. Tetapi apabila tiba di Madinah, baginda berijtihad kiblat yang perlu diguna ialah Masjid al-Aqsha. Tujuan nabi menjadikan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat ialah untuk menjinakkan hati orang Yahudi supaya mereka tertarik dengan Islam. Pun begitu Yahudi sangat degil dan angkuh kerana nabi berbangsa Arab Quraisy, bukan dari kalangan mereka. Orang-orang Yahudi sebenarnya mengenali nabi seperti mereka kenal anak mereka. Firman Allah, “Orang-orang yang dikurniakan al-Kitab, mereka mengenalinya (Rasulullah) seperti mereka kenal anak-anak mereka.”[1] Apabila mendengar ayat ini Umar al-Khattab bertanya kepada Abdullah bin Salam, pendita Nasrani yang warak ketika belum Islam; “Apakah benar ayat ini?”. Sahabat Abdullah bin Salam menjawab, “Bahkan. Mereka kenal nabi lebih daripada mereka kenal anak mereka. Mereka yang membaca al-Kitab (Taurat dan Injil) mengetahui tanda kenabian. Mereka tahu bintang pada malam kelahiran nabi. Mereka tahu tanda besar bagi penganut Majusi.” Dalam sirah nabi, Abdullah bin Salam sendiri menguji nabi untuk mengesahkan baginda sebagai nabi terakhir dengan bertanya dua soalan. Pertama ditanya apakah makanan pertama ahli syurga. Kedua, bagaimana wajah seorang anak mengikut (menurun) wajah ayah atau ibunya? Nabi dapat menjawab dengan betul kedua-dua soalan ini.

Apabila sampai 16 hingga 17 bulan, nabi dapati Yahudi di Madinah tidak lembut hati. Malah mereka dengan angkuh melanggar perjanjian dengan nabi. Nabi mendongak ke langit menunggu wahyu Allah. Suatu ketika nabi berkata kepada Jibrail, “Aku suka akan Tuhanku mengarahkan Ka’abah sebagai kiblat kami.” Jibrail menjawab, “Aku sebagai hamba seperti kamu juga. Tiada daya upayaku mengubah hal itu.” Ketika nabi melawat Bani Sulaim, dan menunaikan solat Asar turunlah arahan mengubah kiblat ketika mereka sedang solat. Firman Allah yang bermaksud, “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”[2] Dua rakaat pertama nabi menghadap ke jihat Masjid al-Aqsha. Dan dua rakaat terakhir nabi mengubah kiblat ke jihat Masjid al-Haram.

Perbahasan

Sesetengah ashab AS-Syafi’ie berpendapat bahawa menghadap ke jihat al-Aqsha adalah ijtihad nabi. Manakala sebahagian mengatakan bahawa hal itu merupakan perintah Allah. Mereka yang berpendapat menghadap Masjid al-Aqsha merupakan arahan Allah kerana apabila nabi mengharapkan kiblat ditukar ke arah Kaabah, baginda menunggu-nunggu arahan dari Allah.

Kedua, bolehkah al-Quran memansuhkan sunnah? Dan sebaliknya. Ketiga, apakah kita hari ini apabila berkunjung ke Masjid Dua Kiblat (Masjid Qiblatain) di perkampungan Bani Sulaim boleh bersolat menggunakan dua jihat kiblat? Dalam hadis ini, ayat 144 surah al-Baqarah memansuhkan sunnah nabi (ijtihad) menghadap ke jihat Masjid al-Aqsha dan sunnah itu dinamakan Sunnah Haram. Maka orang yang berkunjung ke Masjid Qiblatain selepas turun ayat ini haram menggunakan jihat Masjid al-Aqsha sebagai kiblat. Dalam perbahasan ayat al-Quran memansuhkan hadis dan sebaliknya amat sukar untuk difahami. Sebagai contoh, ada ayat al-Quran mengarahkan kita diam apabila dibacakan ayat al-Quran[3]. Tetapi dalam satu hadis nabi bersabda, “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca Ummul Kitab – al-Fatihah.” Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) berpegang kepada ayat ini. Maka dalam solat yang imamnya membaca secara jahar (Subuh, Maghrib dan Isyak), makmum tidak perlu membaca al-Fatihah dan mendengar bacaan al-Quran imam. Manakala Imam Syafi’ie berpendapat, makmum tetap perlu membaca al-Fatihah kerana hadis nabi bersifat khusus manakala ayat al-Quran bersifat umum. Maka hadis yang mempunya arahan khusus lebih utama daripada dasar al-Quran yang umum. As-Syafi’ie berpendapat ayat 204 surah al-A’raaf tidak mengkhususkan bacaan al-Quran itu dalam solat atau di luar solat.



Nota
[1] Ayat 146, surah al-Baqarah.

[2] Ayat 144, surah al-Baqarah.

[3] Ayat 204, surah al-A’raaf.


Nota Kuliah Maghrib, 03 Dis 2010, Masjid al-Hidayah, Jln Sentul Pasar, Sentul, KL. Ust. Raihan Abdul Aziz, kitab Bahrul Mazi karangan Idris Bin Abdul Rauf al-Marbawi.

Tiada ulasan: