Melangkah kaki ke kota metropolis seperti Kuala Lumpur merupakan perkara yang amat membimbangkan. Ketika membuat lawatan sambil belajar bersama rakan sekelas pada tahun 1994, rombongan penulis dan rakan-rakan serta empat orang guru pengiring diraikan oleh Tan Sri Elias Omar. Apabila orang bertanya, “Dari mana?” Kami akan menjawab, “Sekolah Tapah.” Mereka akan bertanya lagi, “Sekolah Tapah di Perak?” Orang hanya mengetahui Tapah hanya di Perak, jarang sekali orang mendengar Tapah di kawasan pedalaman daerah Hulu Terengganu yang tidak mendapat liputan rangkaian telefon mudah alih Maxis. Pun begitu, Tapah kini sudah gah dengan pencawang telefon yang memancar perhubungan satelit untuk Maxis. Malangnya kampong bersebelahan seperti FELCRA Bukit Kapah tidak mendapat liputan talian Maxis. Pelik juga sistem coverage yang disediakan oleh pihak Maxis ini.
Kemudian, kali keduanya melangkah kaki ke Kuala Lumpur bersama seorang rakan selepas menamatkan Nadwah Kepimpinan Islam 1998 (NKI) di SMAP Labu, Negeri Sembilan sejurus selepas kes tergempar Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Penulis masih ingat ketika menghadiri Majlis Penutup NKI, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menjadi Menteri Pendidikan (sekarang ‘Pendidikan’ ditukar menjadi ‘Pelajaran’) mengulas kedudukan DSAI sebagai orang kuat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Perjalanan dari Seremban menaiki keretapi menggunakan perkhidmatan KTMB-Putra LRT ke Kuala Lumpur. Penulis menumpang bermalam di rumah Dato’ Yusof Haslam A.M.N, prosedur filem terkenal. Kemudian daripada itu menjejakkan kaki ke sana bersama-sama rakan seperjuangan dalam klik alumni USM Kejuruteraan sempena pertemuan semula (reunion) pada pertengahan tahun 2005.
Semua perjalanan yang dicatatkan merupakan perjalanan yang santai kerana disertai rakan-rakan seperjuangan. Keselamatan diri tidakkah menjadi persoalan utama, masalah seperti penyeluk saku, penyamun jalanan, dan peragut langsung tidak menjadi agenda untuk difikirkan. Namun begitu apabila membuat perjalanan solo ke bandaraya yang sesak dengan pelbagai jenis manusia menjadikan penulis belajar dunia survival yang tersendiri. Musaffir diri secara bersendirian bermula pada 18 dan 19 Mac 2005, ketika menghadiri Kursus Baca dan Hafal Al-Quran (BHA) di Hotel Cititel, Mid Valley. Kemudian pada 1 Jun 2005 ke sebuah bandar yang berjiran dengan Kuala Lumpur iaitu Shah Alam. Kemudian meninjau tempat transit untuk ke Kuantan pada 8 Sept 2005, iaitu destinasi berkumpul peserta Bengkel Penulisan BBSN di Menara DBP, di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka. Selepas itu merantau lagi pada 15 dan 16 Dis 2005, sempena Majlis Pelancaran Siaran Citra DBP. Pada majlis tersebut penulis diraikan sebagai pemenang Pertandingan Menulis Resensi Buku DBP peringkat IPTA 2005.
Musaffir diri secara bersendirian semestinya menjadikan perjalanan tidak dijamin selamat secara mutlak. Pelbagai agenda keselamatan diri yang difikirkan termasuk jaminan tempat berteduh apabila ditakdirkan bermalam dahulu sebelum pergi ke tempat tujuan. Penulis akan memastikan tempat berteduh dan tidur dengan selamat, atau bermalam sahaja sebagai orang jalanan (homeless people). Bercakap tentang keselamatan, pada kali kedua iaitu pada dinihari 9 Sept 2005 penulis diuji dengan karenah penyamun jalanan. Ketika itu penulis dalam perjalanan menuju ke Masjid Jamek yang berhampiran dengan Stesen Puduraya. Berjalan menggalas beg mendaki gunung yang sarat dengan pakaian dan keperluan untuk program selama empat hari di Kuantan, penyamun itu mengekori penulis secara beriringan sambil meminta wang. Hanya Allah sahaja yang tahu degup jantung penulis pada ketika itu. Fikiran-fikiran negative menerjah masuk tidak putus-putus, muka berubah menjadi pucat, debaran dan rasa gemuruh yang tidak dapat digambarkan lagi keadaannya.
Kami berjalan secara beriringan, penulis berusaha menunjukkan muka selamba dengan menghadiahkan senyuman. Seolah-olah yang berjalan di tepi penulis adalah kawan biasa, padahal dalam hati doa dipanjatkan kepada Allah moga-moga dijauhkan dari kejahatannya. Tangan dimasukkan ke dalam kedua-dua poket seluar, sebagai menjaga keselamatan dompet dan kamera digital yang dipinjam daripada seorang kawan. Zikir dan doa ta’awwuz tidak putus-putus dibaca di dalam hati. Penyamun itu nampaknya terkesan juga dengan sedikit ‘keberanian’ yang ditunjukkan oleh penulis. Sambil tersenyum penulis melihatnya, memberitahu tiada duit.
-Jika aku keluarkan dompet, bagaimana jika tiba-tiba dia merampasnya dan terus menghilangkan diri? Tentu tidak larat untukku mengejarnya dengan beban beg lima kilogram di belakang.
-Jika penyamun jalanan itu mengeluarkan pisau kecil dan meletakkan di sisi rusukku, apa yang harus dibuat?
-Jika berlaku apa-apa, siapa yang dapat menolongku? Tiada sesiapa yang berada dekat dengan kami pada ketika itu.
“Ala dik…seringgit, seringgit! Takkan seringgit pun tak ada.” Dia meminta lagi sambil tangannya dihulurkan. Bajunya tidaklah compang camping seperti penagih dadah, tetapi di sebalik penampilan yang agak kemas itu rupanya dia menjadi penyangak jalanan. Tidak sangka sungguh. Dalam dialek Indianya, dia berbahasa Melayu meminta dan terus meminta. “Dik, cukup untuk abang minum segelas air pun tak apa.”
Keadaan tawar-menawar berlanjutan sehinggalah kami menghampiri keunter pembelian tiket Star LRT Masjid Jamek. Lima minit kami berjalan beriringan, sambil mengiring dia meminta wang. Aku pula tidak putus-putus membaca doa dan zikir kepada Allah. Akhirnya dia mengalah dan pergi meninggalkanku begitu sahaja dengan hampa. Alhamdulillah, syukur. Aku selamat. Selamat sampai ke masjid Jamek dan menunaikan solat fardhu Subuh. Dalam sujudku, kesyukuran yang tidak terhingga dirafakkan ke hadrat Ilahi, Rabb sekalian alam.
Bersambung....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan