Khamis, Disember 29, 2005

Musaffir 3

Jam 12 tengah malam, suasana di tempat yang menjadi Platform bas ekspres sudah lengang. Pekerja MZE mula menjalankan tugas membersih sampah, tukang sapu mula mengumpul sampah yang penuh di dalam tong-tong sampah. Plastik beg yang baru diganti, manakala sampah yang berlonggok-longgok dikumpulkan untuk dibuang. Terdapat juga pengumpul tin-tin minuman berkarbonat menjalankan kerja mereka. Aku mengira pak tua itu menjual semula tin tersebut di Pusat Kitar Semula. Jaga bertugas mula berjalan dan meronda kewasan memastikan keselamatan beberapa orang penumpang yang masih tinggal. Kedai-kedai juga telah ditutup, paling akhir ditutup adalah pada jam 12.45. Yang tinggal hanya pemandu teksi dan ‘pemburu’ penumpang yang menawarkan tiket bas yang masih berbaki. Keadaan yang lengang memaksa penulis turun ke bawah, membawa diri ke tepi jalan yang masih meriah dengan hilai tawa pemandu teksi. Terpaksa pula melepak di tepi jalan sambil mengira kenderaan yang lalu lalang, terpaksa juga menghadap asap-asap bas yang kotor. Kedai mamak yang beroperasi 24 jam masih hidup, pelanggan keluar dan masuk.

Sebelah kedai mamak itu terdapat premis yang menyediakan perkhidmatan rumah tumpangan. Malangnya rumah tumpangan tanpa bilik air untuk mandi, memang patutlah kerana di sebelah rumah tumpangan itu terdapat premis lain menawarkan perkhidmatan menyimpan beg dan mandi. Yang pasti, semuanya milik tauke yang sama – perniagaan restoran, rumah tumpangan serta servis mandi dan menyimpan beg. Apabila mata dikuasai rasa mengantuk, penulis mencuba buat kali terakhir menghantar mesej pendek (SMS) kepada sahabat. Jam 2.30 pagi, sahabat yang masih belum tidur memberi sedikit harapan dalam keadaan yang diketahuinya tidak akan mengubah nasibku. Ketika membalas mesejku, dia memaklumkan sedang mengikuti telesidang (media conference), membincangkan projek yang baru dilancarkan oleh syarikat tempat dia bekerja. Ibu pejabatnya berpangkalan di Texas US. Hendak tidak hendak terpaksa juga mengikut masa piawai ibu pejabat untuk membuat mesyuarat secara dalam talian. Memandangkan terlalu banyak perkara yang dibincangkan, dia hanya pulang ke rumah pada jam 6 pagi. Jam 6.15 pagi aku memaklumkan bahawa tidak ada perkara yang boleh diubah lagi.

Baju yang lengkap tanpa bergosok telah dipakai lengkap, siap dengan tali leher dan cermin mata baru. Jam 5 pagi, aku membeli perkhidmatan mandi dengan caj RM3. Itu pun dikira bernasib baik kerana mempunyai tuala sendiri, penyedia perkhidmatan hanya memberi sebuku sabun kecil bersaiz kotak mancis. Itulah kos mandi yang pertama seumpamanya yang dibayar sepanjang hidup. Solat Subuh di surau di perhentian Puduraya juga. Pagi Jumaat, imamnya membaca surah As-Sajadah dan al-Insaan. Biarpun penat berdiri seperti askar yang berkawal di pintu utama kem tentera, berdiri lama untuk solat tidaklah pula dirasakan. Sudah biasa berdiri begitu lama dalam solat Subuh pagi Jumaat. Jika aku menjadi imam solat, pasti masa berdiri lebih lama kerana gaya pembacaan yang tartil dan sedikit bersahaja. Mengapa perlu kecoh-kecoh untuk menghabiskan bacaan? Tidakkah itu akan mencacatkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran? Subuh itu di antara ketika jemaahnya yang paling ramai, ramailah sehingga mengalahkan bilangan jemaah di kampus. Kalau di kampus, kedudukan Pusat Islam agak jauh dari desasiswa. Jumlah orang yang hadir untuk solat Subuh berjamaah paling ramai pun 15 orang, ini tidak diambil kira suasana fajar Ramadhan. Tidaklah pula dapat mengalahkan kegawatan fajar Jumaat di Pulau Melaka yang bilangannya lebih 40 saf, dan bilangan jemaahnya lebih 300 orang; lelaki dan perempuan, muslimin muslimat.

Apakah perkara yang paling mengesankan pada dinihari 16 Dis 2005? Pada jam sekitar 3 pagi, seorang lelaki datang memperkenalkan dirinya. Kami berjabat tangan, dan saling memperkenalkan nama. Orang yang tidak diundang itu pada firasatku dalam lingkungan 30-an atau hampir 30 tahun. “Adik, abang takutlah nak balik sorang-sorang ni. Ikut abang balik nak tak?” Baru lima minit berbual, begitu mudah dia membuat pelawaan untuk balik ke rumahnya di Bangsar. “Ala, tak payah lah. Saya kena pergi lepas Subuh lagi esok. Lagi pun orang DBP dah janji nak jemput saya di sini.” Terpaksa juga menggunakan helah supaya aku tidak tersilap langkah menerima jemputannya. Pelbagai perkara yang menarik disebutkan jika aku pergi ke rumahnya. Boleh mandi. Boleh gosok baju. Boleh tidur. Boleh kenal rumahnya. Aku pula terfikir, apabila dia menyebut “Takutlah balik sorang-sorang. Kat rumah abang tak ada orang, kawan-kawan semua balik kampung,” sebagai taktik memberi pertolongan yang tersirat niat buruk. Jika lelaki yang cakap macam tu, maknanya dia bukan lelaki yang betul-betul lelaki! Mesti ada silap di mana-mana dalam perwatakan dan citarasanya, tidak seperti lelaki biasa-biasa. Awas! Helah-helah yang diberi dan ketegasanku dengan pendirian untuk tidak menerima pertolongan orang yang tidak dikenal akhirnya menyelamatkanku. Dia akhirnya mengalah juga. Alhamdulillah, syukur. DIA menyelamatkan aku dari malapetaka manusia, yang aku kira mempunyai kecenderungan songsang. Bagaimana aku boleh mengagak? Lihat ke dalam mata, maka kamu akan menembusi mata zahirnya dan tersingkap mata hatinya. Jadi mengapa kadang-kadang banyak orang tidak boleh bertentangan mata denganku apabila bercakap.

Pesan ibu, jangan mudah percaya kepada orang yang tidak pernah kamu kenal akal budinya. Jangan mudah terpesona dengan perwatakan seseorang dengan hanya sekali imbas. Jangan pula pandangan mata yang sebentar cuma menipu pandangan mata hati kamu terhadap seseorang. Sebelum mengatakan seseorang itu baik atau sebaliknya, kajilah dan ujilah dia terlebih dahulu dengan sesuatu perkara yang memuaskan hati kamu. Bersahabatlah dahulu dengan akrab, supaya kamu betul-betul dapat menilai erti persahabatan itu. Apakah persahabatan yang terjalin itu dikeranakan kepentingan dirinya sahaja atau tidak? Kata ibu lagi, kawan ketawa mudah dicari, kawan berduka satu dalam seribu, mungkin satu dalam sejuta. Jika kertas putih luasnya satu meter persegi, anggaplah satu persejuta umpama setitik dakwat dari mata pena yang berdiameter 0.001 milimeter. Lansung tidak ternampak oleh mata kasar walaupun dibantu dengan kaca mata yang tidak berapa kuasanya. Justeru, jika mendapat seorang kawan yang baik jangan mudah-mudah membelakangkannya. Jangan mudah-mudah melupakannya begitu sahaja walau sudah terpisah oleh ruang dan masa kehidupan yang sentiasa beredar. Sedar atau tidak, aku sebenarnya sudah memilik baru seorang kawan seperti ini. Kawan yang boleh berbicara dengan bebas persoalan hidup yang berat-berat dan membebankan. Setiap kali mendengar perkara berat, dialah yang mengembirakan hatiku, memberi semangat dan kekuatan untuk terus bangkit dan mara! Siapa dia?

bersambung....

Tiada ulasan: