Khamis, Jun 22, 2006

Pentingnya sejarah

Dunia seluruhnya sibuk menumpukan perhatian kepada pertandingan bola sepak paling berprestij ketika ini; Piala Dunia. Dalam keghairahan kita melihat kejayaan Sepanyol mengatasi Tunisia beberapa hari lalu, kita mungkin terkenang Sepanyol suatu ketika dahulu. Sebelum ini, Sepanyol dalam desawarsa kegemilangan tamadun Islam dikenal sebagai Andalusia.

Siapa tidak kenal dengan kemegahan Andalusia? Kota kecemerlangan tamadun Islam dalam segenap segi, dari lapangan ilmu Islam, budaya, keunikan seni arkitek hinggalah kepada sains dan teknologi. Sejarah merupakan sesuatu yang penting dalam menentukan kegemilangan tamadun bangsa. Umat yang maju meneliti dan mengkaji sejarah lampau, mencedok strategi dan taktik kecemerlangan tamadun bangsa yang lalu untuk membina kemandirian nusa bangsa. Jatuh bangun sesuatu bangsa teretak pada sejarah, mengulangi perkara yang baik akan menjadikan tamadun bangsa terus maju. Sebaliknya mengulangi kesilapan yang sama akan memusnahkan tamadun bangsa.

Tidak memahami sejarah bererti kita tidak mengetahui hakikat sesuatu perkara yang sudah berlalu. Kelemahan ini menyebabkan kita leka, bena tidak bena terhadap unsur dan nilai sejarah. Apakah kita sedar umat Islam dihancurkan oleh musuh buat sekian kalinya pada tahun 1924? Tahun keramat ini, dunia menyaksikan kejatuhan Empayar Uthmaniah. Bermula daripada detik itu, negara Arab dipecahkan mengikut bangsa dan puak-puak yang lebih kecil. Kesatuan ummat Islam mula rapuh dan anasir penguasaan barat telah meresap ke dalam nadi perjuangan kebangsaan Arab di sebalik tabir nasionalisme. Sehingga kini ummat Islam tidak mampu bangkit bagi menyatukan kekuatan ummah dalam kesatuan amal dan fikir (wehdatul amal/fikr).

Justeru penilaian semula kepada kekuatan ummat Islam dahulu perlu dihayati dari segi prinsipnya. Prinsip dan pengamalan mereka harus dikembalikan semula dalam bentuk realiti kehidupan yang dihayati oleh kita. Sekiranya kita perhatikan, maka akan terserlahlah kepada kita sikap dan watak pemimpin, pengikut, dan pendokong tamadun bangsa yang hebat itu. Semua ini perlu dipelajari dan dihalusi supaya kita memahami asas pengamalan yang telah dibuat oleh mereka. Kita tidak seharusnya hanyut dengan usaha musuh Islam untuk menjauhkan kita daripada mengulangi kegemilangan tamadun Islam tersebut.

Kepentingan sejarah ditunjukkan kepada kita oleh Allah di dalam mukjizat agung yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W. Satu pertiga daripada kandungan al-Quran menceritakan sejarah ummat nabi yang terdahulu. Rakaman peristiwa lampau menjadi rujukan buat nabi dan para sahabat untuk mempelajari tabiat yang baik dan buruk. Mereka mengamalkan tingkah laku yang diredhai sehingga ummat mendapat kemuliaan di sisi Allah, dan menjauhi perlakuan jahat sehingga dimusnahkan oleh-Nya. Al-Quran sebagai kitab suci yang menepati semua zaman harus dijadikan rujukan kepada kita untuk mencapai kecemerlangan.

Sebab itu Allah mengingatkan kepada kita sejarah perlu dipelajari dan dihayati, mengulangi sejarah bermakna kita mengikut laluan yang sama dan mendapat natijah seperti mereka juga. Sesuailah dengan firman Allah;




“Maka tidakkah mereka mengembara di muka bumi serta memerhatikan akibat orang-orang yang kafir sebelum mereka? Allah telah menghancurkan mereka, dan orang-orang yang menurut jejak mereka (kafir) akan beroleh akibat buruk yang sama.” (Muhammad: 10)


Nota kaki:
*Makalah: Renungan dari al-Quran untuk Mimbar Pusat Islam, Jun 2006. Buletin Bulanan Pusat Islam USMKKj.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

typing error pula.

Kejatuhan Uthmaniyyah pada tahun 1924. Harap maklum. -:(

naimisa berkata...

Ok, terima kasih. Saya akan edit.