Suatu hari nabi menerima kunjungan kaum Abul Qais yang mahu memeluk Islam. Baginda baru sahaja selesai menunaikan fardhu Zuhur. Urusan itu penting lalu baginda menyegerakannya tanpa terlebih dahulu menunaikan solat sunat selepas Zohor. Selesai urusan itu, baginda menunaikan solat sunat selepas solat Fardhu ‘Asar.
Dari Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata, “Aku mendengar bukan hanya dari seorang sahabat; antaranya Umar al-Khattab bahawa suatu hari bimbang akan nabi Muhammad urusan pengislaman suatu kaum. Dan baginda menunaikan solat sunat dua rakaat selepas ‘Asar.” (Sila rujuk hadis ke -28, kitab Muqtashar Hadith (Ringkasan Hadis) Imam Tirmidzi).
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Tirmidzi ini hasan sahih. Imam Nawawi rahimahullah ‘alaihi berkata bahawa hadis ini juga diriwayatkan oleh ‘Aisyah, Ummu Salamah, Maimunah, Anas bin Malik dan lain-lain. Konsep menggantikan solat sunat di luar waktu dibolehkan dengan syarat tidak sengaja meninggalkannya. Dan meninggalkannya pula dengan sebab melakukan pekerjaan yang lebih penting. Persoalan yang timbul, adakah ada solat Qadha? Apakah ada niat “Ushalli fardha Az-Zuhri qadhaa-an…..” Memanglah tiada. Kerana tidak pun disyaratkan dalam niat menyebut tunai (adaa-an). Dalam niat hanya qasad (ushalli – sahaja aku solat), ta’radh (fardha/sunnata; kategori solat sama ada fardhu atau sunat) dan ta’yin (iaitu menyebut nama solat; contohnya Zohor). Pun begitu, perlulah difahami apabila solat ditunaikan di luar waktu, secara automatik dikira sebagai solat qadha’, bukan lagi solat tunai.
(Rumusan Kuliah Maghrib, 07 Ogos 2009, Ustaz Raihan Bin Abdul Aziz, Masjid al-Hidayah, kitab Muqtashar Hadith (Ringkasan Hadis) Imam Tirmidzi Sentul, KL)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan