Jumaat, Januari 01, 2010

Kalau ada soalan ketiga...


Tahniah saya ucapkan kepada al-Fadhil Ustaz Ellias Zakaria kerana dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Beliau memulakan tugas secara rasmi bermula 15 Muharram 1431H (01.01.10). Pernah dahulu ketika beliau menjadi Pengarah Pusat Islam USM, membuat suatu hal yang bermakna kepada saya. Ya, secara spesifiknya. Dalam lawatan beliau meraikan kakitangan Pusat Islam di kampus kejuruteraan, dia pernah bertanya polisi yang ditetapkan, apakah dilaksanakan juga seperti yang dibuat di kampus Minden? Ketika itu saya sudah kira-kira enam bulan menginap di Bilik Pembantu Imam. Soalannya kepada Tn. Hj. Md Yusof Abdul Rahim, “Adakah Pembantu Imam diberi elaun?” Maka untuk bulan berikutnya sehinggalah saya menamatkan khidmat sebagai Pembantu Imam, saya diberi sedikit elaun. Saya sebenarnya dalam dilema apabila soal elaun ditimbulkan. Malah saya bertanya pada diri, "Apakah nilainya khidmat saya (di sisi-NYA) kalau diberi elaun?” Perlu diketahui, Pembantu Imam itu bukan satu jawatan rasmi dalam carta organisasi Pusat Islam kerana tidak ada dalam peruntukan universiti seorang pelajar boleh memegang mana-mana jawatan. Hal itu tidak menjadi masalah kepada saya.

Dewasa ini banyak orang membincangkan masalah berkaitan generasi masjid. Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah mencontohkan umatnya bahawa masjid adalah pusat kekuatan umat Islam. Syukurlah, kehidupan di universiti menjadikan saya tetap istiqamah setelah melangkah ke alam kerjaya. Sungguh bijak aturan-NYA. Di sini saya berkerja dan menginap di flat yang berhampiran dengan masjid. Sehingga satu dua kali saya ditanya, “Mahukah kalau saya cadangkan nama kamu untuk menjadi imam?” Sudah dua kali perkara itu ditanyakan. Saya belum mahu memberi jawapan pasti. Saya hanya menjawab, “Layakkah saya?” Dari segi kelayakan akademik, saya memang tidak layak. Kenapa? “Kalau bekas mufti pun tidak layak menyampaikan dakwah, apa pula yang ada pada saya? Saya tidak pernah bersekolah di sekolah agama.” Apa pun, saya akan fikir dan terus mempertimbangkan kemungkinannya. Asal sahaja datang kepada saya soalan yang sama buat kali ketiganya, “Hendak jadi imam tak?”

Tiada ulasan: