Jumaat, Januari 08, 2010

Mengapa kita tidak berdialog?

Pada zaman kemegahan empayar Rom, terdapat dua golongan Yahudi di Palestin. Satu di Bukit Sayun (Zayyun) dan satu lagi di Bukit Samir (Samiri). Bukit Sayun merupakan tapak yang menempatkan Haikal Sulaiman (singgahsana nabi Sulaiman). Pada asalnya, bani Israel di Bukit Sayun didakwahkan nabi Isa kepada agama tauhid. Tetapi mereka menolak dakwah itu dengan mendakwa nabi Isa sebagai anak zina. Mereka inilah kemudiannya mengasaskan gerakan Zionis. Apabila nabi Isa beralih kepada kelompok bani Israel di Bukit Samir, baginda mendapat beberapa orang pengikut yang dikenal sebagai al-Hawariyyun. Mereka yang berpegang kepada akidah yang benar amat kecil bilangannya seperti pendita-pendita yang menjadi guru kepada Salman al-Farisi. Seorang lagi pendeta Yahudi yang terkenal dan sempat hidup di zaman nabi ialah Yahuza. Pendita yang alim inilah menasihati Abu Talib agar menjaga nabi Muhammad daripada dilihat oleh Yahudi. Peristiwa ini berlaku dalam perjalanan dagang Abu Talib ke Syam.


Pun begitu, orang-orang yang menolak nabi Isa menjalankan usaha untuk merosakkan ajaran tauhid itu. Mereka yang berada di Bukit Sayun menulis surat kepada pembesar Rom, memandangkan Palestin di bawah takluk empayar besar tersebut. Seorang pembesar Rom bernama Marcus berminat mengumpul dan membukukan surat-surat yang dihantar kepadanya. Akhirnya terbitlah Injil yang diseleweng dan dinamakan sebagai Injil Marcus. Kemudian daripada itu, terdapat penulis lain pula melakukan usaha yang sama sehingga terbitnya kitab-kitab lain seperti Injil Matta, Injil Luqaa dan Injil Muhannast. Empat versi inilah yang diiktiraf oleh kerajaan Rom. Setiap kandungan kitab ini bertentangan antara satu sama lain. Manakala segolongan yang masih berpegang dengan akidah yang benar dikenal sebagai Unitarian tetapi mereka ditekan hebat. Unitarian masih berpegang bahawa Allah, hanya Tuhan yang sebenar-benarnya. Akibat tekanan itu mereka dibunuh sehingga terpaksa bersembunyi di kawasan pedalaman.


Al-Quran mengisahkan bahawa nabi Isa mengajarkan kaumnya bani Israel tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud, "Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhluk-Nya).” (An-Nisaa: 171)


Selain ayat ini, konsep keesaan Allah disebut dalam ayat 17, 72-76 surah Al-Maidah. Mari kita lihat ayat-ayat dalam surah al-Maidah. Ayat 17 bermaksud, "Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam". Katakanlah (wahai Muhammad): (Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Mariam berserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya? Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." Manakala dalam ayat berikutnya, firman Allah berbunyi, "Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.


Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa (Allah) dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. Tiadalah Al-Masih Ibni Mariam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). Katakanlah (wahai Muhammad): Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."


Maka jelaslah bahawa Kristian yang disebarkan mutakhir ini bukanlah ajaran sebenar. Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa, nabi Isa hanya diutuskan kepada bani Israel. Bermakna penyebaran agama atau pecahan daripada ajaran itu dengan sendirinya tertolak setelah datangnya Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad. Kedua, jelaslah bahawa konsep triniti yang dipegang oleh mereka jauh dari kebenaran hakiki. Senario di Mesir suatu ketika dahulu dikuasai oleh ajaran Kristian. Memandangkan mereka dari bangsa yang sama, proses dialog agama mudah berlaku. Sebab itu bukanlah suatu yang menghairankan jika di Mesir masjid dan gereja dibina sebelah menyebelah, hanya dipisahkan oleh jalan. Apabila berlaku dialog, pendeta-pendeta Kristian tidak mempunyi hujah untuk menegakkan dakwaan mereka tentang konsep triniti. Akibatnya, populasi umat Islam di Mesir bertambah dari 20 peratus kepada 80 peratus sehingga sekarang.


Hal ini juga turut berlaku di negara Eropah. Misalnya di England terdapat seorang penduduk Arab yang berhijrah ke sana menterjemah al-Quran dalam bahasa Inggeris. Hasilnya bermula tahun 70-an Islam mula mendapat tempat di kalangan orang-orang Eropah. Komuniti Islam mewujudkan pusat dakwah dan berdialog dengan masyarakat bukan Islam terutama Kristian. Tentu sahaja anda kenal arwah Ahmad Deedat yang terkenal sebagai seorang pendakwah yang berani dan bijak berpidato dengan khalayak Barat, dan beliau amat pakar dalam bidang perbandingan agama. Banyak sekali hujah-hujah yang dibuktikan benar dan mengabsahkan kepalsuan ajaran Kristian yang berjaya dilakukannya. Islam mula mendapat tempat di kalangan orang Barat setelah peristiwa pelanggaran Menara Pusat Dagangan (WTC) di Amerika. Senario ini amat membimbangkan misiniori Kristian sehingga menjalankan usaha dakyah mereka di kalangan umat Islam yang miskin. Misalnya di Afrika, diedarkan cakera padat (CD) yang kononnya membacakan ayat al-Quran, tetapi sebenarnya Bible.


Belakangan ini, kita melihat terdapat usaha yang pesat dijalankan juga di Malaysia. Mereka terpaksa menggunakan semula pegangan satu mahzhab yang mereka sendiri menolaknya iaitu mazhab Unitarian dengan mengatakan Allah sebagai tuhan mereka. Walhal dalam terjemahan bible samada versi Inggeris atau Indonesia, God diterjemah dengan ‘god’ dan ‘tuhan’. Bukannya God yang merujuk kepada Allah. Kekeliruan ini sengaja ditimbulkan demi menarik segelintir masyarakat Melayu Islam yang kurang mantap akidahnya. Perkara inilah yang ditentang. Pun begitu, kita perlu mengambil sikap rasional dan proaktif seperti mengadakan dialog dengan pihak yang terlibat agar perkara ini dapat dijernihkan semula. Awas, tindak balas negatif seperti yang berlaku kini hanya akan memburukkan keadaan jika tidak ditangani dengan berhemah. Jangan kita terperangkap dengan kerangkap samar. Sebarang provokasi perlu dielak semampu mungkin. Soalnya mengapa dalam keadaan kita sebagai Islam yang memegang tampuk pemerintahan, mempunyai sekian banyak institusi agama Islam - tidak ada usaha yang tersusun untuk berdialog dengan orang bukan Islam? Khususnya Kristian.

Tiada ulasan: