Sabtu, Januari 02, 2010

Adab Azan dan Iqamat

Antara adab azan dan iqamat ialah orang yang azan hendaklah iqamat. Dalam suatu peristiwa Ziyad bin Abdillah diarahkan azan Subuh. Setelah selesai solat sunat sebelum fajar (sunat Subuh), Bilal berdiri untuk iqamat. Rasulullah menegur Bilal seraya meminta Ziyad iqamat.


Perkara 153: Pada bab yang menyatakan tegahan orang yang azan tanpa wuduk.
Imam At-Tirmizi mengeluarkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud, “Tidak dibenarkan azan melainkan orang yang berwuduk.” (Laa yu-azzinu illa mutawadh-dhiun).
Imam Syafie menegaskan bahawa makruh hukumnya seseorang melaungkan azan dalam keadaan tidak berwuduk. Jika ketika azan, tiba-tiba terbatal wuduk maka diharuskan dia meneruskan azan.


Perkara 154: Pada bab yang menyatakan bahawa orang yang azan menghadap kiblat.
Orang yang azan hendaklah berdiri menghadap kiblat seluruhnya. Sebahagian mukanya boleh dihalakan ke kanan dan kiri ketika menyebut lafaz haiyya ‘ala ash-sholah dan haiyya ‘ala al-falah seperti yang dilakukan oleh Bilal bin Rabah.


Perkara 155, bilakah makmum berdiri membuat saf.
Apabila iqamat, terdapat beberapa qaul (pendapat) tentang waktu makmum perlu berdiri membina saf solat.

  • Ulama salaf (adh-Dhahhaq, Abu Sufian As-Sauri) dan Imam Syafie berpendapat bahawa makmum harus berdiri setelah selesai iqamat.

  • Imam Ahmad Bin Hanbal berpendapat saf dibina seawal-awal iqamat dilaungkan.

  • Imam Malik berpendapat, saf perlu dibina ketika bilal mengucapkan haiyya ‘ala ash-sholah….

  • Imam Abu Hanifah dan ulama Kuffah berpendapat, saf perlu dibina ketika bilal mengucapkan qad qaamati ash-sholah….


-------------------

Rumusan Kuliah Maghrib, Ust. Raihan Abdul Aziz, 16 Muharram 1431H, (01.01.2010), Masjid al-Hidayah, Sentul, KL. Kitab Bahrul Mazi, Jilid 2.

Tiada ulasan: