Jumaat, Januari 22, 2010

Ini bukan surat cinta


Saudara Pengarang,

Saya telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung iklan video pornografi yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Mesej dihantar menggunakan nombor telefon bimbit bukan nombor pelayan (server). Saya percaya bahawa pihak SKMM sudah memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Maxis memandangkan pengiklan menggunakan nombor Maxis. Pihak Maxis menghubungi saya dan memaklumkan bahawa mereka tidak boleh menghalang aktiviti pemilik nombor berkenaan. Pada hemat saya, hal ini disebabkan mereka mahu menjaga pelanggan dan tidak mahu kehilangan pendapatan. Pegawai perkhidmatan pelanggan Maxis tersebut mencadangkan saya membuat laporan polis atau tidak menghiraukannya. Tidakkah perkara itu kurang memberi keselesaan dan berpotensi menggugat keamanan rumahtangga? Bayangkan jika suatu hari seorang Imam menerima mesej seperti ini dan kebetulan pula mesej itu dibaca oleh isterinya. Tidakkah ini suatu yang mengaibkan imam tersebut? Saya tidak tahu bagaimana penghantar mesej mendapatkan nombor telefon bimbit saya. Saya langsung tidak mengenali pemilik nombor terebut. Beberapa rakan sepejabat saya turut mendapat mesej yang sama dan mereka juga kurang selesa.
                Sebagai langkah mudah yang saya fikir dapat menyelesaikan masalah ini ialah:
Pertama: SKMM mungkin boleh menasihat secara terus kepada pemilik nombor telefon agar tidak mengulangi perkara tersebut. Gunalah apa-apa fakta perundangan yang boleh menyebabkan pesalah laku itu berhenti melakukan perbuatannya. Saya sudah beberapa kali menasihati penghantar mesej tersebut tetapi dia langsung tidak mengendahkannya.
Kedua: Pihak penyedia perkhidmatan rangkaian perlu menyediakan satu kaedah untuk memberi kebebasan kepada pengguna telefon bimbit menghalang/menyekat fungsi panggilan atau SMS daripada nombor-nombor tertentu.
Semoga pendapat ini dapat membantu saya dan orang lain yang terganggu apabila menerima iklan atau mesej berbaur lucah.

Sekian, terima kasih.
Naimisa, Sentul.

1 ulasan:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

saya pun dapat sms klip video lucah 2 jugak naim.. dah banyak kali.. dapat jer saya delete..