Cerita 1
Ibu bapa orang yang paling memahami diri kita. Tetapi kadang-kadang selaku anak, kita jarang-jarang cakna kesulitan ibu bapa. Sehingga kini banyak perkara yang cuba saya lakukan demi ‘membalas’ pengorbanan mereka. Saya sentiasa sedar, pengorbanan itu tidak dapat dibalas sampai bila-bila. Ketika saya terlantar di wad ketika berusia 9 tahun, ayah dengan susah payahnya berulang-alik sejauh 60 kilometer dari kampung ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Ketika saya mengalami sendiri lelah berteksi dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang, kemudian bervan dari Kuala Berang ke kampung dengan masa menunggu sahaja tidak pernah kurang dari satu jam, baharulah saya mengerti getirnya. Getir berulang alik setiap dua hari sehingga terpaksa melupakan kerja pada hari-hari menjenguk saya di hospital. Belum lagi dikira kos perjalanan dan makan minum sepanjang tempoh lawatan itu. Belum lagi dicampur kegundahan hati meninggalkan anak kepada kakitangan hospital. Tika itu bulan puasa, dan saya ditahan di wad selama tiga minggu.
Waktu itu saya disyaki mengalami masalah buah pinggang kerana gemar memakan makanan ringan. Setiap hari saya dibekalkan 30 sen. Dua puluh sen saya guna untuk membeli makanan ringan dan bakinya saya simpan. Sehinggalah suatu hari ayah perasan mata saya sembab seperti orang tidur bertiarap. Pembantu perubatan di Klinik Desa Tengkawang mengesyorkan kes saya dirujuk ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Di wad, saya diberi minum air kosong pada kadar yang banyak melebihi kadar biasa dua gelas sehari yang saya minum sebelum itu. Bermakna saya tidak berpuasa seperti orang lain. Seminggu sebelum raya, saya keluar dari wad. Pesan doktor, “Kurangkan makan makanan ringan. Kurangkan minuman bergas.” Sehingga kini, saya hanya kuat pantang minuman bergas, tetapi kadang-kadang gatal tangan juga memakan makanan ringan. Gatal itu kerana menumpang orang lain makan, bukan disebabkan saya membeli makanan ringan itu sendiri. Ada kemungkinan sekali atau dua kali dalam sebulan saya memakan makanan ringan.
Cerita 2
Jam 2.30 pagi, 27 November 2010. Saya terima panggilan Ust. Hj. Shukri Osman, kakitangan di Pusat Islam USM Kejuruteraan. Beliau memaklumkan saya dua hal. Pertama bosnya akan datang. Kedua rasa belah bahaginya untuk hadir ke majlis kenduri saya. Jam 1.00 petang lebih dia menelefon lagi mengkhabarkan kedudukannya di Jerteh. Dan akhirnya dia sampai ke teratak (berusia 30 tahun) ayah jam 1.45 petang. Begitulah sungguh-sungguh dia bersama isteri dan anak lelakinya Abrar (dua tahun dua bulan) berkereta dari Bandar Baharu, Kedah. Ustaz Shukri menunjukkan contoh yang baik kepada saya kerana dia masih berkereta lama seperti dia masih bujang dahulu walaupun pada kedudukannya kini sudah mampu memiliki kereta yang lebih baik. Saya tabik pada sifat qana’ah yang beliau amalkan itu.
Kami bersembang seketika kerana beliau mahu beredar untuk bermalam di Pasir Mas, Kelantan. Menyampaikan hadiahnya dan tanda ingatan seorang lagi rakan sejawatnya Ust. Shahroni Ibrahim. Ketika itu juga Ust. Hj. Shukri menghubungi bosnya. Ketika itu Ust. Yusof berada di Chalok, Setiu. Beliau bertolak dari Alor Setar selepas Subuh. Ustaz Yusof tiba bersama semua ahli keluarga beliau kecuali anak sulungnya pada jam 3.30 petang. Banyak perkembangan terbaharu yang dikongsi. Pertambahan kakitangan Pusat Islam, projek sukarelawan membantu mangsa banjir di Kedah, perkembangan staf-staf Pusat Islam ketika saya berkhidmat di sana (khidmat biasa bukan staf), perihal anak beliau yang sudah menjadi usahawan ternak dan tentu sekali beberapa orang rakan saya yang terus berada di kampus kejuruteraan.
Betapa orang yang hebat melakukan perkara yang hebat juga. Berada jauh di Kedah untuk meraikan bekas seorang anak buah dan sahabat adalah perkara hebat. Meski setelah meninggalkan alma mater, saya belum meluangkan masa menjenguknya semula, masih ada ikatan hati yang belum berpisah. Betapa ketika saya menyatakan rasa terharu, lalu dijawab oleh Ust. Yusof, “Khidmat enta lebih besar daripada apa yang saya lakukan hari ini (memenuhi jemputan walimah).” Saya sentiasa doakan semoga kehidupan mereka dirahmati-NYA. “Allaahumma ahsin li-man ahsana ilayya – Ya Allah, berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat baik kepadaku.”
Cerita 3
Apabila ibu mendapat tahu saya gulana memikirkan soal wang kenduri, dia mengamankan saya, “Emak tidak kisah pasal wang. Biarlah apa kata adik beradik yang lain.” Ya. Kalau diikutkan ‘skema’ sampai umur saya empat puluh tahun pun, belum tentu wang untuk sebuah majlis jamuan perkahwinan saya cukup. Dengan kadar waktu menyimpan wang yang terbatas (36 bulan), syukurlah saya hanya mampu kumpulkan wang untuk membeli barang hantaran dan maskahwin. Kenapa? Tentulah disebabkan saya tega tidak mahu meminjam wang dari bank untuk kahwin. Saya betul-betul tidak meminjam wang dari bank. Pun begitu, sebagai anak hal ini tidak harus dibiarkan begitu saja. Ada rasa serba salah sehinggalah saya kira dapat mengembalikan semula kos perbelanjaan kenduri kahwin itu. Dan saya memantapkan azam mencabar diri sendiri melunaskan cita-cita dan harapan saya itu dengan menulis. “Ya Rabbi yassir wa laa tu’assir.”
Cerita 4
Dan sehingga kini, saya sedar betapa dalam setiap detik Allah sentiasa menjaga diri saya walaupun sesekali saya lalai menjaga hak saya terhadap-NYA. Sungguh zalim hamba-MU ini Ya Tuhan.
2 ulasan:
Mak ayah sanggup buat apa saja untuk anaknya naim. Saya percaya, kalau terpaksa berulang alik lebih daripada tu pun mereka sanggup..
Naim, tahniah kerana tidak menjadi hamba hutang bank kerana nak kawin. Ramai yang berbuat begitu sekarang, padahal Islam tak suruh menyulitkan perkahwinan dengan melakukannya secara besar-besaran sehingga terpaksa berhutang.
Fida, sederhana saja.
Tetapi orang suka buat besar untuk bermegah. Ada suatu kenduri di K Trg saya dengar lembu sahaja sudah 13 ribu ringgit. Entah macam mana besar lembu itu (baka import).
Catat Ulasan