Isnin, November 08, 2010

Belajar sifat manusia dahulu

Mari kita kaji sifat-sifat manusia zaman dahulu sehingga kita dapat mengikut mereka. Sabda Nabi S.A.W, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku.”


Hebatnya sahabat-sahabat, apabila diajak turun berjuang di medan Badar, mereka sanggup. Meski kekuatan mereka amat kecil berbanding dengan kekuatan musuh. 313 orang berhadapan dengan 1000, tentulah dengan nisbah 1 orang tentera Muslim melawan tiga orang tentera Musyrik. Pada awalnya, diadakan mubarakah iaitu seorang tentera Muslim mara untuk berhadapan dengan tiga orang tentera musuh. Tentera Muslim yang pertama ini berjaya menewaskan musuh yang pertama dan kedua. Apabila berhadapan dengan musuh ketiga, dia juga berjaya menusuk rusuk musuh dan mati. Tetapi dia sendiri cedera juga. Tentera Muslim ini akhirnya syahid dua hari sesudah Perang Badar. Setelah itu baharulah tentera-tentera lain berhadap-hadapan secara keseluruhan. Dalam perang ini, nabi berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh sehingga basah serban di bahunya. Andai kata tentera Muslim tewas, tentulah tiada lagi orang yang akan menegakkan Islam di muka bumi.


Apakah rahsia kekuatan sahabat-sahabat? Mengapa mereka sanggup mengorban jiwa raga untuk Islam?


Pertama, ayat 2 surah al-Anfal. Mafhum ayat, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (al-Anfal:2)
Tetapi dalam ayat lain (ar-Ra’du:28) Allah berfirman, (mafhumnya) - “Tidakkah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

Apakah berlaku berselisihan dalam hal ini? Sebenarnya tiada sebarang percanggahan antara kedua-dua ayat ini. Ayat dalam surah Ar-Ra’d merupakan peringkat pertama (tahap paling bawah) keadaan seorang hamba terhadap Penciptanya. Pada tahap yang lebih tinggi, seorang yang beriman menjadi gementar hatinya kerana tidak dapat merasa aman melainkan jika melaksana semua perintah dan menjauh segala larangan Allah. Bermakna pada peringkat ini, seseorang tidak boleh duduk diam melainkan dalam dirinya ada usaha untuk menzahirkan tuntutan Allah. Betapa hari ini kita lihat, ada orang langsung tidak kisah terhadap ayat-ayat al-Quran. Apabila melakukan sesuatu, agama menjadi rujukan kedua selepas nafsu.


Kedua, ayat 124 surah at-Tawbah. Mafhum ayat, “Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini? Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).” (at-Tawbah:124)

Ayat ini turut dalam keadaan orang musyrik mempersenda orang-orang beriman. Mereka bertanya, “Apakah dengan penurunan sesuatu ayat al-Quran menjadikan iman seseorang bertambah?” Maka Allah menceritakan kejelekan sikap mereka di dalam al-Quran.
Menurut bekas Mufti Sabah dalam kitab Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, untuk menambah iman seseorang perlu:


  1. Kenal Tuhan. Awal-awal agama adalah mengenal Allah. Bagaimana hendak kenal Allah? Apakah perlu kenal dzat Allah? Untuk mengenal Allah, lihatlah kepada af’aal Allah. Iaitu kekuasaan dan kebesaran Allah dalam ciptaan-NYA. Kita sekali-kali tidak boleh berfikir tentang dzat Allah (takyif/membagaimana Allah), kerana Allah Tuhan yang tidak sama dengan apa jua yang terlintas dalam fikiran manusia. Hal ini sesuai dengan sifat Allah yang ‘Bersalahan (tidak sama) dengan segala sesuatu.’

  2. Kenal diri. Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia mengenal Tuhannya. Renung diri kita. Dari mana kita datang? Apa tujuan kita diciptakan? Ke mana kita akan pergi sesudah mati? Betapa dalam diri manusia yang asalnya dari setitis mani yang hina, mengalami peringkat penciptaan dalam tiga kegelapan, ditambah Allah dengan pancaindera. Kemudian dikeluar ke bumi dengan kelebihan akal untuk berfikir dan kekuatan menguasai makhluk-makhluk lain di alam semesta. Renunglah ke dalam diri, setiap hari lebih 100000 kali jantung berdenyut tanpa perlu mengguna bateri. Elektron dalam sinaps manusia bergerak dengan kelajuan 400 km/jam. Dan setiap lima saat mata kita berkedip tanpa kita sedari. Sedarkah kita dalam badan kita ada penapis paling lasak iaitu buah pinggang? Dan hebatnya susu dicipta hasil campuran air mani dan darah. Hebatnya Allah!

  3. Kenal Rasul. Allah menurunkan syariat dengan mengutus rasul. Ada 313 orang rasul tetapi yang wajib kita tahu hanya 25 orang. Selain rasul Allah mengutus 124 ribu (sesetengah pendapat ulama 125 ribu) orang nabi.

Catatan: Rumusan Kuliah Jumaat, 05 Nov 2010, 9.00 - 10.30 pagi. Kolej Darul Quran, Kubang Lembek, Manir. Sambungan kuliah ini pada Jumaat berikutnya. Tetapi saya tidak berpeluang mengikutinya minggu depan.

4 ulasan:

Afida Anuar berkata...

SubhanaAllah...siapa kita utk menafikan keagungan ciptaan Allah...apa lagi tak tunduk sujud menyembah Allah..

PS: Mesti balik kampung isteri ni... ada apply KPLI juga ke naim?sekadar bertanya..

uj berkata...

ini di KUDQI kan..? itu lah rasa.. bile berpeluang balik duk kampung halaman negeri sendiri... terima kasih atas perkongsian ini... Uj ada link kan dengan entry UJ hari ini...

Naim berkata...

* Afida ; 1. Ya. 2. Ya. Ujian 1 di sekolah Bkt. Jalil.

** UJ ; 1. dulu dikenal sebagai DQ. Sudah naik taraf macam yg anda bg taip. -:)

aku mozu berkata...

Subhanallah...

thanks utk ilmu ini.