Had pandangan seorang lelaki terhadap bakal tunang/isteri.
Seorang lelaki diharuskan melihat muka dan tapak tangan wanita yang ingin dinikahinya. Melihat rupa adalah sebagai memandang keelokan rupanya. Hikmah melihat tapak tangan depan dan belakang supaya diketahui kelembutan dan kesuburan wanita itu.
Dalam hal ini, jika si lelaki tidak berpuas hati dengan sekadar melihat muka dan tapak tangan; bolehlah dia menghantar seorang wakil perempuan untuk melihat betis wanita itu. Hal ini kerana Rasulullah pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang perempuan yang ingin dikahwini baginda dengan sabdanya, “Lihatlah kedua-dua betingnya (betis).”
Adat meminang
Setelah berpuas hati, bolehlah lelaki menyatakan hasrat untuk meminang wanita tersebut. Meminang seorang yang bukan mahram (wanita ajnabi) bolehlah dinyatakan secara terus terang jika wanita itu mempunyai keadaan berikut.
• Wanita anak dara.
• Belum menjadi tunang orang lain.
• Bukan isteri orang.
Pernyataan terus terang misalnya, “Saya mahu kahwin dengan kamu.” Atau, “Saya mahu menyunting kamu sebagai suri hati saya.”
• Meminang wanita-wanita selain itu hendaklah dibuat secara kiasan jika melibatkan;
• Wanita dalam iddah baain iaitu iddah disebabkan cerai dengan talak tiga.
• Wanita dalam iddah yang kematian suami.
Lafaz ta’yir (kias) dinyatakan seperti, “Awak sudah lama menyendiri, tidak sunyi?”
Haram meminang wanita berikut:
• Wanita yang telah menjadi tunang orang lain atau telah memberi komitmen (persetujuan) kepada seorang lelaki lain untuk bertunang ketika si lelaki tersebut merisiknya.
• Wanita dalam iddah raj’ie iaitu wanita yang dicerai dengan talak satu atau dua.
Jika berlaku kes lelaki kedua meminang seorang perempuan dan dia (perempuan) menerima, kemudian mereka berkahwin. Ulama As-Syafi’iyyah berpendapat akad nikah tersebut sah, tetapi si lelaki menanggung dosa kerana perbuatannya.
Bahana Hikmat Pelalau
Ada satu kes seorang lelaki was-was dalam memilih wanita yang akan menjadi isterinya. Pertama kali setelah melihat wanita tersebut dia bersetuju. Tetapi akhirnya timbul perasaan syak sehingga dia membatalkan hasrat menyunting wanita tersebut. Ada kes seorang lelaki menolak lebih sepuluh orang wanita yang pada awalnya dia rasa tertarik. Kes ini dipanggil pelalau. Istilah sastera lama ada menyebut hikmat pelalau iaitu jampi serapah untuk menyekat perkahwinan atau untuk memenangi hati gadis kepunyaan orang lain[1]. Sihir ini menyebabkan si lelaki yang dijampi menjadi tidak mantap hatinya untuk menerima seseorang wanita meski wanita itu sudah cukup syarat.
Bagi kes pelalau ini, mengikut perubatan Islam mangsa hendaklah banyak mengamalkan zikir ayat 115 surah al-Mukminuun.
Seseorang wanita yang dirisik boleh diketahui kebaikan dan keaibannya melalui orang-orang yang rapat dengannya. Menyatakan keaiban seorang wanita (jika ditanya) oleh lelaki bakal tunangnya tidak termasuk dalam dosa mengumpat yang diharamkan.
Nota kuliah Maghrib, Ust. Abdul Manaf, Kitab Fiqh al-Manhaji, tulisan Imam Syafi’e. 13 Nov 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.
Nota kaki
[1]Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 873.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan