“Akhir zaman ini seperti mana yang disebut dalam hadis nabi, aka nada golongan tanajuz.” Kata Ustaz Imran.
Golongan ini menaikkan harga jualan dalam proses bidaan (lelongan) sedangkan sebenar-benarnya dia tidak mahu membeli. Tujuan membida hanya untuk memastikan harga barang yang dilelong naik lebih tinggi daripada harga yang sepatutnya.
Saya ingat hal ini. Saya pernah lalui pengalaman ini. Tetapi saya tidak pernah melakukan perkara ini. Dalam jual beli di ebay atau lelong dot com, perkara ini biasanya berlaku. Mungkin hal ini juga berlaku dalam sesi lelongan awam yang lain. Katalah si A mahu melelong barang, maka dia berpakat dengan Si B. Apabila ada seorang memulakan bidaan, maka Si B akan menaikkan nilai bidaan. Orang yang mahu membeli barang lelongan itu akan terus menaikkan harga asal sahaja setiap kali dibida, nilainya akan mengatasi nilai yang dibida Si B. Dan seringkali harga yang dilelong akan melebihi separuh harga asal barang jika dibeli baru. Dalam proses penjualan barang pascaguna (used item), biasanya harga yang munasabah adalah 1/3 hingga ½ harga asal yang baharu. Ia juga bergantung kepada keelokan barang yang hendak dijual. Dalam lelongan awam melibatkan kenderaan, harga biasanya ditentukan oleh susut nilai.
Berbalik kepada proses jual beli secara lelong melalui internet. Kadang-kadang diskripsi barangan lebih baik berbanding keadaan sebenar produk. Bagaimana seseorang boleh percaya barang yang hendak dijual sama seperti yang dipapar dalam gambar? Lainlah halnya jika kita dapat melihat secara fizikal barang yang didagangkan. Dalam banyak hal, pembeli biasanya akan merujuk kepada testimonial pembeli terdahulu sebelum mengambil keputusan meneruskan urusniaga tersebut. Tetapi ramai di kalangan mereka tidak sedar, bahawa terdapat unsur menaikkan harga bidaan secara terancang yang lebih menunguntungkan penjual.
“Maka benarlah hadis nabi, bahawa akhir zaman ini telah berlaku penipuan dalam bentuk tanajuz ini.” Kata Ustaz sebagai mengakhiri kuliah sebelum khutbah Jumaat.
Pentazkirah: Ust. Imran Selamat. Masjid al-Hidayah, Sentul, 29 Okt 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan