Hendaklah seseorang tidak melengah-lengah waktu untuk berbuat amal kebajikan. Kerana berlengah-lengah itu merugikan. Kata ustaz, “Sebagai contoh, orang suka datang awal ke masjid. Sebelum azan sudah sampai. Dia duduk di luar, melihat kereta lalu lalang. Dia tidak menunaikan solat sunat sebelum maghrib. Biarlah orang lain menunaikan solat sunat. Dia tengok-tengok saja. Baginya tidak ada solat sunat sebelum maghrib. Tetapi tidakkah jika datang awal boleh ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid? Boleh beriktikaf sebentar sementara menunggu azan?”
Dalam jumhur as-Syafie, sunat ditunaikan solat sunat sebelum maghrib walaupun tarafnya bukan sunat muakkadah (sunat yang amat dituntut).
Pada pandangan ahli tasawwuf, masa sekarang adalah waktu dan kesempatan yang diberi Allah untuk beribadat. Maka apabila seseorang terfikir untuk melakukan kebaikan, lakukanlah pada waktu itu juga. Usah ditangguh pada saat lain. Hal ini akan menyebabkan si pelaku menyesal pada hari kebangkitan. Katakanlah jika seseorang tergerak hatinya untuk menunaikan solat, tetapi dia bertangguh dengan alasan akan menunaikannya setelah sampai ke rumah. Bagaimana sekiranya dalam perjalanan pulang itu dia dijemput menghadap Allah? Tidakkah itu satu kerugian baginya? Justeru bersegeralah melakukan kebaikan. Kita tidak tahu apa yang bakal menimpa kita sedetik lagi, lima minit lagi. Mati boleh datang bila-bila masa.
Imam al-Ghazali menukilkan hadis nabi yang bermaksud, “Jika seseorang yang berusia 40 tahun sedangkan amal kebaikan tidak melebihi amal kejahatannya, maka bersiap sedialah dia ke neraka.” Mengapa empat puluh? Ulama tasawwuf sependapat umur 40 adalah usia matang. Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi dan rasul ketika berusia 40 tahun. Pada usia ini manusia mencapai pemikiran matang untuk menentukan hala tuju hidupnya di akhirat. Usahlah kita memandang dari sudut pandang rahman dan rahim Allah. Jika dilihat dari sudut ar-Rahman Allah itu, DIA berkuasa memberi hidayah kepada seseorang yang hidup hampir seratus tahun dengan dosa. Dan saat akhir hidupnya dia bertaubat dan menjalani jalan ke syurga. Tetapi pandanglah dengan pandangan tasawwuf. Bahawa setiap detik adalah waktu untuk kita membetulkan diri menuju tujuan asal kita diciptakan. Kita diciptakan untuk beribadah kepada-NYA.
Apa sahaja yang kita lakukan bernilai ibadah selagi tidak terpesong dari tuntutan agama. Kerja kita. Pengajian kita. Memberi nafkah kepada anak-anak. Jual beli kita. Main saham dan lain-lain.
Nota: Ringkasan kuliah Maghrib, kitab Ayyuha al-Walad (Duhai Anak Kesayanganku), karangan Imam Al-Ghazali, syarah oleh Ust. Nor Hafizi. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL. 12 Oktober 2010.
1 ulasan:
Naim..terima kasih atas perkongsian.
Saya perhati ramai manusia suka menangguhkan solat, sebab tv la, sebab facebook la......sedangkan ada cerita seorang sahabat Nabi S.A.W yang sedang membina rumah dan tinggal seketul batu yang terakhir utk diletakkan, azan berkumandang. Dia tinggalkan batu itu dan pergi ke masjid. Ada orang yang ternampak perlakuan tersebut bertanya kenapa tidak diletakkan saja batu yang penghabisan itu. Dia menjawab, lebih kurang bunyinya, kalau dia letakkan batu itu, maknanya dia lebih membesarkan batu itu daripada Allah.
waAllahualam..
Catat Ulasan