Khamis, September 30, 2010

Seriuskah usahawan kita?

Dalam kepala seorang usahawan ada satu paradigm ketergesaan. Pantang ada peluang, pasti dimanfaatkan. Peluang bagi seorang usahawan adalah keuntungan. Sebab itu saya menjadi letih apabila melayan karenah bekas bos kilang produk makanan kesihatan dahulu. Masakan tidak? Jika di awal bulan sebagai seorang Pengurus Pengeluaran, saya membuat unjuran sekian banyak aktiviti pembuatan di kilang. Tiba-tiba pada pertengahan bulan, volum pembuatan perlu ditambah beberapa peratus. Dan tentulah rutin normal pembuatan perlu diubah. Masa kerja dan penggunaan bahan mentah pun perlu dinilai semula. Dan kadang-kadang terpaksa juga pulang sekitar jam 2 atau 3 pagi. Akhirnya saya fikir saya bukanlah orang yang kompeten untuk terus bersabar melayan ragam pengurusan bekas bos saya itu.

Tadi saya menelefon seorang usahawan real estate property di Kuala Terengganu. Saya hubungi nombor telefon yang tertera dalam laman webnya. Tetapi dia tidak menjawab panggilan itu. Saya susuli maksud panggilan dengan esemes. Selepas tiga jam tidak mendapat respon, akhirnya dia menjawab esemes saya. “Mahukah?” Saya balas, “Maaf. Sudah dapat tempat lain.” Begitulah sikap sesetengan usahawan Melayu yang kita ada. Sebahagian mereka berniaga dalam keadaan bersungguh-sungguh tetapi kadang-kadang culas. Memang patut pun usahawan tadi itu terlepas sedikit wang yang sepatutnya akan mengalir ke akaun perusahaannya. Zaman teknologi bukan lagi zaman untuk usahawan Melayu berfikir negatif dengan mengandaikan panggilan yang dibuat tidak penting, salah dail, atau main-main.


Saya fikir kalau saya menelefon seorang usahawan bukan Bumiputera, pasti dia akan menelefon semula jika tidak sempat menjawab panggilan. Usahawan bukan Bumiputera akan menyediakan satu fenomena terdesak dengan mengatakan, “Encik, memang ini yang terakhir. Yang lain semua sudah penuh. Rugi kalau tidak confirm sekarang.” Demikian kadang-kadang kerana unsur terdesak itu secara psikologi pelanggan akan sanggup meski peniaga menawarkan harga yang tinggi sedikit. Dan biasanya pelanggan yang terpedaya akan terkena.


Tiada ulasan: