Ahad, September 05, 2010

Ramadhan 7: Hadiah raya sebelum pulang 9 Sept

4 September, syarikatku menganjurkan program CSR di Masjid al-Hidayah Sentul. Aku dapat hulurkan bantuan sekadar yang patut sehingga jam 3 petang sahaja. Pada sebelah pagi, kami bergotong-royong menyediakan masakan berbuka puasa. Dan mengikut tentatif program, bermula selepas solat Asar majlis meraikan Anak Yatim dan Fakir Miskin bermula. Pun begitu, aku terpaksa mengundur diri kerana mendapat undangan berbuka puasa di rumah pengasas e-Sastera di pinggir Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Rumah Dr. Irwan bersebelahan tanah Pak Lah (Tun), tetapi bekas PM itu tidak mendiami tanah tersebut setelah diberikan rumah oleh kerajaan semasa beliau menjadi ketua utama kerajaan. Khabarnya rumah itu sentiasa dihadiri pegawai polis. Dan khabarnya lagi, rumah itu menjadi tempat persembuyian Saiful Bukhari ketika awal-awal kesnya meletup melibatkan DSAI. Jadi boleh dikatakan kawasan rumah Dr. Irwan itu kawasan ‘selamat’.

Pada malam selepas bersolat Isyak, kami sama-sama menunaikan solat sunat Taraweh. Aku mengimami solat ini. Selepas solat ketika sesi moreh, Dr. Irwan mengumumkan statusku. Dan beliau membuat satu kejutan. “Kami ingin menyampaikan satu hadiah dan sedikit duit raya kepada Naimisa.” Ujar beliau.

Ya Allah! Memang DIA lebih mengetahui gerak hatiku seawal bertolak, iaitu aku berhajat mendapatkan sebuah buku (tentulah dengan membelinya). Hasrat itu diilhamkan-NYA pula dalam bentuk lain. Syukur. Alhamdulillah. Kebanyakan ahli eSastera (kerana mereka jauh-jauh) berkata, “Diam diam sahaja Naim.” Bukan sengaja, bagiku kalau dijemput pun, sekadar menjemput kosong. Aku tidak fikir mereka dapat hadir kerana masing-masing tentulah punya agenda raya yang tersendiri. Lagi pula, tidak ramai ahli eSastera yang pernah bersua denganku tinggal di Terengganu kecuali seorang.

Buku ini bagiku suatu yang bagus kerana mendapat sentuhan Khusus Tuan Guru Nik Abdul Aziz, iaitu pandangan sisi beliau hasil temubual setpolnya (Setpol sebelum Setpol yang baharu ini). Dari segi kandungan dan susun atur perkataannya serta matan-matan hadis dan doa yang dimasukkan sangat meyakinkan. Bagi saya buku yang bagus mestilah buku yang memiliki fakta yang tepat di samping ketelitian pada susun atur huruf dan ejaannya. Dengan itu pembaca tidak terganggu oleh langgam bahasa yang berbelit-belit atau kesalahan ejaan di sana sini. Yang menariknya dalam buku ini ditambah satu terapi ED (mati pucuk) melalui kaedah solat yang terbukti dari segi saintifik.

Allahumma ahsin li man ahsana ilayya (Ya Allah! Berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat baik kepadaku)
Selamat Berhari Raya, Maaf Salah Silap.


4 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Wahhh naim..persiapan ya:D

Moga dipermudahkan urusan di hari bahagia nanti..

Naim berkata...

Afida, Nak masuk periksa pun kena buat persediaan. :D :)

aku mozu berkata...

Selamat hari raya... maaf zahir batin. Jupe di Ganu, deh!

N Faizal Ghazali berkata...

Selamat hari raya berpasangan untuk demo..