Isnin, Februari 20, 2006

Pesanan buat belia.

Maal hijrah masih segar kerana kedatangan Muharram 1427H sedang dilalui oleh kita. Dalam prinsip Kaizen yang dipelopori oleh bangsa Jepun, mereka berjaya bangkit sebagai sinar baru ekonomi Asia Timur selepas 50 tahun kehancurannya. Kaizen yang dihayati oleh bangsa Jepun memartabatkan tamadun bangsa manusia kerdil Asia Timur pada tahap yang membanggakan. Kemajuan material yang dicapai oleh Jepun mengkagumkan dunia Barat, tahap keilmuan Jepun melonjak menjadikannya pendahulu dalam teknologi dan sains.

Kisah kebangkitan bangsa Jepun diperingatkan sempena maal hijrah untuk mengajak kita berfikir dan merenung nasib bangsa kita. Imam al-Ghazali dalam wasiatnya berkaitan tamadun bangsa adalah seperti berikut; “Kegemilangan sesuatu bangsa terletak pada keunggulan muda-mudi bangsa tersebut.” Jika mahu melihat masa depan sesebuah tamadun bangsa, lihatlah keadaan muda-mudinya. Golongan belia menurut statistik dalam bancian penduduk pada tahun 2001 menunjukkan sejumlah 49% daripada masyarakat Malaysia adalah belia, daripada jumlah itu 55% adalah Islam (Pemerkasaan Belia: Cabaran, realiti dan harapan, Azizuddin Ahmad). Belia didefinisikan sebagai mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun.

Golongan belia merupakan penggerak, perobah, reformis dan pendokong aliran pemikiran baru. Al-Quran sendiri dalam surah al-Kahfi memperihalkan keberkesanan gerakan belia yang mampu menggugat kekuatan raja yang kafir. Tujuh pemuda dalam kisah Ashab al-kahfi merupakan contoh terbaik bagaimana peranan belia amat signifikan kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Lantaran kesedaran raja yang zalim terhadap ancaman yang bakal dihadapi, dia memburu pemuda yang beriman itu sehinggalah mereka menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam gua. Melarikan diri yang dibuat bukanlah menunjukkan mereka pengecut, sebaliknya sebagai strategi jangka panjang untuk menghadapi raja yang zalim. Kisah ini amat baik untuk direnungi oleh belia masa kini memandangkan tampuk kepimpinan negara akan diwarisi oleh mereka.
Baca artikel seterusnya.
Coretan dinihari 17 Feb 2006, jam 0300.

Tiada ulasan: