Isnin, Februari 27, 2006

Roti canai

Hari-hari aku melalui kafetaria untuk mengisi kekosongan perut sebelum memulakan kerja. Kunjungan itu dibuat jika selepas Subuh aku tidak keluar bersarapan bersama sahabatku merangkap ketua 1 di sini. Aku mempunyai dua ketua, seorang di Pusat
Islam dan seorang lagi di PPK Kimia. Mereka boleh mengarah mengikut keadaan dan fungsi yang dijalankan tentunya berbeza.

Hari itu berjalan bersama kawan, dan dia tahu aku suka roti canai di kafetaria tersebut. Ya, memang dahulu aku sentiasa enak memakan dan suka membelinya. Kebelakangan ini tukang tebarnya sudah bertukar. Kawanku pada pagi itu beria-ia mahu menaja roti canai untuk sarapan. Aku katakan kepadanya aku tidak lapar roti canai hari ini. Sudah seminggu juga aku ‘memboikot’ roti canai itu.

Aku melakukannya kerana itu citra dan citarasaku. Sebelum makan, aku akan menyeledik tukang masak dahulu. Baharulah hal-hal lain difikirkan. Aku memerhati juga persekitaran untuk duduk makan, takut-takut berhampiran sekumpulan manusia yang mulutnya berasap. Bimbang asap dari mulut mereka menyesakkan nafasku. Ya! Asap yang membawa banyak racun. Macam bau tengik kemenyan yang dibakar oleh orang cha ya nun alif di sebelah rumah sewa beberapa rakan. Tetapi tengiknya bukan sekadar tengik, tengik dan tepu dengan racun.

“Ok, duduk di sini.” Aku meletakkan fail yang dibawa sambil meninjau makanan lain seperti kuih atau nasi goreng di kaunter.

“Tak mahu roti?” kawanku bertanya lagi.
“Tidak mahu.” Aku menjawab ringkas sambil tersenyum.

Dia membeli sebiji roti canai dan aku mengambil empat biji kuih di kaunter. Cuma aku tidak memberitahunya bahawa aku tidak mahu makan roti canai kerana penebar roti
menunjukkan yang dia juga mempunyai rambut seperti lelaki! Terjuntai-juntai macam ekor kuda di belakngnya.

Coretan 24 Feb 2006.
Jam 1830.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Abg long kalau beli roti canai telur, dia akan pastikan pembuat roti canai membasuh telur ayam tersebut. Jika tidak, jangan harap aaa makan kat kedai tu. Faktor kebersihan sangat penting, kerana ia secara tidak langsung berkait dengan peribadi kita dan iman kita.
-kakak-

Naim berkata...

ya setuju! Pasal apa lah berkira sangat Naim ni.

Tengok sini mengapa?