Falsafah Kemerdekaan.
Merdeka dari aspek sosiologi atau kenegaraan bermaksud bebas daripada cengkaman pentadbiran kuasa luar. Sesebuah negara yang berdaulat diperintah dan ditadbir oleh penduduk asal sesebuah negara. Manakala merdeka dalam aspek kerohanian bermaksud bebas melaksanakan tuntutan agama tanpa rasa curiga atau takut.
Kemerdekaan seorang Muslim.
Saya suka mengupas falsafah kemerdekaan mengikut al-Quran. Al-Quran yang kita baca mengisahkan cerita membebaskan diri yang hakiki, iaitu melepaskan diri daripada semua kesyirikan. Membebaskan diri daripada mempersekutukan Allah daripada segala sesuatu dikisahkan dalam peristiwa pencarian Tuhan (Allah) oleh nabi Ibrahim.
Firman Allah dalam surah al-An’aam, ayat 75-79.
[75] Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
[76] Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".
[77] Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".
[78] Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
[79] Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).
Dalam ayat ini, ketika nabi Ibrahim diajukan tentang Tuhan, baginda mengajak kaumnya mencari Tuhan. Apabila sampai malam, dikatakan oleh baginda kepada kaumnya (dengan kata-kata sebagai tujuan mendidik kaumnya, bukan dengan iktiqad) berkenaan unsur-unsur alam yang dipertuhankan oleh mereka. Sehingga kesemua unsur alam itu (bintang, bulan dan matahari) lenyap (yakni tidak bersifat hakiki, tenggelam timbul), baginda menyeru kepada kaumnya untuk tidak mempersekutukan Allah.
Hari ini manusia mempersekutukan Allah dengan mempertuhankan perkara lain. Di antara perkara yang dibuat ialah mengakui bahawa ada peraturan lain yang lebih tinggi berbanding dengan undang-undang yang digariskan di dalam al-Quran.
Ayat-ayat yang dibawa di atas, bersesuaian dengan sifat al-Quran sebagai yufassiruzzaman yang relevan sepanjang waktu. Arus dan gelombang segerombolan manusia dalam persatuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia adalah roda pusingan kisah ‘pencarian Tuhan’ zaman moden. Dalam pada manusia Muslim resah dan gelisah kerana cita-cita melaksanakan perintah dan anjuran agama secara bebas, mereka diserang pula dengan serangan menyamakan agama. Inilah dia gagasan Islam plural yang sedang berjalan.
Menjana muslim berkualiti.
Arus kemodenan selaras dengan kemerdekaan negara tidak berupaya memerdekakan seorang Muslim secara total. Pendidikan Islam semakin ditekan dan dihenyak seolah-olah tidak penting kepada seorang Muslim. Cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita terutama ibu bapa ialah menerapkan praktis-praktis agama yang mantap. Tambahan pula, sudah ada gesaan supaya sebarang bentuk pengajaran agama dimanushkan daripada sistem pendidikan di sekolah kebangsaan. Sedar atau tidak, (untuk pengetahuan am), bahawa pakatan naib canselor IPT sudah menerima usul pemansuhan kursus berkaitan agama Islam di peringkat institut pengajian tinggi.
Usul ini sudah dipanjangkan, tetapi sehingga kini masih ditentang hebat oleh beberapa ahli akademik yang sayangkan Islam. Saya bimbang, sekiranya terjadi keajaiban, perkara ini akan berlaku seperti mana termansuhnya institusi agama tersohor di Terengganu. Tahukah anda? Rang Undang-undang pemansuhan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sudah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu? KUSZA menjadi korban dan sejarah dalam kegemilangan sebuah institusi pengajian tinggi baru yang tumbuh di Terengganu iaitu Universiti darul Iman (UDM). Saya bukanlah menentang penubuhan UDM, tetapi langkah menguburkan KUSZA selaku institusi agama yang banyak melahirkan cendiakawan Islam adalah tidak wajar.
Semua pihak harus sedar, bahawa dalam keadaan yang kalut ini generasi muslim yang berkualiti perlu dilahirkan. Semestinya menjadi cabaran yang maha hebat kepada semua pencinta agama. Generasi muslim Rabbani mesti dilahirkan dengan harapan apabila setiap individu sudah memahami tuntutan agama, mereka akan mempertahankan agama semampunya. Golongan rabbani merupakan generasi yang mempunyai kepedulian yang tinggi terhadap agama. Mereka meliputi semua tanpa mengira bidang pendidikan dan kerjaya yang diceburi. Justeru, apabila semua elemen manusia dalam masyarakat ini menjadi manusia rabbani, dengan mudah kita mengembalikan semula kemerdekaan seorang Muslim.
Golongan Rabbani.
Saya katakan, bahawa sesiapa sahaja yang mukallaf berhak dan harus menghayati konsep rabbani. Ayat 79 surah aali-‘Imraan mengelaskan golongan rabbani kepada dua, iaitu mereka yang mengajar dan belajar kandungan al-Kitab. Sebagai manusia akhir zaman, umat nabi Muhammad shollaahu’alaihi wasallam, al-kitab yang kita pegang ialah al-Quran. Dengan adanya kesediaan dan kesedaran semua pihak, nampaknya tidaklah sukar untuk mencapai perkara ini. Cuma yang penting ialah setiap individu muslim membudayakan proses pembelajaran sepanjang hayat. Mereka sentiasa ghairah mencari dan memperkayakan diri dengan ilmu agama.
Maka tidaklah hairanlah sekiranya dewasa ini kita melihat ramai golongan yang cenderung kepada agama malah mendalami ilmu agama walaupun mereka telah berjaya memperoleh kelulusan yang tinggi dalam bidang profesional. Saya tidak mahu rigidkan terma profesional kepada sebahagian golongan sahaja. Kononnya profesional itu hanya peguam, doktor, jurutera, akauntan, arkitek dan saintis. Profesional dalam skop yang lebih luas ialah golongan yang mampu menggunakan kepakaran dalam sesuatu bidang untuk kepentingan orang lain. Maka sesiapa sahaja boleh menjadi profesional. Seorang ustaz, guru, pendakwah bebas, ahli motivasi, penoreh getah, petani, nelayan dan lain-lain mampu bergelar profesional.
Apa guna berada dalam kumpulan profesional, sekiranya tindak tanduk yang ditunjukkan adalah sebaliknya? Apa guna berada dalam kelas elit, sekiranya keelitan itu digunakan untuk menghancurkan Islam? Apa guna berada dalam persekitaran profesional sekiranya ruang itu digunakan untuk membantutkan perkembangan Islam? Jika anda menjadi profesional, gunakan segala ruang dan kesempatan untuk membantu dan memperkesakan Islam selayaknya. Tidak perlu kita memperhambakan diri kita sebagai ragi dalam proses penapaian ummah. Ragi dalam proses fermentasi seperti pembuatan tempe atau tapai merupakan agen yang memusnahkan fizikal asal bahan mentah secara licik. Meski ragi tidak sama sekali menghancurkan kacang soya, beras atau ubi, ia sebenarnya mencacatkan rupa dan penampilan bahan mentah yang asal.
Demikian juga peranan yang dimainkan oleh agen penapaian ummah dewasa ini. Mereka berselindung di sebalik nama liberal, pragmatis, kesamaan hak, hak asasi manusia dan isme-isme lain selain Islam; kononnya untuk kebaikan Islam. Walhal jauh dari itu, mereka menjadi agen perosak yang memusnahkan Islam. Saya menyeru, agar kemerdekaan yang kita capai dinaiktarafkan menjadi kemerdekaan hakiki dalam kontek seorang Muslim. Seorang Muslim yang merdeka bebas dan aman melaksanakan tuntutan agama tanpa ditekan atau disekat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan