Jumaat, Ogos 18, 2006

Khutbah Pusat Islam 18.8.2006

Sidang Jumaat Yang DiRahmati Allah Sekalian,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya. Yakni dengan melaksanakan segala titah perintah dan suruhan Allah s.w.t serta bersegera meninggalkan larangan-Nya. Sesungguhnya hanya dengan mentaati Allah sahajalah kita akan menjadi orang yang mendapat keuntungan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Janganlah kita derhaka kepada Allah, kelak kita akan menjadi orang yang rugi dan balasannya amatlah pedih lagi dahsyat.

Saudara Kaum Muslimin Yang Berbahagia !

Hari ini suasana perang di antara Israel dan Hizbullah agak lengang. Kelegaan ini hanya dicapai setelah gencatan senjata yang masih dipatuhi oleh Israel. Sebelum ini, sejarah telah membuktikan berpuluh-puluh siri gencatan senjata yang dilanggar oleh Israel apabila berhadapan dengan Palestin.

Secara umum, analisis perang menunjukkan 152 orang terkorban di pihak Israel, dan lebih seribu orang termasuk orang awam terbunuh di Lubnan. Angka kematian di pihak Israel memanglah sedikit, kerana Hizbullah berperang dengan tentera. Manakala tentera Yahudi Israel membuat serangan membuta tuli membabitkan orang awam yang tidak berdosa. Dari segi moral, Hizbullah telah berjaya kerana mematuhi etika perang yang digariskan selaras dengan tuntutan perang dalam Islam.

Selain analisis umum di atas, terdapat satu laporan akhbar COMES bertarikh 17 Ogos 2006 yang lebih menggemparkan.

Satu laporan Amerika berkenaan kerugian Israel di Lubnan bocor kepada beberapa diplomat Lubnan dari Tel Aviv. Menurut laporan itu, sejak perang 12 Julai hingga 7 Ogos seramai 343 orang tentera rejim Zionis terbunuh dan 617 orang tercedera.

Kerugian ini disebabkan oleh roket Hizbullah yang menyerang dan menghujani peralatan tempur Israel. Bahkan laporan tersebut menyebutkan bahawa sebanyak 118 kereta kebal Israel musnah dalam keadaan terbakar, 46 rosak teruk dan 96 trak pengangkut tentera terbakar, selain sebuah Jeep dan sebuah jentera penolak yang musnah.

Padahal menurut laporan ini pasukan rejim Zionis menggunakan bekalan persenjataannya hingga 90% dari peralatan yang dimiliki militan Israel. Laporan itu juga menyatakan bahawa pasukan rejim Zionis yang terlibat dalam perang kali ini mencapai 40 ribu orang, 15 ribu di antaranya adalah pasukan simpanan. Bahkan dalam minggu pertama pasukan Amerika membekalkan pasukan rejim Zionis dalam operasi di Maron Rose dan Bent Jebail pelbagai jenis bom termasuk bom senyap digunakan. Tentera Amerika juga dilaporkan terlibat dalam operasi serangan udara dengan F16 di sebelah selatan Lubnan dan sebahagian daripada mereka tewas dalam pertempuran namun keluarga mangsa di Amerika diberitahu bahawa mereka terbunuh sewaktu bertugas di Iraq.

Al-Jazeera pula melaporkan sebagai berikut; sekurang-kurangnya 4 helikopter Apache, sebuah jet pejuang, dan 124 buah kereta kebal Merkava yang setiap satunya berharga 4.4 juta dolar berjaya dimusnahkan oleh tentera Hizbullah.

Pada awalnya, dunia mengetahui bahawa perang ini merupakan peperangan proksi. Amerika Syarikat yang menjadi sekutu kuat Israel sebenarnya mahu mengheret Iran ke dalam kancah peperangan. Amerika Syarikat mendakwa Hizbullah mempunyai hubungan yang rapat dengan Iran, dan menyangka Iran akan turut serta membantu Hizbullah. Nampaknya perangkap untuk mencapai cita-cita keanarkian AS tidak berjaya. ANARKI bermaksud penghapusan sesebuah tamadun bangsa oleh kuasa besar menggunakan apa jua cara yang difikirkan sesuai termasuklah perang.

Persoalan sekarang, apakah keamanan blok Asia Barat akan menjadi nyata? Dalam suasana perang yang meletus, dunia dikejutkan penutupan loji penapisan petroleum di Alaska. Penutupan ini menyebabkan AS kekurangan 400 ribu tong minyak sehari. Walhal sebelum penutupan loji Alaska, kadar penggunaan petrol di AS sudah tidak seimbang. Penjajahan AS ke atas negara-negara yang kaya dengan minyak adalah strategi penjajahan sumber tenaga ini. Maka, atas alasan keamanan AS sanggup melancarkan perang bagi mencapai maksud mereka. Apabila negara yang kaya dengan minyak dikuasai melalui pembentukan kerajaan boneka, mudahlah bagi AS menampung keperluan petroleum di negaranya.

Memang menjadi tujuan AS untuk menguasai Iran kerana Iran menjadi negara ke-2 terbesar dalam senarai negara pengimport petroleum (OPEC). Isu nuklear yang digembar-gemburkan hanyalah isu sampingan yang dibuat untuk menyembunyikan niat asal. Buktinya amat jelas. Korea Selatan dan India yang menghasilkan bom nuklear tidak disekat, malah AS mengadakan usahasama bagi menjayakan program nuklear dalam kedua-dua negara tersebut.

Rentetan daripada peperangan ini, banyak kemusnahan harta benda dan jiwa yang berlaku. Puluhan rakyat yang tidak berdosa menjadi pelarian. Penderitaan dan kesusahan yang mereka alami amat memeritkan. Mereka yang menjadi mangsa kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan, hilang pekerjaan, hilang suami atau isteri, anak-anak dan sanak saudara. Mereka juga diancam krisis kebuluran, wabak penyakit, dan trauma perang.

Mengenang semua kesusahan yang dialami, kita rasa terpanggil atas dasar persaudaraan Islam. Rasa terpanggil itu boleh dibuktikan dengan menghulurkan bantuan berupa doa dan sumbangan wang ringgit. Jika kita menyertai misi pengaman, rasa terpanggil itu dipenuhi dengan pemergian ke tempat yang dilanda perang. Selain doa dan harapan, kita masih mampu menghulurkan bantuan kewangan untuk memenuhi keperluan mangsa perang.

Hadirin, mukminin yang dirahmati Allah !

Kasih sayang dalam Islam merupakan fitrah yang mesti dijelmakan sepanjang hidup. Hal ini bererti rasa kasih sesama Islam tidak terbatas oleh jarak yang memisahkan, waktu, sempadan negara, perbezaan bahasa pertuturan, warna kulit dan budaya. Sabda Nabi Muhammad S.A.W :
“Sesiapa yang tidak menyayangi manusia, Allah tidak menyayanginya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dari rasa kasih, timbul keinginan bagi kita menghulurkan sebahagian daripada lebihan yang ada pada kita. Semua yang dihulurkan tidaklah bermakna akan berkurang seperti berkurang nilai pada zahirnya. Malah apa-apa jua sumbangan yang dihulurkan mempunyai nilai pahala yang tidak terhingga di sisi Allah S.W.T.
Firman Allah dalam ayat 261 surah Al-Baqarah :


Maksudnya, “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah, samalah seperti setangkai padi, setiap tangkainya terbit seratus biji padi, dan demikian Allah melipatgandakan kelebihan (pahala) kepada sesiapa yang dikehandaki-Nya. Dan Allah Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”

Menginfakkan harta ke jalan Allah adalah seperti membelanjakan harta bagi membantu pembiayaan pendidikan Islam, pembangunan masjid, pembelaan terhadap anak-anak yatim, penajaan majlis-majlis ilmu dan menyalurkan bantuan kewangan/ harta benda di dalam perang sabil.

Perbelanjaan harta ke jalan Allah juga merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membantu saudara Islam yang dilanda kesusahan. Dalam konteks hari ini, infak harta yang boleh dilakukan ialah dengan tujuan memberi pengharapan untuk meringankan bebanan saudara seislam kita di Palestin dan Lubnan khususnya.

Saudara sidang Jumaat rahimakumullah !

Kedudukan orang-orang yang menderma di sisi Allah sangat istimewa. Allah meletakkan diri-Nya sebagai pihak yang meminjam, walaupun pada hakikatnya kitalah yang meminjam daripada Allah. Manusia yang diletakkan sebagai peminjam menunjukkan betapa mulianya kedudukan orang yang menderma dalam Islam. Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hadiid,

Mafhumnya; “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) dia akan beroleh pahala yang besar!”

Menyedari dua perkara yang disebutkan berkaitan kelebihan orang yang menderma, mimbar menyeru kepada hadirin muslimin agar menghulurkan sedikit kepunyaan kita bagi meringankan penderitaan rakyat Lubnan dan Palestin. Hulurkan bantuan, ringankan penderitaan.
Minggu ini sudah masuk minggu kedua pelancaran Tabung Bersamamu Palestin Lubnan dibuat. Syukur ke hadrat Ilahi, kerana sambutan yang diberikan pada minggu lepas memberangsangkan.

Bagi sesiapa yang tidak berkesempatan untuk menyumbang pada minggu lepas, bolehlah berbuat demikian pada minggu ini sehingga tarikh akhir kutipan ini dibuat iaitu pada 25 Ogos 2006. Semoga sumbangan tuan-tuan diganjarkan kelebihan yang selayaknya oleh Allah.
-------------

alhamdulillah.... hari ini kedua-dua khutbah yang ditulisku dibacakan di kampus Kejuruteraan dan kampus Induk.

Tiada ulasan: