Kenangan Akedemi Sastera Siber (ASS) KB.
Pagi itu, jam 4 pagi sudah sampai ke stesen bas SKMK di pusat bandar KB. Aku mengambil peluang untuk ’bersantai’ di hadapan Kedai Telekom yang bertentangan dengan stesen bas. Bangunan yang memuatkan Pustaka Muda Osman nampaknya telah berubah, terdapat dua buah hotel bersebelahan. Yang aku perasan, Hotel Azam merupakan perniagaan ketiga tauke kedai foto dan penggurup wang Azam itu. Dahulu, ketika tempat rehat di hadapan pusat membeli belah Bersatu, sekitar tahun 1999, Hotel Azam belum wujud.
Aku mengambil peluang untuk memaklumkan kepada sahabatku untuk mengambilku sebaik sahaja selepas Subuh pagi Jumaat itu. Sambil memerhati panorama KB yang sudah dinaiktarafkan menjadi bandaraya Islam. Di hadapan tempat aku duduk, terdapat penjual kuih-muih berniaga. Peniaga larut malam sampai Subuh rupanya. Sewaktu mampir Subuh, enjin kren mula berbunyi. Memasang pasak bangunan, cerucuk konkrit bagi pembinaan sebuah lagi pasaraya Giant. Dahulunya tapak yang dibina Giant merupakan tempat letak kereta, pada bulan Ramadhan peniaga-peniaga juadah berbuka puasa membuka gerai masing-masing, sebelum menutup sebelum siren Penguatkuasa MPKB berbunyi sepuluh minit sebelum Maghrib. Pada malamnya, ia menjadi tapak untuk menunaikan solat sunat Taraweh.
Menghayati malam di KB tidaklah menakutkan. Tiada gangguan atau kerisauan, kerana kehidupan KB pada malam hari agak selamat. Berbeza dengan kota metropolis di pantai barat, pasti ada manusia yang mencurigakan. Dan pasti membimbangkan, terutama pengalaman sendiri yang dialamiku pada suatu Subuh ketika dalam perjalanan ke Masjid Jamek. Syukur, pagi itu ’pengekor’ yang mengikutku sambil menghulur tangan dan mulutnya tidak habis-habis meminta seringgit dua agak tidak ganas. Dalam keadaan tidak ganas itu pun, aku sebenarnya sudah cuak pada tahap yang maksima. Bermula dengan peristiwa minggu pertama September tahun lepas itu, aku mengambil sikap berhati-hati apabila menjejak kaki ke KL. Keamanan di KB bagiku mungkin suatu rahmat. Tetapi bukan bermakna anda akan selamat dan tidak berjumpa dengan perkara yang tidak baik.
Ketika sampai ke rumah sahabatku di Panji, aku berkemas diri. Kemudian aku dibawa makan nasi berlauk di kedai yang paling laris di sekitar KB. Ya, memang laris. Sama lah larisnya Nasi Lemak Rasa Sayang di tepi Rasa Sayang Golf Club & Country (padang Golf Rasa Sayang) di Sungai Petani. Ketika kami sampai, sudah ramai orang yang beratur menunggu giliran untuk membeli nasi berlauk, ditapau untuk keluarga masing-masing. Cuma pembeli-pembelinya terdiri daripada pakcik-pakcik, guru-guru, dan pelajar yang bercuti pada hari Jumaat. Lain pula halnya dengan Restoran Nasi Lemak Rasa Sayang, pengunjungnya yang berebut-rebut pada waktu pagi adalah pekerja-pekerja kilang, pakcik-pakcik dari Taman Ria Jaya, atau orang-orang kaya yang bertandang ke padang golf. Satu perkara yang saya kesani ialah, kelarisan atau kepupoluran sesebuah kedai makan, sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh promosi mulut ke mulut. Selain mutu penyediaan makanan yang tentunya menyelerakan dan pelbagai (banyak opsyen lauk). Jika begini, tidak perlu mereka menyediakan bajet pengiklanan yang beribu-ribu untuk mengiklankan perniagaan mereka.
Ayah sahabat saya merupakan pensyarah pencen. Dia merupakan bekas pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM (APIUM). Semasa bersembang-sembang dengannya, beliau menceritakan pengalaman beliau berubat di Seremban. Ketika duduk menunggu giliran, ada seorang Cina bertanya khabar tentang Kelantan. Beliau menjawab, ”jika mahu tahu keadaan Kelantan, lawatlah sendiri. Jika saya cerita, tidak adil bagi kamu, sebab saya orang Kelantan.”
Begitulah ceritanya.
Beliau menyangka orang yang bertanya itu belum pernah ke Kelantan. Maka orang yang bertanya itu melanjutkan kata. ”Oooo....saya sudah ke Kelantan. Dan saya selaku ahli perniagaan selama 35 tahun, belum pernah saya berjumpa dengan seorang Menteri Besar yang mudah untuk ditemui. Sedangkan di sini, jika mahu berjumpa MB, kena buat janji temu secara hitam putih dahulu. Sedangkan romobongan kami, apabila sampai ke Kelantan pada awal pagi, kami menelefon pejabat MB sekitar jam 10 pagi. Bertanya secara lisan apakah MB Kelantan mempunyai masa pada hari tersebut. Maka MB Kelantan, meminta SU kerjanya memaklumkan ketua rombongan kami untuk bertemu beliau di rumahnya selepas waktu Asar. Begitulah mudahnya berurusan dengan MB Kelantan, tidak ada protokal yang ketat.”
Sampai ke Hotel Perdana, saya lepak-lepak di hadapan pintu utama selama sepuluh minit sebelum mendaftar diri. Kemudian, bermulalah ASS.
Hah!? Mana catatan ASS-nya? Maaflah.......cerita tentang ASS telah banyak diperkatakan oleh Ode, Drirwan, Airmas, dan cikgu Ramy. Jadi saya tidak mahu memanjangkan cerita lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan