Semalam, setelah pulang dari Kelantan, kami tiba di Padang Serai pada jam 11.30 malam. Rumah tersebut menjadi transit sementara kami sebelum bertolak dua hari sebelumnya. Saya mengambil keputusan untuk bermalam di bilik tamu rumah sahabatku sahaja. Sementara yang lain pulang ke destinasi masing-masing.
Sampai sahaja di kampus, saya dimaklumkan perihal pilihanraya kampus yang sedang hangat. Syukur, calon yang dicadang oleh saya berjaya melepasi prosedur-prosedur pencalonan. Saya sudah sediakan surat tunjuk sebab sebagai tidak menghadiri sesi penamaan calon kerana berada di Kelantan.
Pada malamnya, jam 2230 majlis rapat umum diadakan. Semua calon pilihan (dan setakat ini pro-aspirasi sudah menang selesa 11 kerusi) saya merupakan penerima anugerah sijil dekan. Hebat! Tidak boleh tidak, penyertaan dalam pilihanraya kampus sememangnya penting agar suara kecil dari kumpulan yang berfikrah Islam dapat disuarakan. Rata-rata calon di dalam rapat umum membentangkan beberapa manifesto yang secara asasnya sama. Perkara yang ditekankan ini meliputi kebajikan mahasiswa, ketelusan pengurusan, integrasi kaum, dan peningkatan imej (rebranding) Pusat Pengajian masing-masing.
Secara umum, perkara-perkara ini saban tahun diulang-ulang di dalam rapat umum PRK. Persoalannya, sejauh mana manifesto ini dapat dijayakan? Saya melihat, keadaan seperti ini bukan retorik calon-calon. Namun begitu, biasanya selepas mendapat kepercayaan mereka menjadi mandum dan kaku untuk merealisasikan manifesto; mungkin juga dek kerna kerenah birokrasi. Saya tidak bimbang untuk mengatakan calon-calon tidak berwibawa, tetapi kewibawaan mereka selalunya disekat atau tidak mendapat sokongan pihak pentadbiran.
Sesiapa sahaja sama ada calon pro-aspirasi dan bukan pro-aspirasi yang pernah menduduki kerusi empuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pasti bersetuju dengan saya. Menyalahkan mereka seratus peratus bukanlah sikap yang baik. Hal ini bermakna, setiap jentera pilihanraya yang ditubuhkan bagi menaikkan calon harus meneruskan kesinambungan bagi memberi kekuatan kepada calon-calon yang menang melaksanakan manifesto dengan jayanya. Jika mereka gagal menyempurnakan tugasan yang dibebankan ke pundak mereka, kita tidak harus menuding jari menyalahkan mereka. Satu jari telunjuk ditujukan kepada mereka, sedang yang empat lagi tertuding kepada diri kita sendiri!
Selamat mengundi. Pilihlah calon yang betul-betul berwibawa. Dan jika tidak salah, saya mahu anda memberi sokongan kepada calon-calon Islamis seperti yang saya cadangkan. Mungkin calon-calon yang menang boleh menyuarakan pandangan agar pihak Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) memansuhkan ‘kewajipan’ menyertai Kem BTN yang kononnya sebagai syarat kepada pengijazahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan