Sketsa suka duka pengembaraan Vivian ke statosfera
Ada kisah ajaib dari dunia bawah kayangan digelar bumi x, penghuninya berhubung di antara satu sama lain walaupun yang tidak bernyawa. Tidak bernyawa bukan bererti tidak boleh bertutur, berkata, atau menyatakan perasaan kasih, sayang, benci, dendam, meluat, gelisah dan lain-lain lagi seperti manusia biasa.
Alkisahnya di sebuah negeri dalam daerah terpencil, seorang pemuda sedang mencari barang yang bagus buatannya. Si pemuda terus merisik khabar, melihat ciri-ciri produk. Dia menemui pemilik produk berjenama M, yang pelik dari yang lain. Setelah agak berkenan, pemuda itu menyatakan rasa sukanya, dia menempah dalam keadaan tidak membuat apa-apa tindakan yang pasti. Wang cengkeram 20 peratus tidak dihulur, jaminan gadai ganti sebagai bekas yang mengesankan pada hati pemilik M juga tidak ditinggalkan. Maka bermulalah ia berkelana di dunia dalam daerah lain mengumpul keperluan.
"Jika mau, kamu kena cepat-cepat. M memang bagus dan sesuai untuk digunakan semua. Lebih baik dapat dijual, lebih senang dan tenang jiwa saya," Igor selaku pemilik M memulakan biacara.
"Ia, sudah tentu. Berikan tempoh waktu selang beberapa purnama. Mungkin hingga 36 purnama penuh," tukas Vivian, si pemuda yang selekah dan kelihatan pelik juga.
"Vivian, kamu pasti dapat sempurnakan hajat Igor dalam masa terdekat tu?" Maksira selaku kawan bertanya, menunggu jawapan pasti.
"Mudah-mudahan," Vivian memberi harapan, dia sendiri tidak pasti apabila berkata mudah-mudahan. Keyakinannya goyah juga kerana waktu 36 purnama singkat amat. Musaffirnya ke galaksi melepasi lapisan statosfera itu masih jauh dan berliku-liku.
Vivian tidak tahu, apakah akan ada kemudahan untuk dia menyudahkan perjalannya sambil mengumpul kekuatan dan kestabilan semua segi. Stabil mindanya, bebas geraknya, mudah dan lancar perjalannya dengan kenderaan yang bergaya, dan paling penting berjaya menamatkan pengembaraan di galaksi. Apabila dia tamat, maknanya ada ruang untuk dia menjadi lebih mantap dan baik dalam semua segi kehidupannya yang sedia kompleks.
Langkah santai dan damai mengharung alam selepas lapisan statosfera bergegar. Ada isyarat dari bumi yang berdentum, gegak gempita persekitaran kalbu Vivian. Tidak semena-mena, terasa atmosfera buminya berada dalam medan peperangan.
"Cepat! Saya tidak mampu bertahan lagi," M yang mempunyai kuasa magik bersuara. Ia menghantar mel suara ke kelui Vivian.
"Bagaimana kamu boleh berekspresi begitu?" Vivian membantah, dia tidak berpuas hati. Degup jantungnya deras selaju air terjun.
Bunyinya seperti air menggelegak. "Dup! Dup! Dup!"
"Aku kata tidak boleh, tidak bolehlah!" M mula memberontak, meronta-ronta sendiri, jelas kedengaran suara kasarnya. Vivian dapat membayangkan bagaimana keadaannya yang meliuk-lentok itu seperti ular dipukul ekor.
"Igor sudah bising-bising menyatakan ketidakpuasan hati kerana kau amat lambat bertindak," M menyambung mesej, suara itu bertalu-talu dalam alunan gelombang elektronik di jagat raya statosfera. Teras paksinya semacam bergoncang kuat. Mahu sahaja Vivion keluar dari kelompangan galaksi itu untuk kembali menemui Igor dengan kadar segera.
"Hah! Kenapa M mengadu kealpaan dan tindakanmu yang kurang serius?" Maksira yang faham maslahat Vivion mengundang persoalan baru.
"Apa selama ini kau ingat aku main-main?" Vivian menjengilkan matanya. Lemah sekali semangatnya bila Maksira termakan kata-kata M yang amat emosi itu.
"Errr, aku tidak tuduh kau begitu," Maksira membela diri. Segera didepakan tangannya di hadapan Vivian. Dia mahu mendakap Vivian sebagai tanda damai, begitu muhibah dan kuat ukhwah mereka.
Vivian menyambut tindakan Maksira sambil berkata, "Jika M atau Igor sendiri tidak sabar untuk melihat kesungguhanku, katakan pada mereka aku sedia melupakan hasrat itu." Terlambak juga isi hati yang terpendam lama. Vivian mencari kata-kata, gesit dan celaru fikirannya.
"Kontrak maya jual beli itu akan dihentikan, aku sedia berundur," ada linangan air mata kejantanan dalam diri Vivian apabila melepaskan tekanan itu. Baginya desakan-desakan untuk segera bertindak lagi drastik menjadi bebanan baginya pula.
"Ya, ya! Aku mohon engkau jadi jurubicara bagi pihakku," Vivian meraup wajahnya menyembunyikan manik-manik yang bergenang dalam kolam matanya.
"Katakan apa yang patut sebagai meredakan keadaan. Jika buntu, mintalah M atau Igor sendiri yang putuskan," Vivian rasa Maksira lebih matang dalam menangani perkara ini. Maksira dalam keadaan tenang dan tidak berkecamuk. Dia boleh menjadi pemudah cara dan penasihat yang baik. Jika Vivian sendiri yang menjawab, sudah tentu terbongkar kekecewaan yang teramat sangat.
- Argggh! Aku tidak boleh tunjukkan aku lemah dalam hal ini. Biarlah jawapan yang diberi hasil nasihat Maksira sebagai pelembut yang bersifat penyerap yang mampu mengurangkan refleks gelombang gundahnya.
+ Nanti jika negatif, aku boleh terima seadanya.
M meluangkan masa bersama-sama Maksira secara maya juga sambil Vivian duduk bersimpuh di tepinya. Vivian dapat mendengar setiap butir kata yang datang dari M di planet bumi x.
"Maksira, bukan M yang mendesak. Tapi Igor sudah tidak tenteram lagi," getusnya membela diri. M mahu dilihat sebagai bukan pesalah atau bertindak kejam.
"Igor sudah pening kerana diasak juga oleh pembida lain," Pembida lain khabarnya saban hari bertanya dan menawarkan tawaran yang lebih baik. Mereka mampu memenuhi kehendak Igor untuk memiliki M dalam waktu terdekat, lebih singkat masanya berbanding 'janji' yang ditaburkan oleh Vivian.
"M, Vivian bukan tidak bersungguh. Aku tahu, Vivian benar-benar mahu membelimu. Perjalanannya ke penghujung galaksi lapisan lepas statosfera ini masih jauh. Sabarlah sedikit, apabila ekspidisinya selesai dia akan cepat-cepat menuntut kau dari Igor." Maksira masih mahu membela Vivian. Maksira faham sangat fiil Vivian. Vivian macam adik kandungnya sendiri.
"Tapi bila? Apa saat yang konkrit yang dicadangkannya?" M bertanya lagi. Membuat penentuan tanpa menyatakan saat yang tepat lagi samar-samar sebenarnya boleh memerangkap M dan Igor serta Vivian sendiri dalam dunia fantasi. Seolah-olah Vivian sedang bermimpi, tidak berpijak pada bumi yang nyata. Vivian dapat mendengar bunyi ranting-rangtig yang ditibai atau dilibas dengan kuat oleh M di bumi x.
"Baiklah, jika bagitu M berikan sahaja keputusannya," Maksira mengangkat keningnya, dahinya berkerut berlapis-lapis menandakan simpatinya kepada M dan Vivian yang tidak keruan.
"M tak mahu tunggu lagi. Igor sudah tawar hati," Ada esakan kecil seperti anak kecil menangis. Vivian tahu itu desah nafas M yang kesedihan.
"Macam mana?" Maksira mengemukakan soalan itu kepada Vivian. Dia mengalihkan sedikit badannya ke tengah kapal angkasa yang dinaiki. Komet, meteor, zarah-zarah gas helium berlegar-legar di sekeliling. Sesekali terserempak dengan satelit bumi x yang dipancarkan ke jagat raya statosfera.
"Maksira, mengapa kau tidak mahu mengambil M?" terkejut amat Maksira mendengar buah kata yang terlontar dari mulut Vivian. Dia menggosok-gosokkan matanya.
"Jangan mimpi!" Maksira masih tidak percaya gelombang bunyi yang menembusi gegendang telinganya.
"Aku tidak bohong, jika M dapat pembida sepertimu aku tumpang gembira." Vivian mengumpan rasa ingin dan minat Maksira kepada M.
"Aku tahu, firasatku dan naluriku dapat mengesan titik-titik dan bibit-bibit keinginan kau," khali.
Maksira mengejip-ngejip mata, menggeleng-geleng kepala. Otaknya ligat mempertimbangkan gesaan Vivian.
***********************
"Ting-tong!" penggera kalis vakum Vivian berbunyi. Monitornya bersambung pada peralatan audio menyebabkan Vivian terkejut. Bunyi 'ting tong' itu amat kuat, menganggu lenanya.
'Vivian! Betul ke?' perkataan itu keluar dari seorang rakan lain Maxiana yang rapat dengan Igor dan Vivian. Maxiana juga kenal pada sahabatnya Maksira.
'Ya, apa yang betul?' Vivian menekan butang-butang kekunci bersebelahan monitor pada kapal angkasanya. Lantas butang ent ditekan, setiap kali ent ditekan bunyi gemerincing gelang kaki berbunyi. Tandanya Maxiana atau Vivian dapat membaca mesej yang ditaip.
"Dup! Dup! Dup!" darah mengalir laju ke tengah-tengah organ di dadanya.
'Betul ke Maksira menjadi pembida kepada Igor?' wajahnya yang tertera pada sisi atas monitor berkerut juga. Dia belum habis geruh kejutan berita itu.
'Habis, Max tidak percaya?' Vivian menguji tahap kepercayaan Maxiana.
'Takkan Maksira hendak menipu. Jika benar berita itu datang dari Igor sendiri dan Maksira juga mengesahkannya, ia betul-betul terjadi.' Vivian yang masih kebingungan menguatkan keyakinan Maxiana terhadap berita gempar itu.
'Jadi?....' Maxiana hilang kata-kata. Dia serba salah.
'Alhamdulillah, Max. Sebenarnya berbekas juga syor saya kepada Maksira untuk menyelesaikan kekusutan Igor' Vivian yang sedikit terkilan menambah. Vivian tidak pasti apakah helah atau taktik Maksira tidak memaklumkan perkara itu kepadanya.
'Max, saya Vivian' sedih atau tidak, terkilan, terharu dan gembira bercampur baur.
'Apabila saya sampai ke penghujung ekspidisi di jagat raya statosfera ini, saya akan pulang dengan kekuatan baru' Vivian menyembunyikan paparan wajahnya yang dapat dilihat oleh Maxiana di bumi x.
'Ya! Max harap Vivian dapat terima percaturan ini. Lain masa akan ada penjual yang akan menawarkan paten persis M. Mungkin patennya sedikit lain dan lebih baik.' Panjang syarah Maxiana meredakan gelodak kehampaan yang berlubuk di kalbu Vivian.
*************
"Syabas!" Vivian mengucapkannya sebagai meraikan kemenangan Maksira selaku pembida Igor. Baginya Maksira masih prolifik dan berhak membuat tawaran. Igor telah membuat keputusan yang tepat pada waktunya.
"Kamu tidak menyesal?" Maksira menguji keikhlasan Vivian, sambil matanya memerhati riak wajah sahabatnya.
Vivian yang mampu tersenyum dan bersahaja tidak dapat mengubah apa-apa lagi.
"Sudah ketentuan bagi kamu, aku tumpang gembira," Vivian sudah mendatar suaranya, tiada getar yang menunjukkan kelainan rasa dalam kamus psikologinya.
"Jika begitu, jangan lupa lihat majlis penyerahan M kepadaku tanggal........" Maksira menunjukkan isyarat tangannya yang difahami oleh Vivian. Hari-hari yang dihitung tidak habis bilangan jari-jari tangannya.
"InsyaAllah, aku pasti memerhatikan kamu di bumi x dari kapal angkasa ini." Vivian memberi jaminan yang tuntas. Senyum tawa sudah pergi, dan keresahan Igor dan M mengalir pergi dalam sungai kehidupan. Sketsa kehidupan Vivian mesti diteruskan dengan peredaran waktu sehingga dia sampai ke hujung galaksi jagat raya statosfera. Maksira sesungguhnya menyediakan ruang yang selesa buat Vivian untuk terus meluncur.