Sabtu, Januari 07, 2006

Cari cinta & hak wanita


Ketika semua pihak memberi pandangan bahawa program mencari cinta tidak syar'ie, penganjur dan peserta serta orang yang menyokongnya memberi hujah-hujah sebagai justifikasi kesyar'ieannya. Akhbar Utusan Malaysia hari ini (7 Jan 2006) membuat liputan sebagai menunjukkan peserta utama sebagai perempuan idiosinkratik. Hairankah anda? Perlukah kita rasa pelik dan takjub terhadapnya? Anda sudah tahu, saya akan mengatakan 'Tidak!'.

Penyertaan perserta-peserta pada asasnya bukan didorong oleh matlamat akhir yang baik, tetapi lebih kepada populariti dan wang. Si perempuan idiosinkratik (Elly namanya menurut laporan berita) berpendapat, tempoh tiga bulan tidak cukup untuk dia mengenali lelaki malang bernama Daniel. Dia juga tidak mahu dipaksa untuk menamatkan zaman bujangnya. Jangan kata saya mengumpat! Rujuk tulisan ini terlebih dahulu, ini dan ini. Bukan Elly, Daniel dan peminat-peminat rancangan mencari cinta sahaja bersikap idiosinkratik, tetapi mereka yang tidak mahu berpegang pada lunas-lunas syarak adalah sama seperti mereka. Jika hal idiosinkratik itu ke arah kebaikan dan menepati syarak, ia tidaklah salah. Jika tulisan ini menimbulkan rasa tidak sedap pada fikiran anda, terlebih dahulu anda harus meminta editor Utusan menarik semula artikelnya di dalam akhbar perdana itu (jika ditarik, tidaklah pula kita dapat baca surat khabar hari ini).

Soal jodoh pertemuan akhir-akhir ini menjadi persoalan yang kompleks. Bermula dari persoalan perlukah kita menjadi pemburu cinta atau perlukah di zaman ini kita mengubah kebiasaan amalan dan adat meminang? Teringat konsep terbalik yang dikemukakan oleh Allahyarham P Ramlee dalam Ahmad Albab, maka hal ini perlu dihalusi memandangkan dunia penguasaan wanita sudah berubah. Sana-sini kedengaran perjuangan hak wanita, terakhir berkenaan Undang-undang Keluarga Islam. Wanita Hari Ini 6 Jan 2006 membincangkan perkara ini. Bagi saya, jika betul perbincangan itu dengan tajuknya pula Undang-undang Keluarga Islam perbincangannya juga mestilah Islamik. Maaf cakap, jika anda menontonnya anda pasti bersetuju dengan saya. Seelok-eloknya semua yang berada dalam perbincangan menutup aurat dengan sempurna, barulah ada izzah apabila bercakap soal-soal yang berkaitan dengan agama yang suci ini. Kehidupan masyarakat Malaysia yang kompleks dengan bilangan wanita-wanita moden dan lebih tinggi inteleknya mewujudkan ketidakseimbangan dalam struktur masyarakat. Kesannya termasuklah lebih ramai andartu, lebih ramai lelaki dayus (tidak berupaya mengarahkan isteri mengikut tuntutan agama), lelaki yang tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah zahir kepada isteri (dalam bentuk wang dan material), isteri yang merangkap ketua dalam keluarga, penderaan kepada suami (alias Queen Control), isteri curang, dan perjuangan hak wanita yang melampau-lampau.

Tidak salah memperjuangkan hak itu, Islam sendiri telah memberi hak kepada wanita dan kemuliaan yang tersendiri. Mengapa perlu wanita-wanita (atas nama Human Rights) memperjuangkan apa yang dikatakan hak sehingga membelakangkan syariat Islam?
Lihat apa kata ABIM dalam hal ini.

Perkembangan-perkembangan baru dalam era globalisasi ini, menjadikan wanita semakin terhimpit antara kehendak zaman ini sebagai wanita berkarier dan 'tanggungjawab tradisional' sebagai anak, isteri dan ibu. Wanita kini dikatakan perlu menjadi superwoman untuk menghadapi cabaran-cabaran alaf baru ini. Masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak wanita adalah terlalu kompleks dan pelbagai.

Para pejuang emansipasi wanita begitu komited dengan fahaman-fahaman feminisma yang kebanyakannya bersandar kepada akal dan keadaan semasa di tempat mereka. Mereka memperjuangkan keadilan terhadap kezaliman yang berlaku akibat daripada sistem yang mengelilingi hidup mereka dan bertungkus lumus menegakkan keadilan dalam sistem yang sememangnya tempang. Ada yang mengambil jalan keluar yang tidak juga mudah dengan menegakkan sistem baru dengan nilai baru.

Malangnya, terdapat segelintir para pejuang hak wanita kita turut terseret dalam perjuangan yang sama tanpa melihat kepada keadaan sosio budaya dan sistem yang berbeza di negara mereka. Malah ada yang menganggap lelaki sebagai musuh utama kepada ketempangan sistem tersebut.


Glosari.
emansipasi - pemberian hak sama dalam hukum (wanita mendapat hak yang sama dengan lelaki)

idiosinkratik - sifat yang menunjukkan cara berfikir dan kelakuan yang aneh pada seseorang.

izzah - Kemuliaan. Tambahan penulis: Jika seorang yang berdegang-degang cakap pasal Islam dalam keadaan dirinya tidak Islamik, terserlah sangat 'kelonggaran' tahap kefahamannya tentang Islam. Kata Ust. Shahril Long, "Ceroi!"

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Oleh SAIDATUL AMANI
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Hrkh) - Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan berharap pihak TV3 khususnya penerbit rancangan Wanita Hari Ini perlu berhati-hati memilih ahli panel bagi membincangkan isu yang berkaitan dengan hukum Islam.

Ketuanya, Ustaz Salleh Sani Al-Hafiz berkata, ahli panel yang bercakap tentang Islam perlu terdiri daripada seorang yang mahir atau arif dengan perundangan Islam dan bukannya mempertikaikan hukum Islam.
Beliau berkata demikian ekoran kenyataan yang mempertikaikan hukum Islam oleh wakil Sister's In Islam (SIS) dalam rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang disiarkan jam dua petang pada hari Jumaat lalu.

Menurut beliau, wakil SIS itu telah mempertikaikan tentang pembahagian harta pusaka yang tidak adil kerana hak isteri hanya mendapat separuh daripada suami manakala jika suami itu mempunyai anak hak isteri hanya mendapat 1/8 sahaja.

Katanya, wakil SIS itu juga mempertikaikan tentang hak talak mengapa hanya diserahkan kepada suami sahaja.

Sehubungan itu, Ustaz Salleh Sani berkata, jika wakil SIS itu mengaku Islam dia tidak patut mengeluarkan kenyataan itu kerana jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurutnya, orang seperti ini tidak sepatutnya diberi peluang dan ruang untuk mengeluarkan pandangan, cadangan dan kenyataan di tv yang disiarkan secara langsung.

"Rancangan itu ditonton seluruh Malaysia kalau wakil SIS yang terdiri daripada orang Islam boleh mencabar hukum Islam, apatah lagi orang yang jahil tentang Islam," katanya.

Menurut beliau, dari segi hukum orang yang mempertikaikan hukum Islam boleh membawa murtad kerana hukuman itu sudah ada nas yang jelas.

Dewan Ulama PAS Wilayah amat kesal dengan kenyataan tersebut dan berharap pihak kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri tidak membiarkan kumpulan seperti ini untuk terus menghina Islam.

Beliau berharap pihak kerajaan perlu menasihati kumpulan yang menghina Islam supaya sikap itu tidak akan merosakkan akidah mereka.

"Saya sedih kumpulan seperti ini diberi peluang bercakap tentang hukum Islam. Kumpulan seperti ini jika bercakap tentang Islam dan tidak ada orang yang membetulkan kenyataannya sudah pasti ramai orang akan terpengaruh dengan mereka," tegasnya.

Tambahan pula katanya, umat Islam masih mempunyai tahap pengetahuan Islam yang sangat rendah.

Menurut beliau, kejahilan itu membuktikan kegagalan sistem pendidikan yang tidak menekankan tentang pendidikan Islam sebaliknya pendidikan yang ada sekarang belum boleh melahirkan orang yang mahir tentang perundangan Islam.

Sebaliknya tambah beliau, umat Islam hari ini akan lebih mudah dipengaruhi dengan idea barat atau mereka yang memusuhi agama Islam.

Tanpa Nama berkata...

``Apa yang pasti, program realiti baru berbahasa Cina yang sama konsepnya dengan Mencari Cinta itu tidak akan disiarkan menerusi TV3.

``Tetapi melalui ntv7 ataupun 8TV,'' katanya.


Menurut Nurul Aini, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu konsep program realiti baru itu supaya ia tidak menyentuh sensitiviti kaum dan budaya masyarakat Cina di negara ini.

Berita penuh dalam
Utusan (klik)