Sabtu, Oktober 31, 2009

Siapa yang sedia tanggung defisit ini?

Sehari dua ini kelihatan pengurus projek amat sibuk. Mereka perlu menyediakan perancangan kerja secara bulanan untuk pekerja di bawah seliaan masing-masing. Kesibukan mereka jelas. Terdengar juga cerita yang pihak pengurusan memutuskan memecat mana-mana pengurus yang gagal merancang jadual kerja sehingga projek seliaan mereka gagal disiap dan dihantar pada tarikh yang dijanjikan. Krisis ekonomi terbaharu yang heboh diperkatakan melibatkan syarikat telekomunikasi besar seperti Maxis dan Astro. Maxis merancang untuk membuang kira-kira 160 orang kakitangan manakala Astro sedang membuat penilaian untuk menamatkan kontrak kerja 300 orang kakitangannya. Sebagai langkah pengurangan kos, bank seperti CIMB (dahulu dikenal sebagai Bumiputera Commerce Bank, BCB) juga turut menutup beberapa premis di cawangan tertentu seperti di hadapan Flat Seri Terengganu. Cawangan tersebut digabungkan dengan satu lagi cawangan CIMB di Sentul Boulvard, Jalan Sentul.

Kita baharu sahaja mendengar pembentangan Bajet 2010. Akhbar-akhbar perdana menggambarkan bajet tersebut sebagai bajet kebajikan. Kita terima dan 'menyetujui' kebajikan yang digembar-gemburkan itu. Tetapi tidak ada pula perbincangan dari sudut pandang ahli ekonomi dimuatkan dalam akhbar perdana berbahasa Melayu. Dalam Bajet 2010, perolehan kerajaan berkurang kepada RM36.7 bilion sedangkan perbelanjaannya sebanyak RM44.4 bilion. Hal ini bermakna terdapat angka defisit sebanyak RM7.7 bilion. Pergantungan negara pada sumber tidak boleh diperbaharu (petroleum dan gas) menjadikan unjuran fiskal tidak menentu kerana boleh jadi pasaran dunia bagi kedua-dua bahan ini meningkat dan menurun. Sebagai contoh, kadar fiskal tahun 2009 dibuat dengan asas harga petrol dianggarkan USD70 setiap barel manakala harga gas sebanyak USD4.00 setiap mmbtu. Namun begitu terdapat kejatuhan nilai pasaran serendah USD45 dan USD3.25 bagi petrol dan gas masing-masing. Menurut laporan Tinjauan Ekonomi Bank Pusat, kejatuhan harga pasaran tersebut menyebabkan perolehan fiskal tahun 2008 sebanyak RM55.6 bilion menyusut kepada RM37.9 bilion pada tahun 2009 sedangkan perbelanjaan menokok sebanyak RM0.6 bilion.

Mari kita fikir-fikirkan. Apakah terdapat pihak-pihak yang berkepentingan merancang untuk mengatasi defisit ini jika diberi peluang? Sejauh mana persediaan mereka?


Rabu, Oktober 28, 2009

Isu hangat: Ujian dalam berjamaah.

Abu ‘Ala al-Maududi dalam bukunya Beberapa Peringatan Untuk Para Da’i menukilkan beberapa adat mengkritik dalam Jamaah sebagaimana berikut*;

  1. Hendaklah kritikan dibuat dengan kerap dalam majlis khas dengan permintaan mas’ul jamaah tempatan.
  2. Pengkritik perlu muhasabah diri. Apkah kritikan dibuat dengan ikhlas atau sentimen peribadi?

  3. Kritikan hendaklah dibuat dengan ayat yang apabila didengar, orang merasai kritikan itu sebagai hal yang boleh membaiki bukan pendedahan kelemahan yang membinasakan jamaah.

  4. Orang yang dikritik hendaklah mendengar kritikan dengan waras dan saksama. Dia tidak melebihkan kepentingan dirinya dengan bersikap sombong dan takabur.

  5. Jawapan kepada kritikan hendaklah tepat sehingga tidak menimbulkan persengketaan, hasad dengki dan kebencian yang berpanjangan sesama sendiri.
(1)

Al-Maududi seterusnya menulis, “Bilamana kritikan itu dijaga dan diperhitungkan sempadan dan adab-adabnya maka ia tidak sekadar member manfaat malah merupakan keperluan (dharuri) untuk memperbaiki penghidupan jamaah. Tanpa kritikan seumpama ini mana-mana jamaah yang tersusun tidak akan dapat mempertahan pegangan kepada kebenaran.” (2)

Hari ini apabila kita melihat cara beberapa orang pemimpin menghadapi kritikan, bolehlah dibuat ukuran dan timbang tara dengan garis panduan yang dicadangkan oleh al-Maududi tersebut. Ada sebilangan pemimpin yang menjawab kritikan dengan penuh bijaksana. Dan malangnya sebahagian daripada mereka menjawab dengan penuh emosi. Saya fikir tuan-tuan sendiri menjadi pengamat terhadap isu ini. Dalam dunia yang serba mungkin, jentera pemusah (baca propaganda musuh) amat licik memasukkan jarum permusuhan. Mereka menambah perisa dalam hidangan yang bila-bila sahaja akan dibaham oleh semua sama ada kawan mahu pun lawan. Hal inilah yang menjadi cabaran besar kepada pendokong jamaah Islam. Ada juga usaha melaga-lagakan seorang pemimpin dengan pemimin lain. Sesetengah mereka yang tidak berkenaan (BUKAN pemimpin, ahli atau pendokong) telah dengan tidak mempunyai hak memberi pendapat sebelum perkara itu dibincangkan dalam syura secara adil. Sebab itu kita dengar, sesetengah orang yang baru mahu menjinakkan diri kepada PAS mula menjadi goyah (semoga kita semua terus iltizam menjadi pendokong gerakan ini). Mereka yang tidak faham atau baru cuba memahami jamaah mula keliru. Malah ada yang dengan tegas menyatakan sikap mahu meninggalkan jamaah! Terkilan juga apabila sesetengah orang melabelkan Presiden PAS sama seperti mantan PM dalam BN.

Apakah sikap kita? Seperti mana yang disebutkan al-Maududi, hendaklah kita sabar dan tenang menghadapi semua ini. Ingatlah bahawa masalah ini bukan masalah yang tiada jalan penyelesaiannya. Didoakan semoga polemik yang sedang hangat ini dapat diselesaikan dengan baik malam ini, insya-Allah.


#-#-#
*catatan yang diringkaskan – penulis.
Rujukan:
1. Tazkirah Du’aatu al-Islam (Beberapa Peringatan Untuk Para Da’i), Abul ‘Ala al-Maududi, Dewan Pustaka Fajar, Cetakan Pertama (1985), halaman 81-82.
2. Ibid, halaman 83.

Selasa, Oktober 27, 2009

Cakna ejaan


Sekadar hiasan. Lokasi: UIAM, Gombak.


Rupa-rupanya terdapat banyak kesalahan ejaan yang saya tidak sedari sepanjang penulisan. Pernah saya tulis perkataan mi dengan ejaan mee. Ada juga perkataan gembleng dieja gembeleng. Gembeleng atau gembleng? Yang tepat - gembleng. Lebuh raya dijadikan satu perkataan, sedangkan yang betulnya dua perkataan. Hal ini menyebabkan kecacatan pada penulisan terutama bagi mereka yang gemar menyertai pertandingan atau sayembara penulisan. Kesalahan ejaan walau pun nampak kecil, memberi impak yang besar kepada markah keseluruhan karya. Selain itu, jika anda tidak menyertai mana-mana pertandingan tetapi sekadar menghantar manuskrip kepada penerbit, editor terpaksa pula membetulkan ejaan-ejaan dan jika terlalu banyak kesalahan ejaan, akan memberi kesan negatif terhadap emosi penyunting.

Isnin, Oktober 26, 2009

Perbincangan al-Fatihah (4)

Seseorang yang syak sama ada membaca basmalah perlu memulakan semula bacaan al-Fatihahnya dari awal kerana taqshir (kecuaian) dirinya sendiri meragui apakah dia membaca Bismillahirramaanirrahiim atau tidak. Tidak memberi kesan (mudharat) pada seseorang yang telah selesai membaca al-Fatihah sedangkan dia ragu tertinggal satu huruf atau beberapa huruf pada mana-mana ayat. Tetapi jika keraguan itu timbul tatkala dia sedang membacanya, maka perlulah diulang semula pada tempat (ayat) yang diraguinya. Contoh, ketika membaca ayat keenam, tiba-tiba si A menjadi ragu sama ada dia membaca Iyyaa (dengan syaddah) atau iya (tanpa syaddah pada huruf 'ya') dalam ayat kelima. Dalam hal ini si A perlulah mengulang semula ayat kelima tersebut.

Seseorang yang meragui rukun Fatihah secara keseluruhan. Katakan si A, apabila telah rukuk menjadi syak sama ada dia membaca atau tidak bacaan al-Fatihah. Di sini terdapat dua keadaan yang perlu dipertimbangkan. Pertama, jika si A bersolat sendirian, dia hendaklah mengulang bacaan al-Fatihah selepas bangkit dari rukuk. Kemudian rukuk semula dan meneruskan rakaat tersebut. Kedua, jika A bersolat jemaah, dia hendaklah terus sujud bersama imam selepas iktidal. Tetapi rakaat itu tidak dikira kerana keraguan yang timbul menyebabkan si A tertinggal rukun solat. Dia perlu menambah rakaat tersebut selepas imam memberi salam.

Seseorang yang terlupa bacaan Fatihah, sebagai contoh orang yang solat dalam keadaan mamai (tidak fokus). Tiba-tiba sahaja dia teringat ayat akhir yang dibaca, maka hendaklah diulang bacaan al-Fatihahnya dari ayat pertama.

Bagaimana halnya seseorang yang tidak mempunyai masa atau ruang mempelajari al-Fatihah. Contohnya saudara baru. Maka hendaklah dia membaca setakat yang diingatnya sehingga bacaan itu menyamai jumlah keseluruhan 156 huruf dalam surah al-Fatihah. Sebagai contoh,

  1. Si B hanya ingat sehingga ayat keempat maka hendaklah diulang bacaan (ayat 1 hingga 4) itu dua kali.


  2. Si B tidak dapat membaca walau satu ayat dari surah al-Fatihah, hendaklah dia membaca tujuh (7) zikir yang kira-kira huruf zikir-zikir itu menyamai 156 huruf dalam surah al-Fatihah.


  3. Si B juga tidak tahu tujuh jenis zikir, maka hendaklah dia diam (dalam keadaan berdiri) sekadar sela waktu membaca surah a-Fatihah yang biasa.




-*-*-


Rumusan kuliah Maghrib, 25 Oktober 2009, Ust. Abdul Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul. Kitab Fathul Muin, halaman 70 (edisi jawi).



Sabtu, Oktober 24, 2009

Tuntutan menutup bekas makanan dan minuman

Tersebut dalam hadis nabi berbunyi, “Tutuplah bekas makanan dan minuman kamu pada malam hari. Setiap tahun ada satu malam yang padanya diturunkan wabak. Tidak akan lalu (melintasi) wabak itu ke atas bekas makanan atau minuman yang tidak ditutup kecuali ia (wabak) masuk ke dalamnya.”


Dalam satu hadis lain nabi menyebut, “Tutuplah bejana (makan/minuman) kamu pada waktu malam walau pun dengan sebatang lidi.”


Hadis yang dibincangkan berkenaan suruhan nabi agar menutup bekas makanan dan minuman menunjukkan lafaz yang umum. Iaitu wabak (penyakit) diturunkan pada satu malam dalam setahun, dan tidak dinyatakan secara spesifik waktunya. Berbeza dengan malam al-Qadar yang diturunkan dalam tempoh tertentu pada bulan Ramadhan. Hal ini bermakna menjadi kemestian kepada kita mengelakkan penyakit ini kerana tenaga dari langit berupa wabak merupakan sebahagian daripada tenaga yang jahat. Tenaga jahat ini apabila bertembung dengan unsur bumi akan kalah walau pun sebatang lidi tidak dapat menutup bekas secara keseluruhan. Maka apakah jika wabak itu tidak menjangkiti manusia, dia akan musnah? Tenaga ini akan berpindah ke alam lain dan datang semula pada waktu (suatu malam pada tahun berikutnya). Hal ini samalah dengan hayat buraq yang membawa nabi dalam peritiwa Isra'. Buraq itu asalnya pada zaman nabi Ibrahim. Sela waktu antara nabi Ibrahim dengan nabi Muhammad ialah 31 tahun. Maka ke manakah buraq itu dalam tempoh yang begitu panjang? Jawabnya ia berpindah ke alam lain.


---------
Rumusan kuliah Maghrib Ust. Hanafi Abd. Rahman, 23 Okt 2009, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Berkunjung ke Darul Wardah, Rumah Perlindungan Wanita.



Berbaju hitam. Tidak nampak muka pun, ok. -:)


Kunjungan ke Rumah Darul Wardah, Kg. Jalan Kebun, Selangor memakan masa satu jam. Kami tiba sekitar jam 10.00 pagi. Seramai 34 staff menyertai program ini terdiri daripada tujuh orang lelaki dan 27 orang wanita. Jarak dari pejabat di Jalan Sentul lebih kurang 40 km.


Ketibaan disambut oleh sukarelawan Darul Wardah (DARWA) dengan senyum manis dan rasa terharu. Rumah perlindungan ini banyak mendapat permohonan wanita-wanita yang teraniaya. Menurut Ustazah Haslina (saya kurang pasti nama sebenar), semenjak Disember sehingga kini terdapat 984 permohonan diterima. Penghuni rumah perlindungan ini dididik dengan ilmu fardhu 'ain, al-Quran dan agama di samping sokongan moral untuk terus tabah meneruskan kehidupan. Kos operasi rumah perlindungan ini sekitar RM30 000 sebulan. Usaha kecil ini dilaksanakan sebagai langkah menyelamatkan akidah anak-anak yang bakal lahir. Jika dibandingkan dengan rumah perlindungan golongan ini yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, anak-anak terpaksa diserahkan kepada pihak mereka. Secara tidak langsung akidah mereka tidak terjamin.


Setelah ucapan ringkas pengerusi merangkap pengurus program – En. Aidi dan ucapan aluan pihak DARWA, majlis dimulakan dengan sesi sarapan pagi kemudian diikuti dengan program gotong-royong mencantikkan landskap. Pengunjung lelaki ditugaskan membersih halaman rumah dan menanam beberapa jenis pokok; ubi kayu, cekur manis, pandan, cili api, kesum, serai dan limau nipis. Manakala pengunjung wanita beramah mesra dengan penghuni dan anak-anak di dalam rumah. -:) Sememangnya pengisian program seperti ini memberi makna buat semua. Tepat jam 12.45 gotong-royong selesai dan diikuti majlis penutup. En. Fareez – Ketua Jabatan Sumber Manusia SWS Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kewangan daripada syarikat kepada pihak DARWA. Majlis turut dihadiri oleh Ustaz Farid Wajdi dan isteri. Program tamat jam 1300.


Nota: Kepada mana-mana pihak yang berminat menyumbang bantuan kewangan, bolehlah merujuk nombor akaun yang tertera di weblog DARWA


Jumaat, Oktober 23, 2009

Adakah anda disekat ke luar negara?



Anda boleh buat semakan di sini::: http://imi2.imi.gov.my/sspi/
Sila salin dan tampal alamat pautan di atas di alamat perayau. Fungsi anchor tidak daiktifkan.

Rabu, Oktober 21, 2009

Pelayan yang bermasalah

Pelayan bermasalah menyebabkan beberapa data yang mesti dimuat turunkan ke PC tergendala.



Aduh. Kena 'rehat' sekejap sehingga pelayan kembali normal.

Catatan ringkas sempena 19 tahun Tuan Guru MB Kelantan

Hari ini genaplah 19 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memerintah Kelantan. Sepanjang perjalanan hidup beliau sebagai Menteri Besar, banyak halangan dan dugaan yang ditempuh. Saya kira amat sukar mendapat peluang berjumpa dengan sosok luar biasa sepertinya.

Ketika di sekolah menengah, saya pernah bersama-sama sahabat Asrol (kini cikgu Asrol, bertugas di Sarawak) mendengar kuliah Jumaat di Dewan Zulkifli, Kota Bharu. Asrol biasanya mengajak saya naik ke dalam dewan, duduk ditengah-tengah, di hadapan tuan guru. Itu pun tidaklah kerap melainkan ketika kami diberi cuti pendek hujung minggu. Saya biasanya tidak pulang ke kampung jika cuti hujung minggu yang hanya dua hari sebaliknya bermalam di rumah rakan-rakan sekitar Kota Bharu. Bermakna saya mempunyai peluang mengikuti kuliah pagi Jumaat dengan mudah. Selepas meninggalkan persekolahan di Kelantan, saya pernah mengunjungi negeri Serambi Mekah sempena menghadiri program sastera. Sekali rakan saya mengajak saya bersolat Subuh di masjid Pulau Melaka. Jika sebelum ini saya hanya membaca suasana masjid ini dalam buku Autobiografi Tuan Guru oleh Dinsman, mengalami sendiri keadaan itu jauh lebih memberi kepuasan pada diri. Kemudian suatu kali pada hari raya puasa dua tahun lalu, seorang sahabat saya membawa kami ke rumah tuan guru. Kami hanya dapat menunaikan solat Asar di masjid Pulau Melaka kerana tuan guru ada urusan di Kuala Lumpur.

Beberapa malam lalu, saya membaca darihal Anugerah Nobel versi Asia dalam buku Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat. Anugerah tersebut diberi oleh sebuah yayasan yang berpangkalan di Filipina. Di akhir makalah tersebut, dinyatakan bahawa Tuan Guru menolak anugerah itu dengan berhemah kerana tidak mahu menjejaskan hubungan diplomatik Filipina dan Malaysia. Betapa inilah satu sikap yang menunjukkan kezuhudan tuan guru. Hal itu belum lagi melibatkan beberapa langkah beliau dalam kepimpinan seperti tidak menggunakan kediaman rasmi sebagai tempat tinggal, pemotongan elaun khas dan gaji, pelantikan wakil-wakil bukan Islam dalam pentadbiran dan lain-lain.

Selasa, Oktober 20, 2009

Masa murbawan memimpin PEKEMBAR?

Apakah kan ada ruang murbawan memegang tampuk kepimpinan PEKEMBAR?


Sejak dahulu parti ini dipimpin oleh golongan bangsawan. Semacam ada monarki dan feudalisme baru dalam perwarisan tampuk kepimpinannya. Dahulu mereka yang punya ayah dan datuk yang pernah menggerakkan parti ini, hari ini mereka berada di puncak kuasa. YB PM hari ini sendiri menjadi orang pertama dalam PERKEMBAR setelah 33 tahun. Dan tentulah dia dibayangi gaya pemerintahan ayahnya. Kerana itu dia diberi peluang dan dijulang sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat juga. Saya masih ingat ketika hampir musim raya yang sudah, ada kenyataan akhbar bahawa peserta Felda, Felcra dan RISDA diberi bonus. Ayah saya salah seorang dalam tanah rancangan FELCRA. Saya bertanya, “Adakah bonus raya tahun ini?” Maka dijawab, “Tidak ada.” Saya pun kurang pasti tujuan hebahan di media berkenaan bonus raya kepada golongan marhaen dalam ketiga-tiga projek pembangunan rakyat ini. Apakah ia sekadar menunjukkan kemurahan hati kerajaan atau sebagai mengaburi mata orang di bandar betapa bertuahnya segolongan marhaen di pedalaman?

Hari ini dan secara spesifiknya minggu lepas, terdapat pindaan yang besar dalam perlembagaan PERKEMBAR ini. Mereka meluluskan pemansuhan sistem kuota. Bermakna sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri dalam pertandingan jawatan-jawatan penting. Sekian lama jawatan penting bermula dari Ketua Bahagian dipegang oleh setidak-tidaknya kontraktor atau ahli perniagaan. Jarang sekali Ketua Bahagian diterajui oleh bekas guru atau pekerja biasa yang tidak punya wang. Maka timbul persoalan di sini, apakah dengan perubahan yang dipersetujui memungkinkan seorang petani atau lebai di kampung mempunyai kredibiliti untuk diangkat sebagai pemimpin besar? Setidak-tidaknya menjadi ketua bahagian. Apakah mereka sudah masak dengan formula kepimpinan zaman dahulu kala waktu Nabi Daud lagi? Lupakah kita bahawa pada zaman itu, adat umat nabi Daud dalam melantik pemimpin ialah harta? Lupakah? Atau kita tidak pernah mengikuti sejarahnya? Inilah salah satu sejarah kepimpinan yang diungkap oleh-NYA dalam kitab suci kita. Firman-NYA yang bermaksud,

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. ”(Al-Baqarah: 247)

Seseorang berkata kepada saya, “Perubahan itu pasti mendatangkan musibah yang besar kepada mereka. Tunggulah bila sampai waktunya.” Saya bertanya, “Kenapa?” “Mereka sudah biasa makan minum dan pakai material. Asas pemikiran pun materialisme.” Dalam PEKEMBAR sendiri, usaha menghapus rasuah disuarakan pada era bekas presiden sebelum ini lagi. Tetapi semuanya tidak memberi bekas. Harap-harapnya pada kali ini mereka bukan sekadar menyatakan hasrat, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rasuah sifar dalam partinya terutama ketika pemilihan pucuk pimpinan. Dan maafkan saya kerana mahu menyelitkan kata-kata ini, “Bukan masa lagi untuk ditalkinkan bermaksud akan sampai juga waktu itu.”

Khamis, Oktober 15, 2009

Penulis yang faham strategi pemasaran

Saya baharu sahaja seminggu tamat membaca Mencari Locus Standi (MLS). Sebuah novel yang dikarang novelis prolifik Nisah Hj. Harun – memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 1996. Buku yang saya beli cetakan kedua. Latar ceritanya mengisahkan perjuangan seorang anak angkat mendapat harta yang diwasiatkan kepadanya. Tetapi atas sebab sikap tamak adik-beradik Emir Johan, mereka tidak bersetuju dan berpendapat harta itu tidak boleh diwasiatkan kepada Ejay. Mereka mahu pembahagian harta mengikut Faraid. Demikian serba sedikit perjalanan cerita yang digarap oleh penulisnya.


Buku ini kiranya saya baca mengikut urutan yang betul. Hal ini kerana saya membelinya setelah khatam Lentera Mustika (LM). Satu hal yang menjadi kelainan dalam kedua-dua buku ialah kebijakan pengarang mengatur strategi menulis. Saya percaya bahawa penulis setidak-tidaknya mempunyai asas pemasaran yang baik sehingga beliau menulis sedemikian rupa. Menulis sesebuah cerita berangkai dalam urutan mundur ke belakang seperti yang kita lihat hari ini memberi kelebihan nilai pasaran untuk kedua-duanya. Apabila salah satu daripada dua judul giat diperkatakan, disebut-sebut, menjadi buah mulut pencinta sastera – sudah tentu judul kembarnya mendapat tempias yang sama. Bilangan jualan dan cetakan untuk kedua-dua judul MLS dan LM pada perkiraan saya akan meningkat. Saya ambil contoh sendiri, apabila dimaklumkan MLS adalah kembar LM dari sudut pandang Ejay, semangat untuk mengetahui sambungan ceritanya berkobar-kobar. Apakah tidak mustahil kalau seseorang yang telah memiliki MLS berminat mendapatkan LM pula? Tidak mustahil sama sekali.

Manalah tahu...


Kalau-kalau ada yang murah hati hendak bantu saya selesaikan pinjaman pendidikan tinggi saya ini?

Rabu, Oktober 14, 2009

Jaga 10 perkara (1)

”Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertakwalah kamu kepadaNya; dan tunaikanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi golongan orang musyrik.” (Ar-Rum:31)


Dalam ayat di atas Allah mengarahkan manusia empat perkara:


  1. Kembali kepada-Nya; iaitu bertaubat.

  2. Bertaqwa kepada-Nya

  3. Menunaikan solat

  4. Jangan mensyirikkan-Nya


Bertaubat kepada Allah dalam erti melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Kemudian bertaqwalah kepada Allah kerana dalam ayat lain Allah menegaskan “Bahawa sesungguhnya Allah menerima amalan (korban) dari orang yang bertaqwa.”(Al-Maidah:27). Kemudian diperintahkan agar menunaikan solat dengan sempurna. Solat tiang agama, disebutkan di dalam al-Quran lebih daripada 400 kali. Dan jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu termasuk meniru sifat-sifat orang musyrikin.

Imam Al-Ghazali menyebut bahawa sebagai Muslim, kita wajib menjaga 10 perkara. Pertama akidah. Kedua ibadah. Ketiga agama. Akidah bermaksud simpulan. Kita menyimpulkan hati kita dengan kejap bahawa Allah Tuhan yang tiada Tuhan selain-Nya yang layak disembah. Tautan hati kita mesti kemas tanpa dapat digugah. Kita tahu bahawa apabila syaitan disingkir dari syurga, iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. ”Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik. ”(Al-Hijr:39-40).

Iblis akan sedaya upaya menyesatkan manusia terutama ketika sakaratul maut (mabuk mati). Iblis akan menjelma rupa ibu, ayah, kawan karib yang telah meninggal dunia. Dia akan merayu kepada orang yang hampir mati agar keluar daripada Islam. Kedua, menjaga ibadah. Untuk beribadah, setiap diri harus memiliki ilmu. Mengamalkan sesuatu tanpa sandaran ilmu bermaksud ikut-ikutan (taqlid). Banyak juga orang mencari ilmu dengan hanya membaca buku, tanpa berguru. Akhirnya guru sebenarnya adalah syaitan. Justeru amat penting jika terdapat kemusykilan tentang ibadah, seseorang bertanya kepada guru agama yang faqih. Ketiga menjaga agama. Jaga agama bermaksud istiqamah dengan anjuran syariat. Orang yang beragama menterjemah amalan, ketaatan dan roh agama dalam kehidupan. Setiap perkara perlu disandarkan kepada agama, baik dalam soal pentadbiran, pemerintahan, muamalat, ekonomi, sistem sosial dan lapangan hidup yang lain.



akan bersambung siri akan datang, insya-Allah.

-------

Nota: Kuliah Maghrib, 13 Oktober 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL.

Selasa, Oktober 13, 2009

Perbincangan al-Fatihah (3)

Tidak wajib diulang bacaan al-Fatihah jika ketika membacanya tidak dicelahi dengan zikir yang berkaitan dengan solat. Sebagai contoh seorang makmun menyambut bacaan imam yang selesai membaca surah At-Tiin dengan membaca “Balaa wa-ana 'alaa dzaalika min asy-syaahidiin.
Contoh lain, seorang makmum masbuq datang ketika imam hampir tiba ke ayat yang sajadah (biasanya dilakukan pada waktu Subuh hari Jumaat). Ketika dia membaca tiga ayat dari surah al-Fatihah imam sujud tilawah. Makmum tersebut mengikut imam dan apabila bangkit dari sujud dia hanya perlu menyambung ayat yang keempat sehinggalah sempurna bacaan Fatihahnya.

Jika seorang makmum menegur imam yang mengalami terlupa sehingga menjejaskan muwalat (berturutan bacaan), iaitu imam diam untuk mengingat ayat terlalu lama, bacaan al-Fatihah yang dihentikan kerana mengingatkan imam itu hendaklah disambung seperti biasa. Tetapi dengan syarat, bahawa mengingatkan imam itu sebagai zikrullah. Jika tidak berniat sebagai zikrullah, batallah solat makmum tersebut. Makmum tidak perlu mencelah imam tatkala imam berada dalam keadaan taraddud (iaitu ragu-ragu) sehingga imam mengulang bacaan beberapa kali.

Seseorang yang terlupa bacaannya kemudian mengulang ayat yang terdahulu. Apabila teringat semula dia terus menyambung pada tempat yang pertama tadi. Contoh: A terlupa ketika membaca ayat keenam. Dia mengulang semula ayat keempat. Setelah dia ingat, maka A terus membaca ayat terakhir tanpa membaca ayat kelima dan keenam. Apakah kedudukan bacaan Fatihahnya?

Dalam kes ini, bacaan Fatihahnya batal kerana tidak dibaca dalam keadaan muwalat. Justeru jika terjadi kes terlupa seperti yang dinyatakan, A hanya perlu mengulang dan membaca secara terus tanpa melangkau ayat walau pun setelah dia ingat semula tempat terakhir dia berhenti sebelum mengulang bacaan.


------- --------- ---------
Nota kuliah Maghrib, 11 Oktober 2009. Ustaz Abd. Aziz Arof. Masjid al-Hidayah, Sentul. Kitab Fathul Muin, halaman 69.

Ahad, Oktober 11, 2009

Biarlah gambar berbicara


Terima kasih pada bos Jomlinux kerana menghadiahkan sampul duit raya ini. -:)




Satu-satunya kek yang dimakan seperti memakan aiskrim. Ini aiskrim atau kek sebenarnya?

Jumaat, Oktober 09, 2009

Jenayah siber melibatkan akaun bank



7 Oktober 2009, Sebuah portal profesional IT, ZDNet mendedahkan 100 orang penjenayah siber disiasat kerana kesalahan phising dalam Operasi Phish Phry. Pernahkah anda menerima mesej mengatakan bahawa maklumat akaun di bank kritikal? Anda diminta mengisi borang dalam satu link yang disediakan. Pada permukaannya, kelihatan alamat url sama seperti alamat url bank tersebut, tetapi sebenarnya anda akan ditalakan ke laman web lain apabila menekan alamat pautan web itu. Bagaimana ia dilakukan?


Kebanyakan orang tertipu dengan menyangka dia memang betul-betul memasukkan data ke dalam borang pihak bank. Kebanyakan kes yang berlaku di AS melibatkan penggodam Mesir menghantar emel rasmi yang seolah-olah mewakili pengeluar kad kredit bank. Penerima emel diminta memberi data bank seperti nombor akaun, nombor kad kredit, kod kata rahsia, dan beberapa makumat peribadi yang lain. Mangsa tidak menyedari bahawa mereka sedang ditipu memandangkan laman web yang dibina mengandungi logo bank serta kadungan lain yang menyerupai laman web asal. Apabila penggodam Mesir berjaya menceroboh pangkalan data, dia akan berhubung dengan rakan kongsi di Amerika sebagai langkah susulan untuk mengeluarkan wang. Sehingga 5 September 2009, seramai 33 daripada 53 orang yang didakwa direman untuk siasatan lanjut.


Kes penipuan siber di Malaysia melibatkan seorang pemegang akaun CIMB. Mangsa dimaklumkan memenangi hadiah wang tunai RM14000 dan diminta memberi nombor akaunnya. Sejam kemudian, mangsa mendapati terdapat dua transaksi RM120.00 dilakukan sebagai bayaran kepada “I-PYMT TO COLL”. Baca laporan penuh versi BI.



Khamis, Oktober 08, 2009

Kadang-kadang sistem tergendala.



Sebelah petang saya tidak berapa boleh membuat kerja. Sistem yang dibina merosakkan segala perancangan. Habis terganggu PC baharu yang saya gunakan itu. Hendak dikata masalah virus, persekitaran Linux memang diketahui sudah mesra virus. Jadi apabila keluar tetingkap meminta saya menutup perayau Firefox, mesej itu terus menerus muncul di tengah-tengah desktop. Pada ketika saya sempat menekan butang print screen dan menyimpan imejnya, PC masih dapat berkompromi. Dua tiga minit selepas itu, imej kecil (fav.ico) mozilla itu menjadi garis-garis sahaja. Bermakna ratusan mesej seperti yang tertera di atas keluar. Akhirnya PC menjadi melahu (hang). Saya tidak ada cara yang lebih kejam daripada ini: terus sahaja menutup suiz di plug. Habis cerita. Memanglah hal seperti ini satu tekanan bagi orang yang bekerja menggunakan komputer. Bayangkan juga, jika anda asyik menaip – katalah dua tiga muka surat, tiba-tiba elektrik terputus. Anda tidak sempat menyimpan data, dan tidak ada pula mekanisma keselamatan seperti penggunaan penjana kuasa yang boleh melambatkan kehabisan elektrik berbanding waktu biasa. Tetapi tentulah jarang orang memakai peralatan seperti itu.

Selasa, Oktober 06, 2009

Kuliah agama masjid Al-Hidayah

Kuliah agama di Masjid Al-Hidayah Sentul bermula seperti biasa setelah sekian lama ditangguh sempena Ramadan. Bulan Syawal ini, kuliah Subuh dimulakan secara sukarela oleh seorang muballigh pada pagi Sabtu – 3 Okt 2009. Kemudian semalam (5 Okt 2009), Uts. Muhammad bin Yusof, mantan Pegawai Agama Islam Negara Brunei Darul Salam memulakan kuliah Maghrib. Selepas kuliah, ustaz memaklumkan kepada saya surau Al-Muttaqin mengadakan majlis rumah terbuka selepas Isyak. Saya tidak dapat hadir kerana baharu sahaja makan.

Apabila nama disebut di akhbar

Jam 10 malam tadi, saya terima SMS. Menurut SMS itu, dia menyebut nama saya dalam tulisannya di akhbar. Berpagi-pagi saya turun dari rumah terus ke kedai mendapatkan Harian Metro. Saya cari ruangan ulasan buku. Halaman V7. Oo... patutlah nama saya disebut. Terima kasih kepada penulis ulasan buku itu. Hal dia meraikan pendapat saya itu amat saya hargai.

Isnin, Oktober 05, 2009

Menyah penjana malware dari cakera boleh alih

Setelah saya dapat menyelamatkan sebahagian fail dalam pendrive tempoh hari, saya terlupa bahawa laptop belum dibersihkan. Maka sekali lagi saya menghadapi masalah. Aplikasi yglaan.exe dalam koleksi permainan flash menjana semula Flashy.exe dan menjangkiti cakera mudah alih tersebut. Apabila saya membuang folder baharu yang dijana, secara automatik flashy.exe menyembunyikan folder-folder asal. Maka dapatlah saya lihat data seperti yang ditunjukkan di bawah.



Maknanya yglaan.exe masih lagi aktif dan menjadi halimunan. Ia menjana Flashy.exe yang baru setiap kali anaknya itu cuba dipadam. Saya semacam bermain sorok-sorok pula. Macam tagline iklan chipsmore, 'sekejap ada, sekejap tiada'. Seorang sahabat saya bertanya dan mencadangkan satu penyelesaian. Dia mencadangkan saya membuang yglaan.exe menggunakan arahan dalam command windows (cmd). Langkah-langkah berikut dicadangkannya.



  1. Buka command promp windows. >> Start > Run :: taip cmd dan klik OK.

  2. Kemudian, cakera boleh pindah (pendrive) dipasang.

  3. Taip arahan F:

  4. Kemudian tekan butang Enter.

  5. Taip arahan attrib

  6. Ulang langkah 4. Fail-fail yang diragui akan memiliki singkatan SHR di sebelah kiri.

  7. Taip arahan attrib -S -H -R

  8. Kemudian taip del ; arahan untuk memadam penjana malware atau virus; autorun.inf dan yglaan.exe Contoh arahan: del yglaan.exe

  9. Kemudian pisahkan pendrive daripada PC. Dan pasang semula

  10. Ulang langkah dua (2) hingga enam (6) sebagai pengesahan bahawa semua aplikasi berkaitan malware atau virus dipadam.

  11. Layar persekitaran pendrive dalam tentingkap yang baru.

  12. Dari menu bar, pergi ke Tools > Folder Option > View. Aktifkan ruangan butang Show hidden files and folders.

  13. Kemudian, right-click atas folder yang ditunjukkan > Properties. Dan buangkan pilihan attribute Read-only dan Hidden. > Apply, kemudian tekan OK. Pastikan radio button di-uncheck.




Arahan supaya diperlihat folder/fail yang disorok.


Mengubah semula Attribute folder yang diubah oleh malware.

Terima kasih pada yang sudi mengajar saya, Cik Ida, Knowledge Engineering Dept. SWS Sdn Bhd.


Jumaat, Oktober 02, 2009

Ayat 4 surah al-Ahqaf

Ada satu perkara baru yang saya suka kongsi. Bagaimana kaedah bacaan ayat empat surah al-Ahqaf? Seorang sahabat saya menulisnya di sini. Beliau pelajar sarjana kejuruteraan Mekanikal, suami kepada seorang isteri lulusan agama di universiti Jordan.

Sorotan tentang ACT Malaysia

Sepuluh tahun lalu, apabila kuasa besar AS mendesak Indonesia memberi autonomi kepada Irian Jaya dan Timor Timor (sekarang dinamakan Timur Leste), Indonesia hanya melepaskan Timor Timor. Sejarah awal kemasukan Timor Timor sebagai sebahagian Republik Indonesia dikatakan sebagai 'annex' iaitu kemasukan secara salah. Pada tahun 1946, apabila AS yang menjadi penjajah Kepulauan Filipina sekian lama sejak 1898, Mindanao juga di'annex' ke dalam Filipina. Pada tahun 1900, kependudukan orang Islam di Mindanao adalah 90%, tetapi pada hari ini jumlah mereka mengecil sehingga 25% sahaja. Perjuangan Muslim Mindanao mendapat kuasa autonomi seperti Timor Timor tidak pula mendapat sokongan AS. Tidakkah kedua-dua wilayah ini mempunyai sejarah yang sama (annexed)? Maka perlulah diketahui bahawa Timor Timor bersetuju menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, manakala Mindanao tidak. Kerana perbezaan itu, AS tidak mendesak kerajaan Filipina untuk melepaskan Mindanao sebagaimana yang dibuat terhadap kerajaan Indonesia.

Saya baharu sahaja mengikuti sesi penerangan daripada ACT Malaysia berkenaan usaha bantuan kemanusiaan mereka kepada umat Islam Mindanao. Mengikut Datuk Mustafa Kamal, program bantuan berikutnya adalah Qurban for Solidarity and Humanity (QSH).