Saya baharu sahaja seminggu tamat membaca Mencari Locus Standi (MLS). Sebuah novel yang dikarang novelis prolifik Nisah Hj. Harun – memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 1996. Buku yang saya beli cetakan kedua. Latar ceritanya mengisahkan perjuangan seorang anak angkat mendapat harta yang diwasiatkan kepadanya. Tetapi atas sebab sikap tamak adik-beradik Emir Johan, mereka tidak bersetuju dan berpendapat harta itu tidak boleh diwasiatkan kepada Ejay. Mereka mahu pembahagian harta mengikut Faraid. Demikian serba sedikit perjalanan cerita yang digarap oleh penulisnya.
Buku ini kiranya saya baca mengikut urutan yang betul. Hal ini kerana saya membelinya setelah khatam Lentera Mustika (LM). Satu hal yang menjadi kelainan dalam kedua-dua buku ialah kebijakan pengarang mengatur strategi menulis. Saya percaya bahawa penulis setidak-tidaknya mempunyai asas pemasaran yang baik sehingga beliau menulis sedemikian rupa. Menulis sesebuah cerita berangkai dalam urutan mundur ke belakang seperti yang kita lihat hari ini memberi kelebihan nilai pasaran untuk kedua-duanya. Apabila salah satu daripada dua judul giat diperkatakan, disebut-sebut, menjadi buah mulut pencinta sastera – sudah tentu judul kembarnya mendapat tempias yang sama. Bilangan jualan dan cetakan untuk kedua-dua judul MLS dan LM pada perkiraan saya akan meningkat. Saya ambil contoh sendiri, apabila dimaklumkan MLS adalah kembar LM dari sudut pandang Ejay, semangat untuk mengetahui sambungan ceritanya berkobar-kobar. Apakah tidak mustahil kalau seseorang yang telah memiliki MLS berminat mendapatkan LM pula? Tidak mustahil sama sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan