Sejak dahulu parti ini dipimpin oleh golongan bangsawan. Semacam ada monarki dan feudalisme baru dalam perwarisan tampuk kepimpinannya. Dahulu mereka yang punya ayah dan datuk yang pernah menggerakkan parti ini, hari ini mereka berada di puncak kuasa. YB PM hari ini sendiri menjadi orang pertama dalam PERKEMBAR setelah 33 tahun. Dan tentulah dia dibayangi gaya pemerintahan ayahnya. Kerana itu dia diberi peluang dan dijulang sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat juga. Saya masih ingat ketika hampir musim raya yang sudah, ada kenyataan akhbar bahawa peserta Felda, Felcra dan RISDA diberi bonus. Ayah saya salah seorang dalam tanah rancangan FELCRA. Saya bertanya, “Adakah bonus raya tahun ini?” Maka dijawab, “Tidak ada.” Saya pun kurang pasti tujuan hebahan di media berkenaan bonus raya kepada golongan marhaen dalam ketiga-tiga projek pembangunan rakyat ini. Apakah ia sekadar menunjukkan kemurahan hati kerajaan atau sebagai mengaburi mata orang di bandar betapa bertuahnya segolongan marhaen di pedalaman?
Hari ini dan secara spesifiknya minggu lepas, terdapat pindaan yang besar dalam perlembagaan PERKEMBAR ini. Mereka meluluskan pemansuhan sistem kuota. Bermakna sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri dalam pertandingan jawatan-jawatan penting. Sekian lama jawatan penting bermula dari Ketua Bahagian dipegang oleh setidak-tidaknya kontraktor atau ahli perniagaan. Jarang sekali Ketua Bahagian diterajui oleh bekas guru atau pekerja biasa yang tidak punya wang. Maka timbul persoalan di sini, apakah dengan perubahan yang dipersetujui memungkinkan seorang petani atau lebai di kampung mempunyai kredibiliti untuk diangkat sebagai pemimpin besar? Setidak-tidaknya menjadi ketua bahagian. Apakah mereka sudah masak dengan formula kepimpinan zaman dahulu kala waktu Nabi Daud lagi? Lupakah kita bahawa pada zaman itu, adat umat nabi Daud dalam melantik pemimpin ialah harta? Lupakah? Atau kita tidak pernah mengikuti sejarahnya? Inilah salah satu sejarah kepimpinan yang diungkap oleh-NYA dalam kitab suci kita. Firman-NYA yang bermaksud,
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. ”(Al-Baqarah: 247)
Seseorang berkata kepada saya, “Perubahan itu pasti mendatangkan musibah yang besar kepada mereka. Tunggulah bila sampai waktunya.” Saya bertanya, “Kenapa?” “Mereka sudah biasa makan minum dan pakai material. Asas pemikiran pun materialisme.” Dalam PEKEMBAR sendiri, usaha menghapus rasuah disuarakan pada era bekas presiden sebelum ini lagi. Tetapi semuanya tidak memberi bekas. Harap-harapnya pada kali ini mereka bukan sekadar menyatakan hasrat, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rasuah sifar dalam partinya terutama ketika pemilihan pucuk pimpinan. Dan maafkan saya kerana mahu menyelitkan kata-kata ini, “Bukan masa lagi untuk ditalkinkan bermaksud akan sampai juga waktu itu.”
1 ulasan:
bukan masa lagi bermaksud akan sampai juga waktunya nanti. tepat! harap2 tempohnya pendek. semakin cepat maka semakin senang hatilah orang2 yg susah....
Catat Ulasan