Seseorang yang syak sama ada membaca basmalah perlu memulakan semula bacaan al-Fatihahnya dari awal kerana taqshir (kecuaian) dirinya sendiri meragui apakah dia membaca Bismillahirramaanirrahiim atau tidak. Tidak memberi kesan (mudharat) pada seseorang yang telah selesai membaca al-Fatihah sedangkan dia ragu tertinggal satu huruf atau beberapa huruf pada mana-mana ayat. Tetapi jika keraguan itu timbul tatkala dia sedang membacanya, maka perlulah diulang semula pada tempat (ayat) yang diraguinya. Contoh, ketika membaca ayat keenam, tiba-tiba si A menjadi ragu sama ada dia membaca Iyyaa (dengan syaddah) atau iya (tanpa syaddah pada huruf 'ya') dalam ayat kelima. Dalam hal ini si A perlulah mengulang semula ayat kelima tersebut.
Seseorang yang meragui rukun Fatihah secara keseluruhan. Katakan si A, apabila telah rukuk menjadi syak sama ada dia membaca atau tidak bacaan al-Fatihah. Di sini terdapat dua keadaan yang perlu dipertimbangkan. Pertama, jika si A bersolat sendirian, dia hendaklah mengulang bacaan al-Fatihah selepas bangkit dari rukuk. Kemudian rukuk semula dan meneruskan rakaat tersebut. Kedua, jika A bersolat jemaah, dia hendaklah terus sujud bersama imam selepas iktidal. Tetapi rakaat itu tidak dikira kerana keraguan yang timbul menyebabkan si A tertinggal rukun solat. Dia perlu menambah rakaat tersebut selepas imam memberi salam.
Seseorang yang terlupa bacaan Fatihah, sebagai contoh orang yang solat dalam keadaan mamai (tidak fokus). Tiba-tiba sahaja dia teringat ayat akhir yang dibaca, maka hendaklah diulang bacaan al-Fatihahnya dari ayat pertama.
Bagaimana halnya seseorang yang tidak mempunyai masa atau ruang mempelajari al-Fatihah. Contohnya saudara baru. Maka hendaklah dia membaca setakat yang diingatnya sehingga bacaan itu menyamai jumlah keseluruhan 156 huruf dalam surah al-Fatihah. Sebagai contoh,
- Si B hanya ingat sehingga ayat keempat maka hendaklah diulang bacaan (ayat 1 hingga 4) itu dua kali.
- Si B tidak dapat membaca walau satu ayat dari surah al-Fatihah, hendaklah dia membaca tujuh (7) zikir yang kira-kira huruf zikir-zikir itu menyamai 156 huruf dalam surah al-Fatihah.
- Si B juga tidak tahu tujuh jenis zikir, maka hendaklah dia diam (dalam keadaan berdiri) sekadar sela waktu membaca surah a-Fatihah yang biasa.
-*-*-
Rumusan kuliah Maghrib, 25 Oktober 2009, Ust. Abdul Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul. Kitab Fathul Muin, halaman 70 (edisi jawi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan