Sabtu, Oktober 31, 2009

Siapa yang sedia tanggung defisit ini?

Sehari dua ini kelihatan pengurus projek amat sibuk. Mereka perlu menyediakan perancangan kerja secara bulanan untuk pekerja di bawah seliaan masing-masing. Kesibukan mereka jelas. Terdengar juga cerita yang pihak pengurusan memutuskan memecat mana-mana pengurus yang gagal merancang jadual kerja sehingga projek seliaan mereka gagal disiap dan dihantar pada tarikh yang dijanjikan. Krisis ekonomi terbaharu yang heboh diperkatakan melibatkan syarikat telekomunikasi besar seperti Maxis dan Astro. Maxis merancang untuk membuang kira-kira 160 orang kakitangan manakala Astro sedang membuat penilaian untuk menamatkan kontrak kerja 300 orang kakitangannya. Sebagai langkah pengurangan kos, bank seperti CIMB (dahulu dikenal sebagai Bumiputera Commerce Bank, BCB) juga turut menutup beberapa premis di cawangan tertentu seperti di hadapan Flat Seri Terengganu. Cawangan tersebut digabungkan dengan satu lagi cawangan CIMB di Sentul Boulvard, Jalan Sentul.

Kita baharu sahaja mendengar pembentangan Bajet 2010. Akhbar-akhbar perdana menggambarkan bajet tersebut sebagai bajet kebajikan. Kita terima dan 'menyetujui' kebajikan yang digembar-gemburkan itu. Tetapi tidak ada pula perbincangan dari sudut pandang ahli ekonomi dimuatkan dalam akhbar perdana berbahasa Melayu. Dalam Bajet 2010, perolehan kerajaan berkurang kepada RM36.7 bilion sedangkan perbelanjaannya sebanyak RM44.4 bilion. Hal ini bermakna terdapat angka defisit sebanyak RM7.7 bilion. Pergantungan negara pada sumber tidak boleh diperbaharu (petroleum dan gas) menjadikan unjuran fiskal tidak menentu kerana boleh jadi pasaran dunia bagi kedua-dua bahan ini meningkat dan menurun. Sebagai contoh, kadar fiskal tahun 2009 dibuat dengan asas harga petrol dianggarkan USD70 setiap barel manakala harga gas sebanyak USD4.00 setiap mmbtu. Namun begitu terdapat kejatuhan nilai pasaran serendah USD45 dan USD3.25 bagi petrol dan gas masing-masing. Menurut laporan Tinjauan Ekonomi Bank Pusat, kejatuhan harga pasaran tersebut menyebabkan perolehan fiskal tahun 2008 sebanyak RM55.6 bilion menyusut kepada RM37.9 bilion pada tahun 2009 sedangkan perbelanjaan menokok sebanyak RM0.6 bilion.

Mari kita fikir-fikirkan. Apakah terdapat pihak-pihak yang berkepentingan merancang untuk mengatasi defisit ini jika diberi peluang? Sejauh mana persediaan mereka?


1 ulasan:

Khairi Mohd berkata...

Betul jugak tu. Sbb rege minyak nak naik balik kot.