Hari ini genaplah 19 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memerintah Kelantan. Sepanjang perjalanan hidup beliau sebagai Menteri Besar, banyak halangan dan dugaan yang ditempuh. Saya kira amat sukar mendapat peluang berjumpa dengan sosok luar biasa sepertinya.
Ketika di sekolah menengah, saya pernah bersama-sama sahabat Asrol (kini cikgu Asrol, bertugas di Sarawak) mendengar kuliah Jumaat di Dewan Zulkifli, Kota Bharu. Asrol biasanya mengajak saya naik ke dalam dewan, duduk ditengah-tengah, di hadapan tuan guru. Itu pun tidaklah kerap melainkan ketika kami diberi cuti pendek hujung minggu. Saya biasanya tidak pulang ke kampung jika cuti hujung minggu yang hanya dua hari sebaliknya bermalam di rumah rakan-rakan sekitar Kota Bharu. Bermakna saya mempunyai peluang mengikuti kuliah pagi Jumaat dengan mudah. Selepas meninggalkan persekolahan di Kelantan, saya pernah mengunjungi negeri Serambi Mekah sempena menghadiri program sastera. Sekali rakan saya mengajak saya bersolat Subuh di masjid Pulau Melaka. Jika sebelum ini saya hanya membaca suasana masjid ini dalam buku Autobiografi Tuan Guru oleh Dinsman, mengalami sendiri keadaan itu jauh lebih memberi kepuasan pada diri. Kemudian suatu kali pada hari raya puasa dua tahun lalu, seorang sahabat saya membawa kami ke rumah tuan guru. Kami hanya dapat menunaikan solat Asar di masjid Pulau Melaka kerana tuan guru ada urusan di Kuala Lumpur.
Beberapa malam lalu, saya membaca darihal Anugerah Nobel versi Asia dalam buku Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat. Anugerah tersebut diberi oleh sebuah yayasan yang berpangkalan di Filipina. Di akhir makalah tersebut, dinyatakan bahawa Tuan Guru menolak anugerah itu dengan berhemah kerana tidak mahu menjejaskan hubungan diplomatik Filipina dan Malaysia. Betapa inilah satu sikap yang menunjukkan kezuhudan tuan guru. Hal itu belum lagi melibatkan beberapa langkah beliau dalam kepimpinan seperti tidak menggunakan kediaman rasmi sebagai tempat tinggal, pemotongan elaun khas dan gaji, pelantikan wakil-wakil bukan Islam dalam pentadbiran dan lain-lain.
1 ulasan:
I miss him. Lama tak tengok TG.
Catat Ulasan