Rabu, Oktober 28, 2009

Isu hangat: Ujian dalam berjamaah.

Abu ‘Ala al-Maududi dalam bukunya Beberapa Peringatan Untuk Para Da’i menukilkan beberapa adat mengkritik dalam Jamaah sebagaimana berikut*;

  1. Hendaklah kritikan dibuat dengan kerap dalam majlis khas dengan permintaan mas’ul jamaah tempatan.
  2. Pengkritik perlu muhasabah diri. Apkah kritikan dibuat dengan ikhlas atau sentimen peribadi?

  3. Kritikan hendaklah dibuat dengan ayat yang apabila didengar, orang merasai kritikan itu sebagai hal yang boleh membaiki bukan pendedahan kelemahan yang membinasakan jamaah.

  4. Orang yang dikritik hendaklah mendengar kritikan dengan waras dan saksama. Dia tidak melebihkan kepentingan dirinya dengan bersikap sombong dan takabur.

  5. Jawapan kepada kritikan hendaklah tepat sehingga tidak menimbulkan persengketaan, hasad dengki dan kebencian yang berpanjangan sesama sendiri.
(1)

Al-Maududi seterusnya menulis, “Bilamana kritikan itu dijaga dan diperhitungkan sempadan dan adab-adabnya maka ia tidak sekadar member manfaat malah merupakan keperluan (dharuri) untuk memperbaiki penghidupan jamaah. Tanpa kritikan seumpama ini mana-mana jamaah yang tersusun tidak akan dapat mempertahan pegangan kepada kebenaran.” (2)

Hari ini apabila kita melihat cara beberapa orang pemimpin menghadapi kritikan, bolehlah dibuat ukuran dan timbang tara dengan garis panduan yang dicadangkan oleh al-Maududi tersebut. Ada sebilangan pemimpin yang menjawab kritikan dengan penuh bijaksana. Dan malangnya sebahagian daripada mereka menjawab dengan penuh emosi. Saya fikir tuan-tuan sendiri menjadi pengamat terhadap isu ini. Dalam dunia yang serba mungkin, jentera pemusah (baca propaganda musuh) amat licik memasukkan jarum permusuhan. Mereka menambah perisa dalam hidangan yang bila-bila sahaja akan dibaham oleh semua sama ada kawan mahu pun lawan. Hal inilah yang menjadi cabaran besar kepada pendokong jamaah Islam. Ada juga usaha melaga-lagakan seorang pemimpin dengan pemimin lain. Sesetengah mereka yang tidak berkenaan (BUKAN pemimpin, ahli atau pendokong) telah dengan tidak mempunyai hak memberi pendapat sebelum perkara itu dibincangkan dalam syura secara adil. Sebab itu kita dengar, sesetengah orang yang baru mahu menjinakkan diri kepada PAS mula menjadi goyah (semoga kita semua terus iltizam menjadi pendokong gerakan ini). Mereka yang tidak faham atau baru cuba memahami jamaah mula keliru. Malah ada yang dengan tegas menyatakan sikap mahu meninggalkan jamaah! Terkilan juga apabila sesetengah orang melabelkan Presiden PAS sama seperti mantan PM dalam BN.

Apakah sikap kita? Seperti mana yang disebutkan al-Maududi, hendaklah kita sabar dan tenang menghadapi semua ini. Ingatlah bahawa masalah ini bukan masalah yang tiada jalan penyelesaiannya. Didoakan semoga polemik yang sedang hangat ini dapat diselesaikan dengan baik malam ini, insya-Allah.


#-#-#
*catatan yang diringkaskan – penulis.
Rujukan:
1. Tazkirah Du’aatu al-Islam (Beberapa Peringatan Untuk Para Da’i), Abul ‘Ala al-Maududi, Dewan Pustaka Fajar, Cetakan Pertama (1985), halaman 81-82.
2. Ibid, halaman 83.

Tiada ulasan: