Rabu, Oktober 14, 2009

Jaga 10 perkara (1)

”Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertakwalah kamu kepadaNya; dan tunaikanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi golongan orang musyrik.” (Ar-Rum:31)


Dalam ayat di atas Allah mengarahkan manusia empat perkara:


  1. Kembali kepada-Nya; iaitu bertaubat.

  2. Bertaqwa kepada-Nya

  3. Menunaikan solat

  4. Jangan mensyirikkan-Nya


Bertaubat kepada Allah dalam erti melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Kemudian bertaqwalah kepada Allah kerana dalam ayat lain Allah menegaskan “Bahawa sesungguhnya Allah menerima amalan (korban) dari orang yang bertaqwa.”(Al-Maidah:27). Kemudian diperintahkan agar menunaikan solat dengan sempurna. Solat tiang agama, disebutkan di dalam al-Quran lebih daripada 400 kali. Dan jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu termasuk meniru sifat-sifat orang musyrikin.

Imam Al-Ghazali menyebut bahawa sebagai Muslim, kita wajib menjaga 10 perkara. Pertama akidah. Kedua ibadah. Ketiga agama. Akidah bermaksud simpulan. Kita menyimpulkan hati kita dengan kejap bahawa Allah Tuhan yang tiada Tuhan selain-Nya yang layak disembah. Tautan hati kita mesti kemas tanpa dapat digugah. Kita tahu bahawa apabila syaitan disingkir dari syurga, iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. ”Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik. ”(Al-Hijr:39-40).

Iblis akan sedaya upaya menyesatkan manusia terutama ketika sakaratul maut (mabuk mati). Iblis akan menjelma rupa ibu, ayah, kawan karib yang telah meninggal dunia. Dia akan merayu kepada orang yang hampir mati agar keluar daripada Islam. Kedua, menjaga ibadah. Untuk beribadah, setiap diri harus memiliki ilmu. Mengamalkan sesuatu tanpa sandaran ilmu bermaksud ikut-ikutan (taqlid). Banyak juga orang mencari ilmu dengan hanya membaca buku, tanpa berguru. Akhirnya guru sebenarnya adalah syaitan. Justeru amat penting jika terdapat kemusykilan tentang ibadah, seseorang bertanya kepada guru agama yang faqih. Ketiga menjaga agama. Jaga agama bermaksud istiqamah dengan anjuran syariat. Orang yang beragama menterjemah amalan, ketaatan dan roh agama dalam kehidupan. Setiap perkara perlu disandarkan kepada agama, baik dalam soal pentadbiran, pemerintahan, muamalat, ekonomi, sistem sosial dan lapangan hidup yang lain.



akan bersambung siri akan datang, insya-Allah.

-------

Nota: Kuliah Maghrib, 13 Oktober 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL.

Tiada ulasan: