Selasa, Oktober 13, 2009

Perbincangan al-Fatihah (3)

Tidak wajib diulang bacaan al-Fatihah jika ketika membacanya tidak dicelahi dengan zikir yang berkaitan dengan solat. Sebagai contoh seorang makmun menyambut bacaan imam yang selesai membaca surah At-Tiin dengan membaca “Balaa wa-ana 'alaa dzaalika min asy-syaahidiin.
Contoh lain, seorang makmum masbuq datang ketika imam hampir tiba ke ayat yang sajadah (biasanya dilakukan pada waktu Subuh hari Jumaat). Ketika dia membaca tiga ayat dari surah al-Fatihah imam sujud tilawah. Makmum tersebut mengikut imam dan apabila bangkit dari sujud dia hanya perlu menyambung ayat yang keempat sehinggalah sempurna bacaan Fatihahnya.

Jika seorang makmum menegur imam yang mengalami terlupa sehingga menjejaskan muwalat (berturutan bacaan), iaitu imam diam untuk mengingat ayat terlalu lama, bacaan al-Fatihah yang dihentikan kerana mengingatkan imam itu hendaklah disambung seperti biasa. Tetapi dengan syarat, bahawa mengingatkan imam itu sebagai zikrullah. Jika tidak berniat sebagai zikrullah, batallah solat makmum tersebut. Makmum tidak perlu mencelah imam tatkala imam berada dalam keadaan taraddud (iaitu ragu-ragu) sehingga imam mengulang bacaan beberapa kali.

Seseorang yang terlupa bacaannya kemudian mengulang ayat yang terdahulu. Apabila teringat semula dia terus menyambung pada tempat yang pertama tadi. Contoh: A terlupa ketika membaca ayat keenam. Dia mengulang semula ayat keempat. Setelah dia ingat, maka A terus membaca ayat terakhir tanpa membaca ayat kelima dan keenam. Apakah kedudukan bacaan Fatihahnya?

Dalam kes ini, bacaan Fatihahnya batal kerana tidak dibaca dalam keadaan muwalat. Justeru jika terjadi kes terlupa seperti yang dinyatakan, A hanya perlu mengulang dan membaca secara terus tanpa melangkau ayat walau pun setelah dia ingat semula tempat terakhir dia berhenti sebelum mengulang bacaan.


------- --------- ---------
Nota kuliah Maghrib, 11 Oktober 2009. Ustaz Abd. Aziz Arof. Masjid al-Hidayah, Sentul. Kitab Fathul Muin, halaman 69.

Tiada ulasan: