Selasa, Disember 29, 2009

Kenangan








Kenangan adalah lipatan sejarah
Mampu dibelek kemudian hari
seringkali menjentik rasa
"Alangkah nikmat detik itu berulang."

Ahad, Disember 20, 2009

Tetaplah kita berpendirian

Seseorang perlu jelas pendiriannya. Tidak boleh berbolak balik atau dalam istilah politik menjadi orang atas pagar (OAG). Ada satu ayat al-Quran (saya petik kata-kata Ust. Abd. Ghani Samsuddin), menegaskan perkara ini. Al-Quran mengelaskan orang yang tidak jelas pendiriannya sebagai muzabzabiin. Mereka tidak menyokong mana-mana pihak. Demikianlah yang berlaku kepada majoriti manusia belia hari ini. Mereka hanya lebih gemar memikirkan kehidupan sendiri. Kerja, dapat gaji bayar pinjaman pelajaran, pendidikan, kenderaan. Kemudian berkahwin. Mereka tidak kisah politik. Bagi mereka, politik tidak memberi kebaikan kepada mereka. Malah ada yang langsung tidak mengambil peduli untuk mengundi dalam pilihan raya.

Orang-orang muda belia yang sudah larut dengan hedonisme dan selesa dengan kehidupan sendiri hanya akan memberontak menunjukkan protes sekiranya kelangsungan hidup mereka disekat. Hanya sedikit yang mahu membuat penelitian betul salah dan menganalisis sesuatu isu secara saksama tanpa mengikut secara melulu. Sebahagian yang memberontak dek darah muda, cepat sekali melangkau pandangan orang tua yang lebih berpengalaman. Bagi mereka, semua perkara betul perlu didedahkan tanpa memahami maslahat kerahsiaan. Tidakkah ada suatu hal yang benar walaupun betul menjadi fitnah? Ia umpama membuat rong yang pada dasarnya dilihat rata kerana dilitup selapisan aspalt. Apabila seseorang melalui lingkungan rong itu, dia terjerlus ke dalamnya. Atau samalah seperti senjata makan tuan. Inilah yang melanda kebanyakan orang muda. Dahulunya dialah yang menjadi juara menyokong kepimpinan. Tetapi hari ini mereka jugalah yang menentang kepimpinan.

Dan setiap orang mempunyai maslahat sendiri untuk menyatakan pendirian. Sekurang-kurangnya dia memiliki pendirian, bukan OAG.

Promosi al-Quran terjemahan dengan Sebab Turun Ayat


Lima buku baharu dilancar

Sempena Perhimpunan Kelab Alumni MPR 1 2009, 19 Disember 2009 bertempat di Dewan Seminar, Tingkat 2 Menara – lima buah buku tulisan mantan MPR dilancarkan.
1. Lentera Mustika – Nisah Hj. Haron. (Novel)
2. Menunggu Cinta Tuhan – Lili Haslina Nasir (Novel)
3. Janji Miftahul Raudhah - Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri(Novel)[diedit pada 21 Jul 2010]
4. Antologi Badrul Bambi – Siti Raihani Mohd Said (Cerpen)
5. Kafe Filosof Fikir – Akan siap cetak Feb 2010.

“Saya gemar menghadiri majlis ini kerana Diskusinya yang santai, tidak terlalu teoritikal. Kadang-kadang terlalu berteori menjadikan orang menjadi ‘pening’. Tetapi yang lebih penting, sisipan ilmu dan pengalaman tetap masuk ke dalam minda fikir setiap yang hadir.” Komen ringkasku selaku ‘orang luar’. Syabas!

Pembaharuan dalam taqwim hijrah

Salam Ma’al Hirah 1431H. Dahulu saya tulis sejarah taqwim hijrah. Tahun ini ada lagi hal baharu yang saya peroleh. Taqwim Islam mengguna pakai sistem kalender bukan Islam dengan mengubah dua perkara. Pertama, pada zaman nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Nabi mengekalkan penggunaan nama hari melainkan hari al-‘Aruba ditukar menjadi al-Jumuah (Jumaat). Kedua, perubahan dibuat pada zaman Umar al-Khattab, iaitu menggunakan sistem nombor menggantikan sistem nama. Maka tidak ada dalam Islam tahun Huzni (kesedihan), Tahun Gajah dan seumpamanya yang digunakan selepas itu.

Ringkasan Kuliah Maghrib, Ust. Azhar Yahya, 20 Dis 2009, Masjid al-Hidayah.

Khamis, Disember 17, 2009

Ucapan sempena Ma'al Hijrah 1431H

Sempena pertukaran tahun hijrah, saya ingin mengucapkan “SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1431H.”
Semoga hijrah ini menjadikan kita lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Insya-Allah.

"HIJRAH BERSAMA AZAM DAN TEKAD BAHARU"



iluvislam

"Benarlah, orang lebih ghairah menyambut tahun baru tanggal 1 Januari. Jarang orang mahu memeriahkan sambutan sambutan Ma'al Hijrah. Kenapa?" suara dari lubuk hati.

Ahad, Disember 13, 2009

Hescom 2009







Hotel New Pacific, Kelantan.
8.00 - 11.00 malam.

Sabtu, Disember 12, 2009

Melihat musibah dengan mata hati

Hadis dari Mu’az bin Jabal. Terdapat tiga perkara jika ada pada seseorang akan menjadikannya mendapat kelebihan abdal (wali-wali Allah).
1. Redha dengan qadha Allah.
2. Sabar atas perkara yang diharamkan Allah.
3. Benci apabila zat Allah dipersoalkan.


Firman Allah, “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri…” (An-Nisaa:79)


Dalam bab qadha ini, hendaklah berhati-hati agar tidak tergelincir dalam akidah Jabbariah. Misalnya kita berkata, “Sudah nasib.” “Sudah tiada jodoh.” Dan seumpamanya. Sebaliknya kita memikirkan atau melihat dengan mata hati. Misalnya apabila kehilangan sesuatu, kita berkata, “Mungkin barang yang hilang itu pernah suatu ketika dahulu aku berbangga dengannya. Apabila orang melihat aku memegangnya, timbul rasa gah dalam diri. Dan Allah mahu kaffarah dosa itu.”

Orang yang redha dan bersabar dengan musibah sentiasa mengucapkan, “Kami dari Allah, dan kepada Allah kami dikembalikan.” (Al-Baqarah: 156). Seseorang yang ditimpa musibah juga tidak perlu terperangkap dengan hasutan syaitan sehingga berkata, “Kalau begini…. Kalau begitu…” yang memungkinkan musibah itu tidak menimpanya. Semacam jika boleh diundur waktu, dia tidak akan melalui hal yang menyusahkan hidupnya itu.

Ada satu kisah pada zaman dahulu. Seorang peniaga susu naik kapal untuk ke Makkah. Dia membawa wang dalam uncang. Tiba-tiba seekor monyet melarikan uncang duit itu dan pergi ke tiang layar yang tinggi. Monyet itu membuang sekeping wang ke laut, dan sekeping lagi kepada peniaga itu. Sehinggalah (pembahagian wang) menyebabkan peniaga itu mendapat separuh daripada wangnya. Peniaga itu bertanya kepada seorang guru agama yang mengajar di atas kapal itu. Guru agama bertanya, “Dahulu engkau berniaga susu. Adakah engkau mencampurkan air dengan susu?” Peniaga itu menjawab, “Ya.” Guru agama itu membalas, “Wang untuk air dikembalikan kepada air (laut), dan wang susu dikembalikan kepada engkau.”

Ringkasan kuliah Subuh, 12 Disember 2009, Ust. Abd. Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul.

Kisah sahabat: Hakim bin Hizam

Hakim Bin Hizam Bin Khuwailid, seorang anak saudara kepada Khadijah radhiallahu ‘anha, isteri Rasulullah. Beliau hidup selama 120 tahun. Sebahagian hidup (60 tahun) dalam keadaan Jahiliyah dan 60 tahun dalam keadaan beriman. Ketika menang peperangan Hunain, nabi menyerahkan 100 ekor unta hasil ghanimah (rampasan perang). Selain beliau, ‘Amru Bin al-‘Asr dan Sufian al-Harbi juga mendapat habuan yang serupa.

Orang-orang yang tidak memperoleh harta yang begitu banyak mempertikaikan pembahagian itu. “Kenapa orang-orang Mekah yang kaya seperti mereka mendapatnya? Kenapa tidak kami?” Nabi menjawab, “Sesungguhnya aku terlebih kasih orang-orang yang tidak diberikan harta berbanding mereka yang diberikan harta. Aku melihat dalam hati mereka ada perasaan haloba.”


Hakim Bin Hizam meriwayatkan bahawa dia bertemu dengan nabi dan meminta bahagiannya. Lalu diberikan haknya. Kemudian dia berjumpa dan meminta lagi. Nabi pun memberikan bahagian yang dimohonnya. Suatu hari nabi mengatakan harta umpama sayur (segar bugar), sangat menarik minat sesiapa sahaja. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka Hakim bin Hizam pun bersumpah bahawa dia tidak akan meminta-minta lagi. Janji ini dipegangnya sehinggalah apabila Khalifah Abu Bakr dan Umar al-Khattab mahu memberikan peruntukan ghanimah, dia menolak pemberian itu.

Hakim bin Hizam adalah seorang saudagar yang kaya. Setiap kali musim haji, dia menyedekahkan 100 ekor unta. Suatu ketika dia mendapat Darul An-Nadwah sebagai pusaka lima ketrunan. Rumah ini menjadi kebanggaan kaum Quraisy di Makkah, iaitu harta yang diwarisi dari moyangnya bernama Kushoi. Dia menjual rumah itu dengan harga seratus ribu dinar. Wangnya diserahkan kepada umat Islam.


Rumusan: Kuliah Maghrib, 11 Disember 2009. Ustaz Hanafi Bin Abdul Rahman, Masjid al-Hidayah, Sentul.

Rabu, Disember 09, 2009

Biasiswa Khazanah Watan



Biasiswa Khazanah Watan ditawarkan kepada pelajar cemerlang dalam bidang berikut:

  1. Bio-Sains: Bioteknologi, Biokejuruteraan, Biokimia, Bioinformatik, Teknologi Makanan, Biologi Molekul (Molecular Biology)
  2. Perniagaan: Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Perundangan Sains Aktuarial
  3. Kejuruteraan: Nanoteknologi, Mikroelektronik, Elektronik, Sains Bahan.
  4. Atau mana-mana disiplin pengajian yang difikirkan relevan.


 

Syarat Umum

  1. CGPA 3.5 atau Kelas Dua Atas. (3.0 dan ke atas).
  2. Potensi kepimpinan dan aktif dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan atau kegiatan sukarela.

Peringkat Pengajian

  1. Ijazah Pertama
  2. Ijazah Kedua (Master).
  3. Ijazah Kedoktoran (PhD)

Pertanyaan Lanjut

Alamat surat menyurat:Yayasan Khazanah, Aras 33, Menara 2, Menara Berkembar Petronas, KLCC, 50088 Kuala Lumpur. /

            Yayasan Khazanah, Level 33, Tower 2, Petronas Twin Tower, KLCC, 50088 Kuala Lumpur.

Emel: yk[a]khazanah.com.my [sila tukar [a] kepada @ jika anda mahu menghubungi pihak berkenaan melalui emel]

Laman web: www.khazanah.com.my

Tel: 03-2034 0000 Fax: 03-2780 2064

Nota: Dalam brosur yang saya rujuk ini, tidak dinyatakan tarikh tutup permohonan.
 

Selasa, Disember 08, 2009

Apakah tujuan hidup yang sebenarnya?


Semalam waktu Maghrib, seorang lelaki bersandar pada tiang, tepi tangga masjid. Dengkur agak kuat. Kakinya comot hitam seperti dia menyapu debu jalanan. Ruang di dalam masjid sudah lama diam kecuali suara imam. Sudah ada orang menggoyang-goyangkan bahunya sebagai isyarat yang mengajaknya bersolat. Apabila selesai solat, sekonyong-konyong lelaki itu berjalan turun. Badannya hoyong-hayang seperti berdiri dalam perahu yang teroleng-oleng di gigi air. “Ah! Kenapa keras hatinya?” gumamku sendirian. “Malang sungguh menjadi manusia seperti itu.”

Dan demikianlah yang saya jumpa di Kuala Terengganu beberapa bulan dahulu. Kalau tidak silap saya pada akhir tahun 2007. Saya catatkan dalam sebuah puisi berjudul Anehnya mereka.


Tika mentari tegak memanah bumi,
jubin dan rusuk bersatu,
dengkur mereka dengan aman.


Sesekali tangan berkalih dari dahi,
sesekali badan dibolak-balik,
enak melayan mimpi.


Imam tua menanggalkan sepatu,
disimpan dalam almari berkunci,
"Nak, sudah Zohor!" Serunya keras.


Mereka bangun mamai
membelek pakaian yang kusut,
menggeliat sepuasnya
mata terpisat-pisat


Sangkaku
mereka akan menyambut
seruan di atas kepala
"Anehnya mereka."



Cerita yang dirakam berkisah tentang anak muda tanpa pekerjaan. Kelihatan sosok mereka seperti penagih dadah. Itu halnya dengan mereka. Saya ada berbicara dengan rakan-rakan betapa banyak orang yang sempurna akalnya, memiliki kelulusan akademik yang tinggi, kerjaya hebat, gaji beribu-ribu. Pun begitu mereka juga tidak bersolat. Saya pernah bertanya, "Apakah tujuan hidup kita?" "Apakah kita hanya mencari kerja untuk sesuap nasi tanpa menunjukkan rasa syukur kepada-Nya?"
Kalau begitu, kita tidak lebih baiknya daripada seekor lembu atau haiwan ternakan. Baik dari segi pertimbangan manusia, tetapi di sisi-Nya lebih teruk daripada haiwan ternakan. Pengetua saya Cikgu Hj. Sidi Omar pernah mengingatkan pelajar-pelajar darihal manusia haiwan ini. Dia sering kali menukilkan sepotong ayat al-Quran yang mengungkapkan penghuni Jahannam itu terdiri daripada manusia. Apakah ciri-ciri manusia itu? Mereka diberi hati, tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat Allah. Mereka diberi telinga, tetapi tidak mahu mendengar peringatan-peringatan agama. Mereka diberi mata, tetapi tidak mahu melihat kekuasaan Allah. Mereka itulah orang yang sesat bahkan lebih teruk daripada haiwan ternak.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang lalai. Gapailah dunia untuk bekalan akhirat.

Ahad, Disember 06, 2009

Perlumbaan



Sumber: Brudzmarketing.Com


Pernah suatu ketika dalam sebuah perlumbaan. Dua orang yang berlumba saling mencabar. A dan B tidak pernah mahu mengalah. Cabar-mencabar itu melibatkan maruah. Menang bermakna kemegahan dan penghormatan. Kalah bermakna kehinaan dan rasa kecil pada persepsi orang lain. Oleh sebab itu, setiap diri mahu jadi yang terbaik. Suatu ketika, orang penting yang menyebelahi A berkata pada B, “A sudah teramat lemah.”

Ada dua maksud yang perlu diteliti di sebalik kenyataan penyokong A. Pertama, barangkali betul telahannya. Hal ini akan memberi kekuatan kepada B untuk meyakini kemenangannya. Kedua, barangkali pendapatnya itu serkap jarang. Maka B akan leka dengan kelemahan A tanpa meningkatkan usahanya. Perlumbaan yang saksama akan lebih menarik jika B tidak memandang kecil terhadap A, malah menganggap pendapat penyokong A sebagai bonus. Manakala A pula cuba sedaya membaiki kelemahannya. Kenyataan terbuka penyokong A tidak boleh dianggap sebagai kekuatan baru jika tidak diperkemas langkah. Masing-masing perlu mengorak langkah ke hadapan. Bermakna terus-menerus berusaha untuk mencapai matlamat akhir masing-masing. Inilah yang ideal tidak pernah berlaku dalam dunia sebenar.



Sumber: CartoonStock.Com

Apakah realitinya? Tidak pernah ada istilah menang-menang. Simbiosis yang sebenar-sebenarnya hanya berlaku dalam ekologi alam haiwan. Umpama gembala kerbau menumpang kerbau. Burung itu mendapat makanan berupa angau (pepiras) yang ada di badan kerbau. Menang-menang akan wujud dalam alam manusia jika persaingan dijalankan atas dasar keikhlasan yang mutlak. Masakan tidak? Bolehkah manusia dengan cara fikir berbeza memperjuangkan sesuatu secara bersama? Meski titik akhirnya adalah untuk kesejahteraan. Tetapi saya tidak cuba menyatakan sekadar keikhlasan semata-mata tanpa melihat kepada dasarnya. Apakah dasar yang lebih tinggi dari Islam?

Sabtu, Disember 05, 2009

Adab azan dan iqamat

Hadis dari Jabir Bin Abdillah menyatakan adab-adab azan dan iqamat, iaitu hendaklah dilaungkan azan itu lambat-lambat. Manakala lafaz iqamat disebut secara cepat. Dan antara azan dan iqamah itu hendaklah yang makan selesai makannya, yang minum siap minumnya dan yang qadha hajat sudah qadha hajatnya. Dinyatakan bahawa Bilal hanya iqamat setelah melihat nabi keluar dari rumahnya. Rumah nabi bersebelahan dengan masjid.


Menurut pengarang kitab Bahrul Mazi, Sheikh Idris al-Marbawi, hadis ini mengingatkan kita bahawa menjadi sunnah nabi bahawa azan dan iqamat dijarakkan seketika. Tidak boleh melakukan kedua-duanya berturut-turut.
Satu lagi hadis diriwayatkan oleh Jabir Bin Samurah, iaitu apabila Bilal azan dia menghalakan wajahnya ke sana dan ke sana yakni ketika menyebut lafaz haiyya 'ala al-Shalaah (ke kanan), dan haiyya ‘ala al-Falaah (ke kiri). Bilal meletakkan jari telunjuk ke dalam telinga.


Suatu hari Ziyad Bin Sudad mengalunkan azan. Tiba-tiba apabila melihat nabi keluar, Bilal Bin Rabah hendak iqamat. Maka nabi memberitahu Bilal Bin Rabah agar Ziyad bangun untuk iqamat. Demikianlah beberapa adab atau haq seorang bilal. Seorang bilal mengalunkan azan dan iqamat. Adalah tidak mengapa jika ada maslahat sehingga memaksa bilal mengalunkan azan sedangkan orang lain pula iqamat. Manakala hak menentukan waktu iqamat terletak pada persetujuan imam. Tetapi hak melaunkan azan berada pada bilal sepenuhnya.


Muazzin hendaklah dalam keadaan berwuduk. Imam Syafie menegaskan hal ini. Tetapi Imam Malik, Imam Ishak Bin Rawahah dan Imam Sufian Ats-Tsauri mengatakan tidak mengapa jika muazzin melaungkan azan dalam keadaan tidak berwuduk.


(Rumusan Kuliah Maghrib, Ust. Raihan Bin Abdul Aziz, 04 Dis 2009. Masjid al-Hidayah, Sentul, Kitab Bahrul Mazi, Sheikh Idris al-Marbawi)

Khamis, Disember 03, 2009

Bicara soal cukai

Secara rasmi tarikh 29 November 2009, pengumuman pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tetapi belum dikeluarkan angka yang konkrit.(Ralat: Pada 26 Nov 2009, Utusan melaporkan kadar GST sebanyak empat peratus)-diedit pada jam 11.50 pm, 03 Dis 09. Apakah yang dimaksudkan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan? Menurut Behan & Jenkins, GST merupakan cukai tidak langsung (indirect tax) yang juga dikenal sebagai Cukai Tambah Nilai (VAT). (Behan & Jenkins dalam Abood Mohammad Salmeen Alebel,Business e-Bulletin Vol. 1, Issue 1, 55)[1].


Ketika sesi soal jawab dengan Pengarah Urusan (CEO) syarikat, saya melontar satu soalan. "Apakah pengumuman pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan memberi kesan kepada pulangan dan kos operasi syarikat?" Maka dijawabnya, "Mungkin tidak ketara kerana syarikat ini menjalankan perniagaan perkhidmatan. Cukai tersebut hanya memberi kesan langsung kepada sektor peruncitan."


Dato’ Abdul Kadir Jasin, CEO Berita Publishing menulis dalam weblog beliau bertajuk ‘Tidak ada cukai yang tidak membebankan’[2] memberi penegasan bahawa kerajaan tidak boleh teragak-agak melaksanakan dasar GST. Beliau mempersoalkan kenyataan akhbar Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang pada pendapat beliau tidak solid. Saya bersetuju apa yang ditulis oleh Dato’ Abdul Kadir Jasin itu. Soalan yang sama saya ajukan dalam ruangan perbincangan Forum Editor Malaysia di facebook. Seorang ahli forum memberi respon seperti ini. “Ini pertanyaan yang baik. Kalau ikutkan, sepatutnya kena. Walaupun begitu, kerajaan akan mengecualikan beberapa sektor tertentu untuk tidak menyusahkan rakyat. Saya fikir industri perbukuan perlu dikecualikan GST agar tidak membebankan rakyat.


Sekarangpun orang liat nak keluar duit untuk beli buku. GST pasti akan menggerhanakan industri perbukuan negara. Pada masa ini, kerajaan dilaporkan sedang mendapatkan input daripada pelbagai pihak. Sehubungan itu, saya rasa badan-badan perbukuan eloklah berkempen, melobi atau buat apa sahaja supaya GST tidak meliputi industri buku.” (Devaraj P Thangaraju)


Secara sedar atau tidak, pengguna yang gemar membeli makanan di restoran atau premis perniagaan makanan segera seperti KFC, Mc Donalds dan seumpamanya sudah menjadi pembayar cukai. Saya tidak pasti nilai terkini memandangkan saya tidak berkunjung ke premis perniagaan sebegini sejak sekian lama. Jika dilihat kepada situasi dunia, banyak negara mengenakan kadar antara tujuh hingga 25 peratus[3]. Jika benar GST akan dilaksanakan misalnya pada kadar empat peratus, bermakna nilai tambah perbelanjaan akan bertambah dan sudah tentu kuasa beli kebanyakan golongan terutama yang berpendapatan rendah semakin menyusut. Ada teori yang menyokong GST mengatakan bahawa kadar inflasi tidak terjejas, dan jika berlaku kenaikan harga barang, hal itu akan berlaku sekali sahaja. Bagaimana teori ini boleh meyakinkan pengguna? Apakah secara amali, hal ini akan berlaku?


Pelaksanaan GST mempunyai cabaran tersendiri termasuklah untuk memahamkan orang biasa terhadapnya. Kebarangkalian berlaku penipuan untuk menaikkan harga barang akan berlaku dengan hanya berkata, “Harga ini termasuk nilai GST.” Perlu juga dikecualikan beberapa perkara (produk kesihatan, makanan, pendidikan, produk untuk OKU dan tenaga misalnya) yang akan memberi kesan langsung kepada semua golongan lebih-lebih lagi yang marhaen. Ya, sudah pasti akauntan juga mengambil masa untuk meneliti struktur akaun GST (GST account)[4]. Dan itu belum lagi melibatkan sistem penyelesaian eletronik untuk diaplikasi dalam mesin-mesin di kaunter jualan. Dan masanya masih ‘panjang’ sebelum GST betul-betul dilaksanakan di Malaysia paling awal pada Ogos atau September 2011. Tetapi secara peribadi, adalah elok jika GST ini tidak dilaksanakan.


-------
Rujukan
[1]Problems and effects of GST implementation, Abood Mohammad Salmeen Alebel, UUM.
[2]Tidak ada cukai yang tidak membebankan
[3]Senarai kadar GST Seluruh Dunia
[4]GST Accounting
[5]Model (kerangka) GST di India

Rabu, Disember 02, 2009

Wajah kepengaranganku dalam majalah.

Salam, alhamdulillah.
Pertama kali wajah kepengarangan (dengan kupasan dan isi berbeza) telah diterbitkan dalam Majalah Sastera.Net Bil 7.

Dan di bawah ini yang terbaharu. -:)


Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas. Terima kasih kepada Penolong Editor TC, dan seorang rakan yang merekomenkannya.

Siapa mahu belajar di USM?

Salam,

Saya terima emel ini daripada sekateriat program.

Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas.
Sesiapa yang berminat mengetahui ruang pendidikan di USM bolehlah hadir.

Selasa, Disember 01, 2009

Resensi Kerana Cinta Harus Memilih



Judul: Kerana Cinta Harus Memilih
Penulis: Burhan Sodiq.
Penerbit: Kemilau Publika Sdn. Bhd.
Penterjemah: Pyanhabib
ISBN: 978-983-44746-8-3


Menginjak usia remaja adalah suatu hal yang mengujakan. Naluri untuk disayangi dan menyayangi berkembang mekar. Dimensi kehidupan mula terarah dalam satu daerah yang lebih mendalam berkaitan emosi dan hati. Jika kecil, kanak-kanak hanya mendambakan kash sayang orang di sekeliling tanpa mengerti malah tidak pun sedar apa itu cinta? Justeru kadang-kadang remaja yang terikut-ikut dengan budaya yang sudah mudah sahaja mengalah kepada persoalan cinta. Mereka dambakan dunia dengan keindahan dan mula mencipta tanggapan yang salah tentang cinta. Apakah cinta sekadar memenuhi kepuasan? Apakah dengan bercinta secara automatik akan membuahkan kebahagiaan? Apakah dengan bercinta seawal remaja memberi kebaikan? Antara cinta dengan pelajaran, manakah yang lebih utama?


Persoalan berkaitan cinta, persepsi, keutamaan, konsep dan pelbagai lagi hal yang menarik dikupas secara bersahaja dalam buku Kerana Cinta Harus Memilih. Gaya persembahannya tidak terlalu akademik atau klise seperti buku-buku motivasi yang biasa anda baca. Buku karangan asal Burhan Sodiq (versi Indonesia) ini mendapat sentuhan penterjemah/editor Pyanhabib, tidak sukar untuk difahami. Menjadi naluri remaja alam persekolahan tertarik dengan mana-mana kenalan sehingga mengabaikan sisi akademik. Malah ada yang lebih tragis, cinta menghancurmusnahkan kehidupan. Umpama fatamorgana di padang pasir, cinta yang didambakan hanyalah ilusi. Bahagia yang dicari rupa-rupanya lembah derita.


Justeru apakah fokus kehidupan yang lebih penting? Panduan menangani cinta dalam buku kecil ini membawa pembaca menilai semula cinta menggunakan neraca agama. "Kerana CInta Harus Memilih engingatkan remaja bahawa: Kita hanya punya satu cinta iaitu cinta yang mendekatkan kita kepada Tuhan. Kita yang memilih untuk tidak mahu menangis setelah dipermainkan cinta duniawi, berbahagialah. Seburuk apa pun masa lalu kita, kalau hari ini kita benar-benar bertaubat dan memperbaik diri, insya-Allah semua keburukan akan terhapus. Hari ini adalah hari untuk menanam benih dan masa depan adalah waktu menuai hasil. Kerana itu, jika kita ingin tahu masa depan kita, maka lihatlah apa yang kita lakukan sekarang." (petikan penterjemah, kulit belakang).


Buku ini sesuai dibaca oleh remaja sebelum terjebak dalam kancah cinta yang mungkin menggelapkan masa depan mereka.