Selasa, Disember 08, 2009

Apakah tujuan hidup yang sebenarnya?


Semalam waktu Maghrib, seorang lelaki bersandar pada tiang, tepi tangga masjid. Dengkur agak kuat. Kakinya comot hitam seperti dia menyapu debu jalanan. Ruang di dalam masjid sudah lama diam kecuali suara imam. Sudah ada orang menggoyang-goyangkan bahunya sebagai isyarat yang mengajaknya bersolat. Apabila selesai solat, sekonyong-konyong lelaki itu berjalan turun. Badannya hoyong-hayang seperti berdiri dalam perahu yang teroleng-oleng di gigi air. “Ah! Kenapa keras hatinya?” gumamku sendirian. “Malang sungguh menjadi manusia seperti itu.”

Dan demikianlah yang saya jumpa di Kuala Terengganu beberapa bulan dahulu. Kalau tidak silap saya pada akhir tahun 2007. Saya catatkan dalam sebuah puisi berjudul Anehnya mereka.


Tika mentari tegak memanah bumi,
jubin dan rusuk bersatu,
dengkur mereka dengan aman.


Sesekali tangan berkalih dari dahi,
sesekali badan dibolak-balik,
enak melayan mimpi.


Imam tua menanggalkan sepatu,
disimpan dalam almari berkunci,
"Nak, sudah Zohor!" Serunya keras.


Mereka bangun mamai
membelek pakaian yang kusut,
menggeliat sepuasnya
mata terpisat-pisat


Sangkaku
mereka akan menyambut
seruan di atas kepala
"Anehnya mereka."



Cerita yang dirakam berkisah tentang anak muda tanpa pekerjaan. Kelihatan sosok mereka seperti penagih dadah. Itu halnya dengan mereka. Saya ada berbicara dengan rakan-rakan betapa banyak orang yang sempurna akalnya, memiliki kelulusan akademik yang tinggi, kerjaya hebat, gaji beribu-ribu. Pun begitu mereka juga tidak bersolat. Saya pernah bertanya, "Apakah tujuan hidup kita?" "Apakah kita hanya mencari kerja untuk sesuap nasi tanpa menunjukkan rasa syukur kepada-Nya?"
Kalau begitu, kita tidak lebih baiknya daripada seekor lembu atau haiwan ternakan. Baik dari segi pertimbangan manusia, tetapi di sisi-Nya lebih teruk daripada haiwan ternakan. Pengetua saya Cikgu Hj. Sidi Omar pernah mengingatkan pelajar-pelajar darihal manusia haiwan ini. Dia sering kali menukilkan sepotong ayat al-Quran yang mengungkapkan penghuni Jahannam itu terdiri daripada manusia. Apakah ciri-ciri manusia itu? Mereka diberi hati, tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat Allah. Mereka diberi telinga, tetapi tidak mahu mendengar peringatan-peringatan agama. Mereka diberi mata, tetapi tidak mahu melihat kekuasaan Allah. Mereka itulah orang yang sesat bahkan lebih teruk daripada haiwan ternak.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang lalai. Gapailah dunia untuk bekalan akhirat.

1 ulasan:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

firman allah dalam surah adz-zariyat ayat 56 maksudnya, "tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku". dah jelas tujuan allah jadikan kita dia atas muka bumi yang fana nie hanya untuk beribadah kepada allah s.w.t. ape jua yang kita lakukan dikira sebagai ibadah jika ia bertujuan untuk mendapatkan keredhaannya.. wallahua'lam.. =)