Sabtu, Disember 05, 2009

Adab azan dan iqamat

Hadis dari Jabir Bin Abdillah menyatakan adab-adab azan dan iqamat, iaitu hendaklah dilaungkan azan itu lambat-lambat. Manakala lafaz iqamat disebut secara cepat. Dan antara azan dan iqamah itu hendaklah yang makan selesai makannya, yang minum siap minumnya dan yang qadha hajat sudah qadha hajatnya. Dinyatakan bahawa Bilal hanya iqamat setelah melihat nabi keluar dari rumahnya. Rumah nabi bersebelahan dengan masjid.


Menurut pengarang kitab Bahrul Mazi, Sheikh Idris al-Marbawi, hadis ini mengingatkan kita bahawa menjadi sunnah nabi bahawa azan dan iqamat dijarakkan seketika. Tidak boleh melakukan kedua-duanya berturut-turut.
Satu lagi hadis diriwayatkan oleh Jabir Bin Samurah, iaitu apabila Bilal azan dia menghalakan wajahnya ke sana dan ke sana yakni ketika menyebut lafaz haiyya 'ala al-Shalaah (ke kanan), dan haiyya ‘ala al-Falaah (ke kiri). Bilal meletakkan jari telunjuk ke dalam telinga.


Suatu hari Ziyad Bin Sudad mengalunkan azan. Tiba-tiba apabila melihat nabi keluar, Bilal Bin Rabah hendak iqamat. Maka nabi memberitahu Bilal Bin Rabah agar Ziyad bangun untuk iqamat. Demikianlah beberapa adab atau haq seorang bilal. Seorang bilal mengalunkan azan dan iqamat. Adalah tidak mengapa jika ada maslahat sehingga memaksa bilal mengalunkan azan sedangkan orang lain pula iqamat. Manakala hak menentukan waktu iqamat terletak pada persetujuan imam. Tetapi hak melaunkan azan berada pada bilal sepenuhnya.


Muazzin hendaklah dalam keadaan berwuduk. Imam Syafie menegaskan hal ini. Tetapi Imam Malik, Imam Ishak Bin Rawahah dan Imam Sufian Ats-Tsauri mengatakan tidak mengapa jika muazzin melaungkan azan dalam keadaan tidak berwuduk.


(Rumusan Kuliah Maghrib, Ust. Raihan Bin Abdul Aziz, 04 Dis 2009. Masjid al-Hidayah, Sentul, Kitab Bahrul Mazi, Sheikh Idris al-Marbawi)

2 ulasan:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

yang menjadi masalah bile muazzin melaungkan azan n iqamat tidak mengikut tajwid yang betul.. yang sepatut didengungkan, x didengungkan n laen2.. =)

Naim berkata...

dalam bab dengung, anda betul.

Satu tambahan, untuk azan, harakatnya tidaklah setakat tiga alif seperti dlm dlm ilmu tajwid.

Kalau tidak, tidak adalah muazzin lafaz panjang2 pada kalimah ash-sholaah dan al-falaah itu.