Gambar di atas diambil di
sini
Lentera Mustika. Lentera bermaksud lampu (yang bertutup dengan kaca dan lain-lain).
Membaca buku ini sebetulnya memberi kesan tersendiri, banyak sisi ilmu yang dipermudahkan. Setidak-tidaknya saya ingat satu dua pantun yang ditulis di dalamnya. Tidak salah atau keterlaluan jika saya katakan karya ini bersifat evergreen. Gaya pengolahannya menarik di samping pembahagian bab demi bab yang penuh dengan kesinambungan dan kejutan. Pastinya mungkin inilah kelebihan sebuah novel yang ditulis secara bersiri dan dipersembahkan dalam majalah bulanan seperti Aniqah. Kisahnya berkait seorang pensyarah sastera Prof. Madya Ainur Mustika; seorang professional yang termasuk dalam kalangan andartu. Kisah cintanya diolah dengan tidak terlalu mengikut konsep naratif cinta biasa dalam novel popular atau novel cinta remaja.
Dia memang diminati oleh beberapa orang pemuda. Seorang rakan sejawat di sebuah uniersitas Indonesia Syed Amirul Hakim, Zul Farhan bekas pelajar dan Rozario, juga bekas pelajar. Suatu hari dia menemani Dahlia menguruskan urusan pembelian rumah. Sejak detik itulah dia mula mengenali Emir Johan. Lelaki ini sebenarnya seorang dua setelah kematian isterinya dalam kemalangan jalan raya. Dia mempunyai seorang anak susuan bernama Eli Jazlina atau E-jay. Kebetulan pula dia mempunyai minat yang mendalam terhadap sastera. Kesamaan citarasa ini menjadikan mereka dekat dan memiliki pemikiran yang sama terutama dalam bidang kesusasteraan. Ketika Ainur Mustika dan Badariah menyertai persidangan sastera antarabangsa di Beijing, Emir Johan menghulur bantuan kewangan sebagai sokongannya. Pun begitu, dia tidak sekali-kali mensyaratkan apa-apa sebagai imbal balas. Ainur Mustika menghadapi dilema, serba salah dibuatnya.
Saya tidak akan resensikan novel ini seperti biasa-biasa saya tulis untuk novel lain. Mengapa saya kata boleh mengingat satu pantun? Pertama sekali tentulah kerana ilmunya. Walau pun pantun itu ringkas, tetapi pembayangnya membuat saya tertanya-tanya. Ada satu pantun yang dicipta melibatkan pandan. Dan dikatakan pandan itu berduri. Ya, saya tidak pernah jumpa speasis pandan berduri, dan kerana itulah otak saya bergerak untuk mencari-cari benarkah ada satu speasis pandan berduri? Bukan sekadar pandan itu sebetulnya, tetapi dua baris terakhir dalam rangkap pantun itu yang masuk ke dalam diri.
Hendaklah baik memilih pandan,
Di dalam pandan ada duri,
Hendaklah baik membela badan,
Di dalam badan ada diri.
Novel ini boleh dikelaskan sebagai novel Islami kerana pendekatannya. Dalam memperihalkan perhubungan antara Ainur Mustika dengan lelaki-lelaki yang meminatinya, digarap dengan penuh santun. Malahan ada juga penyelesaian mengikut kaedah Islam yang dititipkan seperti persoalan walimah, wasiat, harta sepencarian, hibah dan pusaka. Benarlah jika dikatakan tema berat dan besar telah berjaya diketengahkan dengan baik, ringkas dan mudah difahami.
Selain daripada itu, terdapat satu lagi tema penting yang dimasukkan dalam Lentera Mustika ini. Memang kebanyakan daripada kita tidak peka terhadapnya. Namun begitu, di tangan bekas peguam ini perkara itu dirungkai dengan baik sekali. Sisi perundangan yang ditekankan dalam novel ini mengajak pembaca memahami aspek harta intelek untuk karya khususnya karya tradisional. Jarang-jarang penulis mengangkat persoalan ini di mana-mana. Sehingga sedikit persoalan yang dibangkitkan ini, menggerakkan pula minda saya mendapatkan sebuah lagi buku yang menghurai dengan panjang lebar tentang hak cipta.
Berbalik kepada jalan cerita novel ini, akhirnya Ainur Mustika berkahwin dengan Emir Johan. Tetapi pengakhirannya tergantung pada detik mereka mengecapi kebahagian yang dikejutkan dengan berita penyakit Emir Johan. Penulis tidak menggantung keadaan itu di sini. Bagi saya tidak ada masalah kerana beberapa hal yang ingin disampaikan sudah berjaya masuk ke dalam pemikiran pembaca. Kebergantungan itu boleh jadi sebagai titik yang mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi dalam novel lain pula. Kemungkinan juga, akan terdapat kembar kepada novel ini yang akan membincangkan persoalan kehidupan ibu tunggal. Misalnya.
Dan sekali lagi saya tegaskan, karya ini layak dikelaskan sebagai karya evergreen dan tidak sia-sia anda memilikinya.