Rabu, Januari 26, 2011
Tulis blog pun kena lesen?
----------
Alahai kerajaan.
*Kredit pada ZUNAR untuk mesej asal beliau.
Al-Quran Online
Laman web Quran Explorer (http://quranexplorer.com/quran/) menyediakan kemudahan capaian ayat al-Quran secara online. Ia dilengkapkan alat bantu dengar (audio) ayat al-Quran oleh sepuluh (10) orang pembaca - Abdul Baasit, As-Sudays Shraym, Khalil Husari, Mahmood al-Bana, Mishari-Rashid, Saad al-Ghamdi, Salah Bukhatir, Sheikh Ahmed Ajmi, Sheikh Minshawi dan Sheikh Al-Huzaifi. Manakala bahasa terjemahan yang disediakan lapan bahasa termasuk Bahasa Melayu (Malaysia), bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris, Belanda, Perancis, Turki, Urdu. Dua bahasa terjemahan beraudio iaitu bahasa Inggeris dan Urdu.
Dari segi tulisan, pengguna boleh memilih skrip resam Uthmani atau Indonesia Pakistan. Ikon CD antara butang terjemahan dan audio diguna sebagai mengaktif panduan tajwid. Dari segi qiraat, laman ini khusus untuk Qiraat Hafsh iaitu bacaan yang biasa kita dengar dan praktikkan di Malaysia. Kita mempunyai dua pilihan sama ada mahu membaca sendiri atau jika tidak pasti untuk menyebut kalimah tertentu, bolehlah diaktifkan butang audio player di penjuru kiri bawah. Paparan terbaik laman web ini adalah Internet Explorer.
Selasa, Januari 25, 2011
PKR wajar bertanding dalam PRK MERLIMAU
Dalam keadaan sekarang yakni ketibaan PRU-13 yang semakin hampir, pada pendapat saya PAS tidak perlu berpegang pada status quo untuk bertanding di DUN Merlimau. Kalau disorot kepada pusingan mengundi sebelum ini, PAS meletakkan calon pada tahun 1999 dan 2008, manakala PKR mengambil bahagian pada 2004. Bermakna untuk giliran seterusnya tentulah PKR. Tetapi jika PAS mahu meletakkan calon juga, adakah nanti akan memuaskan PAS sendiri jika ditakdirkan menang untuk berkhidmat dalam masa yang sangat terbatas? Lainlah jika pada pusingan seterusnya (PRU-13), PKR dengan rela hati melupakan giliran yang telah disusun dengan baik. Ini kalau bercakap sebagai orang menang.
Apakah kewajaran meletakkan calon PKR di Merlimau? Pada pendapat saya, meletakkan calon PKR di Merlimau dalam situasi sekarang samalah seperti membuat ‘pemasaran’ awal untuk menguji selera pengundi di Melaka khususnya di Merlimau. Strategi ini baik untuk menilai sejauh mana penerimaan orang Melaka terhadap Pakatan Rakyat melalui PKR. Umum sudah maklum, PR diterima di Melaka dengan hampir keseluruhannya disapu bersih oleh DAP (lima daripada lapan yang ditandingi) di kawasan tepu Cina. PAS dan PKR tidak menang sebarang kerusi meskipun masing-masing meletakkan calon sebanyak 13 dan tujuh orang.
Sepatutnya dia menyambut tahun baru
Lima belas kemudian kawan saya balik dan saya bertanya, "Siapa mati?"
"Wanita Cina umur 40-an."
Saya ada esemes perkara ini pada seorang kawan saya yang bertugas di sebuah akhbar. Mungkin dalam sehari dua ini cerita itu akan disiar dalam akhbar tabloid.
Projek penulisan percuma
Maklumat lanjut:
Sila Copy & Paste alamat URL ini.
Capaian terus koleksi fiksyen sains CAKERAWALA 2 di sini.
Isnin, Januari 24, 2011
Sistem peringatan
Sistem peringatan. Sistem yang dibuat membolehkan kita diingatkan beberapa perkara. Paling dekat dengan kita ialah jam loceng. Sebelum menggunakan telefon bimbit, kita menggunakan jam loceng. Setiap pagi, tidur akan dikejutkan deringan loceng. Hanya ketika terlalu letih sahaja kita tidak sedar tangan kita ringan mematikan deringan itu. Orang Melayu tradisional yang tidak pernah menggunakan jam loceng biasanya dikejutkan kokokan ayam. Maha Suci Allah, DIA mengilhamkan kepada makhluk ini untuk berzikir. Kokokan ayam menandakan ada malaikat dan biasanya berlaku ketika hampir Subuh. Maka orang Melayu tradisional memanfaatkan kesempatan ini untuk bangun setiap malam. Bagi mereka yang tidak menggunakan mana-mana kaedah di atas, mereka biasanya mengamalkan bacaan ayat 110 surah al-Kahfi. Apabila sampai kepada frasa ‘fal ya’mal ‘amalan sholihaa..’ mereka berhenti sejenak dan menanam niat untuk bangun pada sekian-sekian jam. Setelah berniat, mereka menghabiskan ayat tersebut.
Apabila saya dikenakan dua saman ekor tahun lepas, baharulah saya sedar kadang-kadang kita tetap mahu melanggar peringatan. Sikap gelojoh akhirnya merugikan diri. Dalam banyak hal kita sedar di bahu jalan ada tanda jalan 80 km/j atau 110 km/j atau Awas! Kurangkan kelajuan. Tetapi kita tetap melangkau batasan tersebut. Samalah seperti cerita kanak-kanak yang kita pernah baca. Seekor monyet apabila melihat lada, ia sangat teruja. Meski diingatkan lada itu pedas, monyet tidak mempedulikannya. Akhirnya monyet tahu makna nasihat yang diberi kepadanya. Kasihan. Tentu sahaja saya terkejut melihat dua saman sekali gus. RM600.00. Maka saya mula berfikir alangkah baik kalau saya mendapat peringatan lebih awal (yang sudah terlewat) sekurang-kurangnya ketika saya mula-mula dikenakan saman ekor. Datang dua saman ekor serentak memanglah memeritkan. Jika notis saman ekor yang pertama datang dahulu, saya fikir (dalam keadaan saya) tidak mungkin saman kali kedua dikenakan. Kita akan beringat seperti mana budaya orang-orang Arab; tidakkan jatuh ke lubang ular yang sama dua kali.
Oleh sebab pengurusan berkaitan kerajaan kurang cekap di samping keupayaan penyampaian khidmat yang terbatas, sebahagian perkhidmatan diserah kepada pihak swasta. Semua pihak maklum hal ini menerusi Dasar Penswastaan. Hari ini Myeg diberi peluang menguruskan sebahagian kaunter agensi kerajaan. Kalau tidak silap saya, ada 12 kaunter. Salah satunya saman polis. Saya mendaftar sebagai pengguna di laman web Myeg (www.myeg.com.my) bagi memudahkan saya menyemak status saman secara berkala. Saya menguruskan pembaharuan cukai kenderaan melalui Myeg dan siap dalam masa dua hari. Semua bayaran dibuat secara online. Dan hari ini status saman akan dimaklum secara automatik secara percuma melalui emel. Tetapi jika anda lebih kaya, bolehlah memilih opsyen SMS.
Sistem peringatan yang dibangunkan oleh manusia kadang-kadang tidak tepat. Buktinya sistem amaran awal puting beliung di AS, dalam kes Katrina. Kegagalan sistem disebabkan kelajuan angin melebihi meter angin yang dipasang sehingga digelar sebagai aftermath hurricane. Ribut ini melanda AS pada 2005 melibatkan kerugian USD81 bilion. Kelajuannya 280 km per jam. Angin bermula di Bahamas, Utara Florida dan berakhir di Utara Amerika dalam masa sembilan hari bermula 23 ogos sehingga 31 Ogos 2005. Bencana ini meragut 1836 nyawa.
Sabtu, Januari 22, 2011
Jumaat, Januari 21, 2011
Dapatan Wacana Industri Lakon
Sutradara Erma Fatima tidak dapat hadir. Khabarnya dikejarkan ke hospital kerana keracunan makanan. Dua panelis lagi hadir. Dr. Muhaimin Sulam memenangi Tempat Pertama Skrip Drama TV IKIM 2006 yang berjudul Menanti Perang Berakhir. Wang kemenangan RM20000 diguna untuk membiayai perjalanan beliau ke UK sebagai melengkapkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD). Seorang kolumnis Harakah dan aktivis PAS. Ustaz Jazlan Othman seorang pensyarah yang juga Ketua Ulama Muda UMNO (ILMU). Di samping itu saudara Jef Hazimin Jaafar turut serta dan diberi ruang menyuarakan pandangan golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang seni lakon.
Ustaz Jazlan memulakan perbincangan dengan menyatakan perkara-perkara yang dilarang dalam lakonan iaitu:
• Melakonkan watak nabi atau sahabat baginda yang soleh.
• Melakonkan watak syaitan
• Melakonkan ibadah-ibadah khusus
• Melakonkan binatang
• Berlakon sebagai jantina yang berlawanan iaitu lelaki berlakon sebagai perempuan, begitu juga sebaliknya.
Dalam industri perfileman, dengan 99 buah pawagam seluruh negara kira-kira RM6.0 bilion volum pasarannya pada tahun 2010. Kutipan filem sepanjang tahun lalu RM460.6 juta. Daripada jumlah itu, filem tempatan hanya 32 buah dengan kutipan kasar RM64.16 juta. Selebihnya filem yang diimport.
Mengikut Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) filem ditafsirkan sebagai keseluruhan atau apa-apa bahagian:
(i) sesuatu filem sinematografi; dan
(ii) sesuatu pita video, disket, cakera laser, cakera padat, cakera keras dan rekod lain; yang asal atau pendua bagi suatu urutan imej gambar tampak, yang merupakan suatu rekod yang dapat digunakan sebagai suatu cara untuk menunjukkan urutan itu sebagai suatu gambar bergerak, sama ada atau tidak diiringi dengan bunyi.
Jika dikaji Garis Panduan Penafisan filem, sebenarnya belakangan ini banyak perkara yang digariskan tidak dipatuhi. Tiada penguatkuasaan seperti yang digariskan. Di mana silapnya?
Saya petik beberapa panduan yang dilarang, antaranya
(vii) filem khayalan yang mengandungi unsur seks dan keganasan yang keterlaluan.
(viii) filem bertema hantu yang terlampau menyeramkan, yang melakukan keganasan terhadap manusia dan alam.
(ix) pemujaan kuasa hantu sebagai melebihi kuasa Tuhan.
(x) memperlekeh dan mempersenda gaya hidup orang kurang upaya, atau golongan kurang bernasib baik atau golongan terpinggir;
(xi) dialog, adegan atau babak perbuatan keji, tingkah laku biadab, perbuatan tercela dan perlakuan kurang sopan digambarkan sebagai satu amalan biasa atau bahan ketawa;
(xii) bahasa kesat, lucah, bahasa bercampur aduk (rojak), ungkapan bernada kebencian atau ejaan yang tidak sempurna seperti bahasa SMS;
Sumber
Kembali kepada perbincangan forum, apabila ditanya apakah ada usaha dibuat sebagai garis panduan kepada pengarah filem, krew dan artis supaya mengikut aliran agama (shariah compliance) dalam sesebuah filem? ILMU setakat ini tidak mempunyai garis panduan seperti itu. Dari segi pengarahan, tidak ramai pengarah drama tivi atau filem yang betul-betul mematuhi syariah. Di Malaysia, Zabidi Mohamad dan Abu Hassan Morad adalah antara individu yang mempunyai disiplin kerja mengikut amalan Islam. Hanya akhir-akhir ini muncul beberapa nama baharu yang mula berjinak-jinak ke arah itu.
Timbul juga dilema daripada keadaan ini. Kadang-kadang penulis skrip sudah menyediakan bahan yang baik, malangnya rosak apabila ditangani pengarah filem yang tidak memahami atau tidak berminat dengan karya Islam. Masalah yang berlaku di Malaysia menurut Dr. Muhaimin Sulam ialah filem diguna sebagai bahan propaganda. (Ini saya tambah: Mengapa dilakonkan watak-watak agamawan itu mesti begitu begini seolah-olah mahu memperlihatkan satu golongan itu tidak betul pegangan Islamnya, jumud atau ekstrem? Dan ini tentulah menjadi persepsi umum yang salah terhadap sesuatu pihak. Hal ini disebabkan pengaruh politik yang menjadi agenda dalam sesebuah drama atau filem.)
Khamis, Januari 20, 2011
Melupuskan akaun facebook secara kekal
Wacana dunia orang seni di masjid
WACANA “INDUSTRI LAKONAN DAN DUNIA ARTIS MENURUT ISLAM”
20 JANUARI 2011
DEWAN MASJID SAIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ, BANGSAR
Sekretariat Pemuda, Persatuan Ulama’ Malaysia akan menganjurkan satu Wacana Ilmiah “Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam”.
Wacana ini akan membariskan panelis terdiri daripada karyawan antaranya:
- Dr. Muhaimin Sulam
- Ustaz Fadlan Mohd Othman
- Sutradara Erma Fatima
Wacana ini akan berlangsung pada waktu berikut:
Tarikh: 20 Januari 2011 (Khamis)
Masa: 9.00 malam
Tempat: Dewan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur
Untuk keterangan lanjut hubungi 013-2968703. Masuk percuma. Terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Insya-Allah, sama-sama kita manfaatkan peluang ini.
Tiga jenis dosa
Imam al-Ghazali dalam kitab Minhaj al-‘Abidin mengatakan dosa terbahagi tiga.
1. Dosa dengan Allah iaitu meninggal perkara wajib.
2. Dosa dengan Allah iaitu melakukan perkara haram.
3. Dosa sesama manusia.
Apakah cukup dengan beristighfar sebagai tanda taubat? Kata imam al-Ghazali, “Dosa meninggalkan perkara wajib adalah menggantikan (qadha’). Umpamanya meninggalkan solat atau puasa.”
Manakala dosa melakukan perkara haram ialah menginsafi, meninggal dan menggantikan dengan yang baik. Sementara dosa yang berkait dengan manusia lain, hendaklah dimohon kemaafan atau dikembalikan hak manusia tersebut sebelum memohon keampunan Allah.
-#-#
Nota kuliah Subuh, 20 Jan 2011, Ust. Yasir Salleh, Masjid al-Hidayah Sentul, KL.
Rabu, Januari 19, 2011
Evolusi kereta di Terengganu.
Kajian mengenai pembinaan landasan baru keretapi dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri Pantai Timur dijangka siap pada Mac ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kajian mengenai laluan Lembah Klang-Mentakab-Kuantan-Kuala Terengganu-Tumpat itu, yang dijalankan oleh sebuah syarikat perunding sejak Disember 2009 dan sepatutnya siap setahun kemudian, dilanjutkan sehingga Mac tahun ini memandangkan terdapat beberapa aspek yang masih perlu dikaji semula dengan lebih teliti termasuk aspek ekonomi dan kewangan.
Laporan dipetik dari Malaysiakini, 19 Jan 2011.
Evolusinya (di Terengganu) begini; Sebelum 2012 - Kereta Lipan. Selepas 2012 - Keretapi.
Perbincangan darihal payu dara terbabas dari akhlak Islam
Hari ini heboh rasa tidak senang massa terhadap penyiaran cakap-cakap tivi menerusi rancangan Wanita Hari Ini (WHI). Siri WHI berkisar kewajaran membesarkan payu dara (PD) mengundang polemik terutama agamawan. Tetapi malangnya pihak penerbit mempertahan hak penyiaran dengan alasan sesuai dengan peredaran zaman.
Kita semua maklum, PD termasuk dalam kategori aurat dan simbol seks seorang wanita. Ada perintah khusus dari Allah kepada wanita agar menutup keseluruhan tubuh (termasuk PD) mereka dengan melabuhkan tudung. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud, “Wahai nabi (Muhammad), Wahai suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Sebab turun ayat ini boleh dirujuk di sini.
Apabila PD dikategorikan aurat dan wajib pula ditutup dari pandangan umum, tentulah perbincangan tentangnya perlu dibuat secara tertutup juga. Adalah baik jika diadakan diskusi secara tertutup. Audiens hanya wanita. Tiada jurukamera lelaki yang gatal atau nakal seperti yang telah terjadi. Dan tentulah tidak akan menimbulkan rasa kurang enak jika pengacara (jika hendak diadakan secara terbuka begitu) memakai pakaian mengikut etika pemakaian Islam. Kan sudah rasa aib sendiri? Saya pasti, pengacara WHI itu pun bengang dengan insiden nakal yang dicetuskan jurukameranya. Bukanlah bermakna saya menyokong mana-mana hal yang sudah berlaku. Pada pendapat saya, perbincangan mengenai PD adalah suatu yang taboo. Tidak perlu sebenarnya seperti orang lelaki tidak perlu membincangkan kewajaran memanjangkan 'benda itu'. Buat malu sahaja. Hendak taip pun malu. Hendak sebut secara terbuka lagilah saya malu!
Pihak SKMM perlu mengeluar garis panduan agar penyiaran rancangan seperti ini tidak berulang. Pihak penerbit harus menghormati pandangan agamawan kerana alasan mengikut peredaran zaman amatlah naïf. Tidak berjejak atas syariat Islam sama sekali. Dan itulah yang menyedihkan kerana kenyataan itu terbit dari halkum seorang Islam.
Selasa, Januari 18, 2011
Undi proksi jenayah demokrasi
Ada suatu yang menghairankan. Terdapat cadangan meminda peraturan pilihan raya dengan memasukkan aspek pengundi proksi. Bermakna jika seseorang yang layak mengundi tetapi malas mengundi atau tidak dapat hadir ke pusat buang undi, dia boleh mewakilkan sesiapa sahaja yang dipercayai. Orang yang memberi kuasa mewakilkan dirinya dikenal sebagai ‘Prinsipal’, manakala orang yang menjadi wakil dipanggil ‘Proksi’. Ini satu lagi cadangan yang gila dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana sistem pilihan raya demokrasi. Sekali gus melanggar hak asasi manusia.
Pun begitu pengundian seperti ini pernah diamalkan di Rumah Putih AS pada tahun 1995 sebelum digam oleh Republican. Thomas E. Mann dan Norman J. Ornstein menulis, "Dalam sebuah institusi besar dan huru-hara, setiap ahli mempunyai lima atau enam tempat pada masa tertentu, suara proksi adalah jenayah yang perlu." Kenyataan ini bermaksud undi proksi boleh dikatakan jenayah demokrasi.
Mari kita fikir situasi seperti ini.
- Satu agen undi menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat buang undi. Pada pertengahan jalan, kenderaan yang diguna menuju ke suatu tempat lain. Pengundi dilarikan sehingga tidak sampai ke tempat pengundian. Maka agen undi yang menguruskan mereka dengan sewenang-wenangnya memangkah bagi pihak mereka. Dia mencipta logik yang boleh diterima bagi membolehkannya menjadi proksi.
- Hari mengundi berlaku pada hari bekerja. Majikan tidak memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja. Majikan berpakat dengan pihak-pihak tertentu untuk menyekat pekerja bawahan yang tidak cakna dengan hak sebagai pengundi. Atau jika terdapat mereka yang cakna, dikenakan ugutan seperti memecat mereka sekiranya keluar mengundi tanpa kebenaran. Dalam kes ini majikan menjadi proksi kepada pekerja-pekerja bawahannya untuk memangkah parti yang disukainya.
- Encik M seorang kakitangan kerajaan. Secara automatik, Encik M wajib juga mengundi bagi pihak isterinya. Disebabkan undi Encik M dipantau, tidak boleh tidak kedua-dua undi mereka menjadi milik kerajaan.
Dalam banyak hal apa sahaja akan dilakukan demi mempertahan kuasa. Demokrasi sudah dimanipulasi untuk membolehkan mereka terus berkuasa. Ini tidak termasuk lagi cerita sensasi pengundi hantu. Saya perasan sehari sebelum dan selepas pilihan raya di Hulu Terengganu pada 2008, terdapat banyak orang luar; dengan dialek Pattani. Saya tidak pasti sama ada mereka suka-suka melancong ke Kuala Berang atau diprojekkan sebagai pengundi hantu. Kenyataan seperti ini perlu saya tulis supaya saya tidak dicap sebagai memfitnah mana-mana pihak.
Isnin, Januari 17, 2011
Zakat pendapatan.
Jawapan: Zakat tidak dikenakan kerana pendapatan yang layak dizakat (RM 6672) kurang daripada nisab
Dikira di sini
Berapa nisab zakat pendapatan bagi Wilayah Persekutuan KL?
RM6672.00
Rabu, Januari 12, 2011
Azab paling berat
Imam Junaid al-Baghdadi ketika berusia tujuh tahun telah ditanya oleh gurunya, “Apa itu syukur?” Beliau menjawab, “Syukur itu ialah tidak melakukan maksiat dengan nikmat-nikmat Allah.” Ketika hayatnya Imam Junaid al-Baghdadi menunaikan solat 400 rakaat pada sebelah siang. Sesetengah periwayat berkata 300 rakaat. Jika solat siangnya sebanyak itu, berapa pula solat malamnya?
Ketika beliau mati, seorang lelaki bertemu dengannya dalam mimpi. Lelaki itu bertanya Imam Junaid al-Baghdadi, “Ya Abal Qasim, bagaimana keadaan kamu?” Maka dijawab Imam Junaid, “Telah luput dariku ilmu zahir dan batin. Yang ada bagiku hanyalah ibadat malamku.”
Pengarang kitab menukilkan, “Azab yang paling berat bagi manusia pada hari kiamat ialah bagi orang yang berilmu (‘alim) tetapi ilmu itu tidak bermanfaat untuknya.” ‘Alim bermakna faham akan sesuatu perkara walaupun dalam satu masalah. Orang yang tahu tetapi tidak beramal adalah orang yang rugi. Di hari akhirat dia akan menyesal kerana tidak beramal dengan ilmu yang diketahuinya.
“Jika kita yang tarafnya sebagai orang awam, tidaklah kita diharap bersolat sekian banyak solat malam. Tetapi memadailah ditunaikan sekadar yang termampu oleh kita. Solat dalam keheningan malam, ketika orang lain enak diulit mimpi akan menjadi cahaya di alam barzakh. Kalau larat dua, tunaikanlah dua rakaat. Jika mampu empat, buat empat. Tidak ada jumlah spesifik yang ditetapkan.” Kata ustaz.
--------------
Ringkasan Kuliah Maghrib, 11 Januari 2011, Ust. Nor Hafizi. Kitab Ayyuha al-Walad, karangan Imam al-Ghazali. Masjid al-Hidayah, Sentul.
Kereta elektrik.
Selasa, Januari 11, 2011
Selamat maju jaya adindaku.
10 Jan 2011. Effi, adik saya yang baharu menginjak ke tingkatan satu mendaftar masuk MRSM Gemencheh. Model Imtiyaz di Terengganu mula diserap masuk dalam tiga buah MRSM. Jika tidak silap saya, MRSM yang terlibat ialah Kota Putra, Gemencheh dan Bentong. Mengikut model pembelajaran yang dikenal sebagai Ulul Albab itu, pelajar perlu menghafal 15 Juzuk sebelum melangkah ke Tingkatan Empat. Bermakna setiap tahun, mereka harus ingat lima juzuk.
Effi satu-satunya dari kalangan kami yang akan menerima sistem hafalan yang sistematik dengan kawalan guru agama sebagai pemantau. Kakak atau abangnya tidak bertuah sepertinya. Abang dan kakaknya menghafal dengan inisiatif sendiri. Cuma pesan saya kepada Effi dan orang-orang yang seumpamanya, menghafal al-Quran itu perlu dengan niat yang betul. Bukan disebabkan syarat dalam sistem akademik. Kita sudah lihat sekian banyak contoh mahasiswa dalam bidang agama. Mereka menghafal semata-mata untuk lulus pengajian. Apabila lulus, maka al-Quran yang dihafal turut ditinggalkan.
Saya sebenarnya nampak kesungguhan Effi menyiapkan diri. Dua minggu sebelum mendaftar, dia sudah mulakan hafalan bermula juzuk pertama. Itupun dia sempat sempurnakan sehingga halaman tiga. Mengahafal perlu disiplin. Disiplin utama ialah pengulangan. Sama sahaja konsepnya dengan perkara lain. Orang tidak akan mahir membuat sesuatu perkara dengan hanya sekali cuba. Ulangan umpama mengasah memori, sehingga akhirnya menjadi tajam dan kejap dalam hati. Kemudian, hati itu sendiri perlu dijaga akan tidak diselaput hitam dosa. Mengulang adalah tali kekang kerana diumpamakan hafalan yang tidak dijaga seperti melepaskan unta liar.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada Effi, insya-Allah.
Isnin, Januari 10, 2011
Mutiara ilmu 09 Jan 2011
1. Perbezaan antara abid dengan faqih.
Satu situasi dinyatakan oleh ustaz, “Seorang makmum masbuq masuk ketika Imam sujud. Secara teori, jika makmum itu tidak mendapat rakaat sekali pun dia terus sujud.”
Senario di atas dirinci bagi menunjukkan perbezaan seorang makmum yang abid tetapi tidak faqih (makmum I) berbanding dengan makmum yang faqih (makmum II).
Makmum I – Dia akan menunggu bangun untuk rakaat berikutnya. Pada pendapatnya tidak memadai dia sujud kerana tidak mendapat rakaat.
Makmum II – Dia akan terus takbiratul ihram dan sujud. Hal ini kerana dia mengetahui kaedah sebenar mengikut sunnah nabi. Terdapat satu hadis yang menyebut apabila seorang makmum masuk solat, hendaklah dia melakukan apa yang dilakukan oleh imam. Dia tahu bahawa dia akan mendapat ganjaran kerana mengikut imam seperti yang dinyatakan dalam hadis.
2. Sejarah bacaan ketika iktidal.
Seterusnya diceritakan bahawa pada awal-awal dahulu, apabila mahu berpindah dari satu rukun ke rukun yang lain, nabi membaca takbir intiqalat (Allahu Akbar) – termasuklah ketika iktidal. Suatu malam nabi mengajar para sahabat yang berbunyi, “Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak mengasihi orang tua dan kanak-kanak.” Pada Subuh berikutnya, Abu Bakr as-Shidiq bertemu seorang tua dalam perjalanan ke masjid. Orang tua berjalan dalam kepikunan sehingga Abu Bakr menuntunnya. Sampai sahaja di masjid, Abu Bakr menjemput lelaki tua itu masuk. Orang tua itu menjawab, “Aku tidak boleh masuk kerana aku Yahudi.” Apabila masuk nabi sudah rukuk. Abu Bakr Ash-Shidiq sempat rukuk bersama nabi dan mengucapkan syukur. Ucapan syukur dijawab oleh Allah. Melalui Jibrail, diperintahkan nabi mengucapkan Sami’allahu li man hamidah (Allah telah mendengar orang memuji-NYA). Kita pula menyusul seruan Allah itu dengan Rabbanaa Laka al-hamdu (Tuhan kami, bagimu segala pujian). Dalam mazhab Hanbali, ditambah ‘wa’ menjadi Rabbanaa wa laka al-hamdu.
3. Fokus tempat sujud.
Untuk menambah khusyuk dalam solat, hendaklah ditetapkan pandangan mata pada tempat sujud. Melihat di tempat sujud lebih afdhal sekali pun bersolat di Ka’abah. Sekiranya tempat sujud terdapat suatu yang boleh menganggu khusyuk seperti corak sajadah atau karpet, maka diharuskan seseorang menutup matanya. Hukum asal menutup mata adalah makruh.
4. Buku berkaitan solat.
Ada sebuah buku mengenai solat yang baik untuk dibaca. Buku ini dijual kepada saya oleh Ustaz. Abd. Azizi Arof. Buku ini telah dicetak sebanyak 18 000 naskhah. Mengandungi Kata Pengantar daripada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Prof. Dr.Haron Din al-Hafiz, Dr. Abdul Aziz Hanafi dan Dr. Luqman Hj. Abdullah (Pengetua Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas). Buku ini berjudul AMALAN SUNNAH SELEPAS SOLAT DAN KELEBIHANNYA, tulisan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz dan Ust. Mohd Rifqi Myddin. Buku ini dijual pada harga RM35.00. Sebarang pertanyaan tentang buku ini boleh diajukan kepada pihak penerbit Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat – 09-790 6651/019-939 4185 atau emel maahadtahfizdarulquran@yahoo.com. Keistimewaan buku ini tentunya dari segi olahan iaitu sandaran kepada kajian terperinci berdasarkan hadis dan pendapat ulama muktabar.
5. Komentar isu semasa
Dewasa ini kita dihidangkan dengan cerita-cerita khurafat. Pelbagai cerita hantu disogokkan sehingga anak-anak menjadi takut dan percaya hantu itu wujud dan boleh memudharatkan. Dalam suatu hadis dinyatakan “Tiada kesialan akibat gagak mati (‘Iyarah) dan tiada kesialan disebabkan hal selain itu [seperti mangkuk/gelas pecah, haiwan yang melintas jalan seperti biawak/ular/babi] (‘Iyadhah) dan tidak juga mayat menjadi hantu (hammah)…” Bagaimana unsur khurafat ini dipopularkan melalui drama atau filem? Tidakkah mereka rasa bersalah? Jelas sekali perkara ini amat bahaya kepada sistem nilai dan kepercayaan orang Melayu – Islam. Cerita-cerita seperti ini tidak wajar ditonton oleh kita kerana jauh menyimpang dari hakikat sebenar. Melihatnya seolah-olah mengikitraf khurafat yang dilakukan oleh mereka.
---------#-----------
Ringkasan Kuliah Maghrib Ust. Abd. Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul. 09-01-2011.
Ahad, Januari 09, 2011
Jarang-jarang peroleh pengalaman rohani ini
Maghrib 8 Jan 2011, saya berkesempatan menunaikan solat di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Alhamdulillah. Sheikh Habib Umar dari Yaman menyampaikan ceramah dalam Majlis Maulid dan Ceramah Umum. Sambutan terhadap sheikh ini luar biasa. Inilah kali pertama saya mengikuti majlis beliau, dan tentunya paling tidak setahun sekali dia didatangkan ke Malaysia.
Selepas solat sunat ba’diyah Maghrib, acara dimulakan ucapan aluan pengerusi majlis kemudian qasidah (marhaban) sehingga jam 8.30 malam. Selepas azan Isyak, majlis diteruskan ceramah umum Habib Umar.
Sheikh Habib Umar menyingkap sikap nabi mengutamakan sahabat baginda. “Rasulullah diberikan ghanimah dari satu peperangan di Bahrain. Baginda membahagikan harta itu kepada para sahabat. Tidak ada sedikit pun dibawa balik. Kebetulan pada ketika itu baginda dan ahli keluarga baginda berpuasa. Apabila ditanya oleh Ummu al-Mukminin – Tidak adakah satu atau dua dirham buat kita untuk berbuka? Nabi menjawab, kalau engkau ingatkan aku, nescaya aku akan tinggalkan satu atau dua dirham untuk kita berbuka.”
Sheikh bertanya lagi, “Maka lihatlah kita hari ini. Bagaimana sikap pemimpin kita hari ini?”
Apa yang berlaku dalam kisah ini juga terjadi pada puteri baginda Fatimah al-Zahrah. Demikian natijah pendidikan yang diterap oleh nabi kepada anak baginda.
Pada akhir ceramah, Sheikh Habib Umar menyentuh darihal adat perkahwinan. “Dewasa ini kebanyakan walimatul urus dilangsungkan dengan mencampur aduk perkara yang halal dan haram. Contohnya menyertakan acara nyanyi-nyanyian (yang melalaikan). Pada zaman nabi, mereka menggunakan kompang sahaja. Atau mengadakan dengan hanya menjemput orang-orang kaya sahaja. Atau mempertonton pasangan pengantin kepada tetamu (persandingan). Jarang diadakan majlis dengan menjemput orang-orang miskin untuk makan. Tidakkah maksud walimah itu untuk menghebohkan pasangan yang berkahwin dan menyatakan kesyukuran? Maka di mana keberkatan pasangan yang berkahwin dalam kehidupan (berumahtangga) dalam waktu terdekat atau panjang?”
Ceramah Sheikh Habib Umar tamat pada jam 10.00 malam. Beliau mengakhiri dengan munajat kepada ALLAH. Bagi saya, pendekatan munajat ini merupakan satu pengalaman rohani yang hebat. Ada zauq yang hinggap dalam hati dan meruntun jiwa. Memang menyentuh dan menggetarkan. Sedar tidak sedar air mata mengalir, mengenang kekerdilan diri dan dosa-dosa. Tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Saya tidak pandai mengaudiovisualkan pengalaman rohani itu. Mungkin saya perlu belajar tekniknya dalam INTERLOK.
Selepas selesai solat Isyak, ada suatu hal yang membingungkan. Saya terpaksa merujuk kepada Jaga untuk mengecam parkir. “Encik masuk tadi pintu sebelah kiri atau kanan?” tanya Jaga. Saya jawab, “Kiri.” Jaga itu berkata, “Kalau begitu, encik kena pergi seksyen C.” Ruang parkir tepu sangat. Itulah yang menyebabkan saya rambang mata. Sepuluh minit kemudian baharulah saya jumpa kenderaan.
Sabtu, Januari 08, 2011
INTERLOK: Saya tidak mahu ulas panjang.
Versi Inggeris.
Pagi tadi meluangkan waktu bersama rakan-rakan penulis di Rumah PENA. Acara Dialog Novel INTERLOK bersama Dr. Ilias Zaidi, Dr. Fatimah Busu, SM Zakir selaku Panel. PENA mengambil sikap tidak bersetuju dengan apa-apa tuntutan ke atas novel INTERLOK ini. Novel ini diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Interlock oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Dikhabarkan ada usaha untuk membakar novel ini oleh sesetengah pihak. Sudah bakar pun! Begitu sekali emosinya mereka sebelum membaca dengan akal yang waras.
Novel INTERLOK sebuah novel sejarah yang merakamkan pembentukan negara Malaysia. Jika sesetengah pihak menolaknya semata-mata berpendapat menyinggung, mengapa Untouchable yang diterjemahkan kepada Paria yang diterbitkan pada tahun 1964 oleh Oxford University Press tidak diharamkan? Novel ini tidak ada semua unsur hasutan atau menghina seperti yang didakwa. Rujuk artikel ini. Apakah suatu fakta sejarah tidak boleh diterima? Kalau itu fakta sejarah, ia tetap fakta sejarah dan telah berlaku.
Suatu tragedi dalam sistem pendidikan akan berlaku sekiranya tuntutan menarik semula karya ini daripada dijadikan teks KOMSAS. Banyak pihak yang akan terjejas. Pasti Panel Pemilih Teks dilihat sebagai tidak membuat kerja dengan betul.
Pada 26 Januari 2011, dikhabarkan forum/dialog novel ini akan diadakan*. Wakil Pemuda MIC akan menjadi salah seorang ahli panelnya. Sila rujuk laporan berita di mana-mana akhbar untuk mengetahui lebih banyak hasil Dialog ini. Ini satu laporan pilihan saya. "Saya sebagai satu-satunya peserta bukan Melayu berasa bangga membaca novel ini kerana memaparkan kisah sejarah negara. Ia juga seruan perpaduan dalam kerangka masyarakat majmuk di Malaysia." Kata seorang mahasiswa Cina.
Sebagai arkib jika pautan di atas ditiadakan:
Interlok dibakar di Klang
08/01/2011 6:16pm
Oleh HELMI MOHD. FOAD
KLANG 8 Jan. - Kira-kira 100 orang penduduk berketurunan India berdemonstrasi dan membakar novel Interlok di depan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini petang ini.
Mereka turut membakar salinan gambar penulis novel itu, Sasterawan Negara, Abdullah Hussain.
Kumpulan itu mendesak kerajaan mengharamkan novel itu dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran sastera tingkatan lima di sekolah. Utusan
Baca ini.
*Nota
Kemaskini pada 27 Jan 2011, jam 0950.
Jumaat, Januari 07, 2011
Mobile WAP
Inilah yang sedang saya buat, dengan bertungkus lumus. Sesuai dengan keperluan semasa, laman web boleh dilayari menggunakan telefon bimbit 3G (I-Phone dan gajet seangkatan dengannya). Gambar itu bukan telefon bimbit saya, itu gambar simulator. Dan pautan-pautan di dalamnya adalah pautan yang betul. Kena buat dengan betul dan betul-betul. Ya Rabbi, mudahkan urusanku ini.
Selasa, Januari 04, 2011
Insurans Kereta: Mengapa bayar lebih?
Apabila tempoh perlindungan kereta anda semakin hampir tamat, anda akan menerima kad tawaran pembaharuan insurans daripada syarikat insurans. Di dalamnya akan dinyatakan nilai yang diinsurankan. Sebenarnya kita boleh memperbaharu insuran dalam tempoh enam bulan lebih awal. Bagi kereta baharu, nilai NCD (No Claims Discount) sekitar 25%. (30% - 3 tahun, 38.3% - 4 tahun, 45% - 5 tahun dan 55% - 6 tahun). Hal ini bermakna NCD tidak dikira (tiada NCD) jika dalam tempoh perlindungan berlaku kemalangan dan pemilik kenderaan menuntut wang dari pihak insuran untuk baik pulih kenderaan.
Apabila saya menerima tawaran pembaharuan polisi perlindungan kederaan daripada sebuah syarikat X, agen syarikat X memasukkan nilai perlindungan yang lebih tinggi daripada harga pasaran semasa kenderaan tersebut. Hal ini suatu yang tidak adil kepada pemilik kenderaan. Harga pasaran semasa kereta boleh disemak di laman web ini. Adalah rugi sekiranya jumlah yang diinsurankan beberapa ribu lebih tinggi daripada harga yang dibeli kerana wang tersebut akan menjadi sebahagian daripada margin keuntungan agen insurans. Sebab itu dalam borang pembaharuan tawaran, pemilik kenderaan diberi pilihan sama ada membaharui polisi perlindungan kenderaan dengan nilai yang dinyatakan atau dengan jumlah lain. Nilai pasaran kenderaan akan menjadi rujukan kepada pihak yang menginsuran kenderaan bagi menentukan nilai premium asas. Manakala nilai NCD adalah nilai yang didiskaun disebabkan tiada tuntutan dibuat sehingga tamat tempoh polisi. Hal ini bermakna jumlah sebenar yang perlu dibayar ialah seperti berikut:
Jumlah insuran = Premium Asas tolak NCD tambah Duti Setem.
Tentu sahaja, dalam banyak keadaan pemilik kenderaan yang tidak ambil kisah akan bersetuju dengan cadangan agen insurans. Akhirnya mereka sendiri membayar wang lebih, walhal apabila hendak membuat tuntutan, syarikat yang mengisurankan kenderaan agak liat juga untuk menyegerakan tuntutan. Pengiraan premium insurans boleh dibuat di laman ini.
Dan ini yang saya peroleh daripada Takaful Ikhlas. Sebelum ini saya terpaksa menerima polisi perlindungan kenderaan konvensional. Maknanya? Maksudnya tiada apa-apa kos tambahan untuk menukar polisi perlindungan kenderaan asal sahaja anda berurusan dengan orang yang jujur dan tidak mengambil kesempatan.
Saya selesaikan perlindungan kereta melalui En. Afyan dalam masa 5 hari (termasuk urusan perbaharu cukai jalan).
Isnin, Januari 03, 2011
Rumah kos rendah
Menghabiskan cuti tahunan selama seminggu. Syukur. Kami sempat selesaikan sebahagian daripada usaha mendapatkan sebuah rumah kos rendah yang dibangunkan oleh pihak berkuasa negeri. Syarat yang dinyatakan dalam borang permohonan ialah permohonan hanya dibuat oleh salah seorang pasangan suami isteri. Borang Permohonan Rumah, Sistem Pendaftaran Terbuka boleh diambil di Pejabat SUK (Bahagian Perumahan), Tingkat 7, Wisma Darul Iman, Tel: 09-6376345/46.
Hal ini dikira sebagai satu dasar yang baik untuk memastikan hanya sebuah rumah untuk satu keluarga. Dokumen-dokumen berikut juga perlu disertakan:
- Perakuan Pemohon: Pesuruhjaya Sumpah bagi Kakitangan Swasta, @ Ketua Jabatan bagi Kakitangan Awam/Polis/Tentera.
- Surat Sokongan Permohonan Rumah Kos Rendah dari Pegawai Penyelaras DUN. Pergi sahaja pejabat Penyelaras DUN, bagi tahu pada keraninya untuk buatkan surat sokongan.
- Surat Perakuan Nikah
- Salinan KP Pemohon
- Salinan Slip gaji pemohon dan pasangan
Sehingga kini, terdapat 23 projek Perumahan Kos Rendah di Terengganu meliputi 6731 unit. [sumber] Pun begitu, tidak pula dimaklumkan jumlah permohonan yang telah diselesaikan sepanjang tempoh pelaksanaan projek. Pada pendapat saya, statistik permohonan yang telah diluluskan wajar didedahkan kepada umum. Ia menampakkan keberkesanan pengurusan walaupun dengan hanya menyatakan peratusan permohonan yang telah diselesaikan.
Maklumat lanjut berkaitan rumah kos rendah Terengganu boleh dirujuk di laman web rasmi.