Selasa, Mei 12, 2009

Bukan rahsia

Ketika rehat, ruang legar Hotel Flamingo di hadapan dewan makan dipenuhi beberapa gerai jualan buku, CD dan vast ESQ. Terdapat juga buku-buku terbitan Anbakri Publika yang dijual oleh pengedar buku. Rata-rata buku itu telah saya miliki, dan saya tertarik untuk memiliki buku ini.



Ya, memanglah. Hakikat kehidupan manusia juga begitu. Kalau kita lihat kepada konsep dosa pahala, maka dikatakan dalam Islam bahawa tiada pewarisan dosa seperti yang diimani oleh penganut Kristian. Dalam surah an-Najmu, disebut bahawa “Wa an laisa li al-insaani maa sa'aa” - Dan tidaklah ditanggung (dibawa oleh manusia untuk dibalas kepadanya), melainkan apa yang diperbuat olehnya sendiri. Dan dalam ayat yang kemudian daripada ayat ini dinyatakan bahawa “Dan sesungguhnya setiap perbuatan yang dilakukan akan dilihatnya.” Dalam surah al-Zalzalah disebut bahawa manusia akan melihat setiap amalannya walau pun sekecil atom. Demikianlah betapa setiap diri harus bertanggungjawab terhadap amalan masing-masing sehingga dia tidak boleh menyalahkan orang lain atas amalannya. Apakah adil bagi kita, jika lahir-lahir sahaja sudah terpalit dosa orang lain? Maka dalam hal ini, dewasa ini dunia penuh pancaroba perlu menilai nasib sebahagian manusia, dilahirkan dalam keadaan dia tidak kenal siapa ayahnya. Sedarkah kita, sehingga Nov 2008, perangkaan bayi yang lahir 'tanpa ayah' sudah mencecah angka 257411 orang! Betapa parahnya keadaan ummat manusia di Malaysia. Angka rasmi itu adalah anak-anak kecil yang didaftarkan. Bagaimana pula halnya dengan janin-janin yang digugurkan?


Maka bertitik tolak daripada konsep tiada perwarisan dosa dalam Islam, apakah kedudukan atau hukum yang harus dihadapkan kepada mereka ini apabila besar kelak? Bagimana dengan urusan nikah kahwin mereka? Bagaimana dengan hak-hak mereka untuk hidup? Saya tidak dapat bayangkan bagaimana rasanya jika seseorang itu mengetahui dirinya anak tidak sah taraf? Tentulah mereka amat kecewa dengan sikap dan perlakuan ibunya dan juga 'bapa'nya yang di'hilang'kan secara semberono. Betapa pun si ibu dan 'bapa' itu bijak menyembunyikan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan, mereka pasti tidak terlepas di akhirat sana. Tentulah bagi mereka yang cakna, kebejatan ini di'sokong' kuat pula oleh lambakan karya filem yang entah apa-apa. Filem yang menaikkan permasalahan kronik sosial dengan alasan supaya diambil iktibar sebenarnya menambahburukkan lagi keadaan. Kenapa? Tidakkah kita membaca al-Quran? Dalam al-Quran, apabila Allah menceritakan nabi Yusuf digoda oleh Zulaikha, tiada perincian perbuatan Zulaikha itu. Allah menggunakan lafaz yang umum. Tetapi apabila karyawan filem kita mengangkat keburukan sosial di dalam cerita, mereka menggambarkan lebih teruk daripada itu. Tidakkah itu nantinya akan mempengaruhi sebahagian audien? Apakah tidak mungkin ada sebahagian daripada penononton yang akan terikut-ikut dan meniru apa yang mereka lihat? Buktinya? Kalau dahulu, dalam kehidupan tradisional Melayu khususnya wanita-wanita (anak dara) sangat santun. Jarang sekali kita melihat mereka membuat pameran pusat atau memakai pakaian yang menjolok mata. Tetapi apabila dalam kebanyakan media hiburan yang mereka ikuti, terdapat unsur budaya atas nama kemodenan. Akhirnya kita lihat sudah ramai anak dara dari keluarga Islam yang rosak. Rosak akhlak, rosak pegangan dan larut dalam dunia hedonis.


Dunia hiburan sudah bertukar sebagai pandangan dunia (world view) yang akhirnya dianggap sebagai normal. Inilah yang dikatakan sebagai paradoks dalam akar budaya Melayu yang dahulunya sangat mengagungkan nilai budaya ketimuran. Atas nama kemodenan, cara berpakaian manusia berubah. Hal ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malahan di Jepun juga sudah jarang kelihatan wanita-wanitanya yang tetap memakai kimono untuk ke mana-mana. Pakaian-pakaian yang melambangkan kesantunan dan kesucian budaya hanya dipakai ketika menyambut perayaan agama atau budaya. Di luar semangat perayaan tersebut, manusia lebih gemar mengenakan fesyen yang lebih trendi, sekali gus melenyapkan identiti bangsa mereka yang asli.


Lupakan segala-gala yang dibincang di atas. Hidup bukan rahsia. Fikirkanlah.Buku ini merupakan sebuah buku inspirasi kehidupan yang sangat membina minda. Penulisnya mengadunkan beberapa cerita yang mudah difahami dan universal sifatnya. Cara penceritaan dengan mengadun ayat al-Quran dan hadis, kemudian petikan mutiara kata (inspiring word), sungguh memikat pembacaan. Ada teknik penulisan bersahaja dengan persoalan mudah, justeru pembaca tidak menjadi pembaca satu hala. Sambil membaca, pembaca dapat menggerakkan otaknya untuk menjawab soalan yang diajukan. Demikianlah bezanya pendekatan yang digunakan oleh penulisnya Zabrina A. Bakar. (Mohon maaf, mungkin sekarang ini penulisnya sudah ada gelar Dr. di hadapannya; saya tidak pasti). Oleh sebab gayanya yang sedemikian, maka khalayak pembacanya boleh saya dalam pelbagai peringkat. Sesiapa sahaja boleh membacanya dari kecil (10 tahun) hingga remaja sampailah ke dewasa.


Disebabkan tema tulisan ini – bukan rahsia, maka saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat kalian yang menjadi guru saya secara tidak langsung. Penulisan tuan-tuan di alam maya yang gemar saya ikuti sedikit-sebanyak menjadikan saya kaya ilmu dan dapat menumpang kelebihan ilmu kalian. Lihatlah siapa yang saya maksudkan itu seperti di bawah. Semoga kalian terus gigih mencurah idea di laman masing-masing, kerana ilmu apabila dikongsi akan memberi barakah kepada pemiliknya.


Ini adalah carta pembacaan laman web terpilih saya menggunakan Readers@Google

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hebat buku ini...

Lan
-http://thegreatestpost.blogspot.com