Khamis, Mei 07, 2009

Kemalangan


Sepanjang hidup, saya mengalami dua keadaan genting yang dinamakan kemalangan. Dan pasti seri hidup akan jatuh seperti orang yang lemah semangat. Pertama, pada tahun 2005, tiga hari sebelum raya korban, saya terjatuh dari motosikal dan kepala saya betul-betul di bawah tayar kereta yang melanggar motorsikal. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana sekiranya takdir Allah lebih teruk daripada itu, pasti kepala saya hancur digilis tayar itu. Syukurlah, jatuh itu saya hanya sakit sendi dan seluar di bahagian lutut yang bergeser dengan jalan carik sedikit. Kedua, kemalangan berlaku dua tahun lalu ketika saya menumpang kawan untuk ke Sungai Petani. Kereta yang dipandu kawan itu terlanggar kereta di hadapannya. Dan remuklah sedikit bahagian depannya. Pun begitu, degup jantung saya tetap melaju, dan kemujuran saya berpanjangan dua tiga hari. Syukurlah, Dia masih memberi saya nyawa untuk hidup.


Dua hari lalu, adik saya seorang guru Matematik di SMK Tasek Utara, Johor Bahru mengalami kemalangan. Kereta yang dipandunya diapit dan kerosakan teruk melanda, taksiran awal untuk baik pulih kereta itu kira-kira RM5000.00. Tentu sekali dia amat kecewa dan kesal, semacam tempang langkahnya untuk berulang-alik ke tempat kerja. Pun begitu, saya nasihatkan agar dia bersabar. Bersyukurlah, nyawa kita masih ada dan tidak ada kecederaan. Dikhabarkan kepada saya, perlanggaran itu dahsyat juga dan beliau terpaksa mengambil masa lima jam untuk menyelesaikan urusan laporan polis di Balai Polis Kulai. Kemalangan adalah perkara biasa. Jika kita sudah amat berhati-hati dan mengikut peraturan yang betul, mungkin asbabnya datang daripada pihak yang satu lagi. Jika mereka sudah terlalu cermat, maka kitalah yang cuai. Itulah sahaja dua kemungkinan yang berlaku apabila berlaku kemalangan. Dan mengikut hukum biasa, orang yang melanggar akan dikira sebagai bersalah dan secara automatik akan disaman. Bilakah agaknya MIROS (di UPM) akan selesai menjalankan kajian untuk menentukan hukuman yang lebih adil dalam hal ini? Seorang kawan saya terlibat dalam kajian untuk menentukan kesan perlanggaran dan mengesahkan siapa sebenarnya yang bersalah. Apakah orang yang melanggar atau yang dilanggar? Hal itu dikaji secara saintifik dengan mengambil kira hukum keabadian tenaga (F=Ma, ini yang asas, dan kemudian digunakan hukum terbitan daya yang lain daripada formula ini).


Istilah lain bagi kemalangan adalah insiden. Jika tidak kita yang cuai, tentulah orang lain yang terleka. Suatu insiden yang cukup membuatkan saya tertekan ketika ini ialah kerosakan cermin mata dan 'hilang' nilai wang. Cermin mata yang saya letakkan di sejadah tanpa sengaja dipijak oleh seorang jemaah yang lain. Sehingga kini, orang itu belum bersemuka dengan saya untuk meminta maaf. Mungkin dia fikir, saya akan meminta beliau mengganti kerosakan itu. Dan kerana itu, apabila ditanya kepada saya, saya jawab, “Tunggulah bulan hadapan untuk saya peroleh cermin mata yang baharu.” Sekembali dari masjid, ibu menelefon saya. Awal-awal lagi dia meminta maaf. Saya kata, saya maafkan. Dan dia berkata (tentulah ibu sangat rasa serba salah), “Emak terbuang sampul yang ada cek dalam tong sampah. Sampah itu sudah dibakar.” Bohonglah saya jika tiada reaksi apa-apa apabila mendengar berita ini. Semerta, air mata saya mengalir. Saya terharu kerana kerendahan hati ibu sanggup memohon maaf daripada saya. Kedua, tentulah saya juga sangat kecewa dengan hal itu. Iyalah. Nilai dalam cek itu lumayan juga (cek DBP biasanya dua kali ganda nilai cek penerbit lain). Tetapi setinggi mana pun kecewa saya, marah saya, dan segala-galanya; ia tidak mampu menandingi pengorbanan, penat lelah, sabar, air mata dan kesakitan ibu membesarkan saya. Maka setelah saya insaf hal ini, saya tidak rasa apa-apa lagi. Saya maafkan dan mahu lupakan insiden itu. Ibu saya bukan sengaja membakar cek itu. Dia terlalai.

Mari renung kalam Allah ini.


Habis segala cerita. Kemalangan atau insiden adalah hikmah kehidupan yang perlu kita fikirkan. Begitulah sunnatullah untuk mengingatkan manusia. Itulah ujian Tuhan buat manusia. Mudah-mudahan dengan mau'izah itu manusia bertaubat dan kembali kepadaNYA. Cuma, apakah kita masih mahu berasa aman jika sekarang ini kita masih selamat daripada ancaman selesema babi?

Naimisa, 0845, 07052009, Sentul, KL

Tiada ulasan: