Maa Jaa-a an-Naumi ‘ani ash-Shalaati (Pada bab Tidur daripada solat)
Dari Abi Qatadah radhiALLAHu’anhu katanya, “Kami terjaga Subuh ketika matahari telah naik. Maka kami bertanya kepada nabi; Kami telah melampau dalam tidur. Nabi bersabda, “Tidak ada hal melampau dalam tidur. Orang yang melampau ketika berjaga (sedar). Maka apabila kamu lupa akan solat, tunaikan apabila mengingatinya.”
Ulama hadis mengatakan hadis ini berlaku dalam musafir yang jauh setelah pulang dari perang. Pada asalnya saidina Bilal Ibn Rabah ditugaskan berjaga, tetapi disebabkan masing-masing terlalu letih, maka semua tertidur dan apabila sedar matahari sudah naik. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, hadis Hassan Sahih.
Terdapat beberapa bahasan mengenai hadis ini iaitu perihal orang yang tidur. Dalam hadis lain, disebutkan bahawa diangkat qalam (tidak dicatat dosa) orang yang tidur. Maka perlukah orang yang tidur kemudian terjaga mengqadhakkan solatnya? Jumhur ulama mengatakan tidak perlu diqadhakkan bahkan hendaklah disegerakan solat ketika jaganya. Bahkan dalam hal qadhak terdapat khilaf dari segi istilahnya. Qadhak pada hakikatnya bermaksud menunaikan sesuatu perkara bukan dalam waktunya. Maka sama ada disebut secara jelas atau tidak dalam niat, solat yang dilakukan di luar waktunya mengikut istilah merupakan solat qadhak. Imam Syafie, Imam Ahmad (Ibn Hanbal), Imam Ishak dan lain-lain yang berpendapat terdapat solat qadhak dengan disandarkan kepada bab hutang. Jika hutang sesama manusia, kita wajib melunaskannya, maka begitu juga dengan solat. Meninggalkan solat sama ada lupa atau tertidur wajib diganti (dibayar) kerana seolah-olah kita berhutang dengan Allah.
Kedua, terdapat juga perbahasan tentang tegahan menunaikan solat ketika matahari sedang naik atau tenggelam kerana menyamai amalan penyembah matahari (‘ibaadu asy-Syam). Dalam hal ini, solat qadhak tidak dikira berdasarkan hadis nabi yang bermaksud, apabila kamu ingat akan solat, maka segerakanlah bersolat.
Ketiga, dalam hadis di atas, nabi bersabda yang berbunyi “Laisa tafriqu fii an-naumi” yang bermaksud tiada hal melampau bagi orang yang tidur. Apakah orang yang tidur kemudian dalam tidurnya dia merosakkan barang kepunyaan orang lain; apakah dia tidak perlu membayar ganti rugi? Ulama berpendapat bahawa mukallaf bukanlah syarat kepada ganti rugi kepada barang yang dirosakkan. Orang tidur merosakkan barang dengan tidak sengaja, dalam keadaan dia tidak sedar perbuatannya ketika itu. Tetapi ada satu ayat al-Quran berbunyi, “Wa man yaqtul mukminan khathoan fatahriiru roqobatin wadiyatun musallamatun ilaa ahlihi....” Maksudnya, “Dan orang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka dendanya ialah memerdekakan hamba dan membayar fidyah kepada ahli keluarga mangsa...” (91:An-Nisaa) Maka orang yang tidur kemudian merosakkan barang orang lain dengan tidak sengaja wajib membayar ganti rugi berdasarkan nas ini.
----------------------- # ----------------------
Rumusan kuliah Maghrib, Ustaz Raihan Abdul Aziz, 1 Mei 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan