Kawan saya memainkan klip video (Youtube) berhubung seorang warga Malaysia yang belajar di Amerika di peringkat kedoktoran (PhD). Dan dia mengulang tayang klip video itu beberapa kali sehingga saya yang duduk di luar tidak jauh dari meja kerjanya ingat kandungan ceritanya. Ceritanya begini:
Pelajar ini berkawan dengan seorang penganut Kristian yang kuat. Suatu hari dia mengikut kawannya ke gereja. Ketika itu semua kerusi di gereja penuh. Apabila paderi mahu memulakan ucapan, dia mengatakan tidak akan berucap sehingga seorang asing keluar. Pelajar Malaysia itu bertanya kawannya, dan dinasihatkan tidak meninggalkan majlis. Apabila paderi itu dengan spesifik menunjukkan beliau orang asing yang dimaksudkan, pelajar itu pun bertegas mahu berada di situ. Diringkaskan cerita, paderi itu memberi syarat menjawab 32 soalan. Pelajar itu menjawab satu persatu dengan baik. Akhirnya dia mahu paderi itu menjawab hanya satu soalan.
Atas gesaan penganut-penganut Kristian yang akan membantu jika paderi tidak dapat menjawab, maka si paderi itu bersetuju. Palajar itu bertanya, “Apakah anak kunci syurga?” Paderi itu keberatan menjawab, “Jika saya menjawab, kamu akan memarahi saya.” Tetapi jawapan itu tetap tidak memuaskan khalayak.
Suasana hening. Dan akhirnya paderi itu membaca satu hadis nabi yang bermaksud, “Sesiapa yang mengucapkan Laailaaha Illa Allah! – dia pasti masuk syurga.” Apabila ditanya mengapa perkara itu tidak diberitahu, si paderi mengatakan bahawa dia mempunyai kepentingan. Dan dia secara peribadi berharap dapat mengucapkan kalimah itu di akhir hayatnya. Maka semua audien di dalam gereja itu marah dan mereka juga mahu mengucapkan kalimah Tauhid itu. Semuanya mengucap kalimah syahadah beramai-ramai.
Dan saya pun fikir, pihak manakah di Malaysia ini yang akan mengiktiraf sumbangan besar seorang warganya mengislamkan sekalian banyak manusia di Amerika itu? Adakah NGO Islam seperti ABIM, JIM, PERKIM? Apakah institusi agama seperti YADIM, JAKIM atau Majlis Mufti atau Jabatan Agama Negeri? Atau apakah mungkin juga PAS? Sekadar bertanya. Kerana hal ini tidak dihebohkan dalam mana-mana media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan